Entry: RRH_43 Wednesday, April 27, 2005



Irfan sengaja bertindak mendiamkan diri, sengaja membuatkan ElleaNur dihujani rasa bersalah. Sungguh! Bukan dia merajuk tapi dia terasa hati dengan ElleaNur semenjak semalam. Dia bengang, geram dengan kebisuan wanita itu. Sudah puas dia memujuk rayu untuk sebuah kemaafan namun, ElleaNur seakan tidak mengendahkannya. Wanita itu tekun mendengar dia berbicara tetapi langsung tiada tindak balas dari bibirnya. Hanya sinar sepasang mata bundar milik ElleaNur yang menggambarkan apa yang ada di hatinya saat itu. Irfan tahu, hati wanita itu mungkin sudah kembali sejuk, perasaan marahnya mungkin sudah reda, lukanya mungkin sudah sembuh tapi, Irfan mahu mendengar sendiri kata-kata maaf dari bibir ElleaNur. Dia mendambakan sebuah kemaafan yang tulus dari hati wanita itu. Dia mahukan kepastian yang jitu dari ElleaNur sendiri agak hati lelakinya tenang, bebas dari rasa sangsi. Kadangkala dia merasakan ElleaNur sudah pun memaafkannya dan di lain waktu pula dia rasa seolah-olah cuba di jauhi oleh ElleaNur. Sungguh! Irfan keliru.

 

Irfan bukan mempertahankan egonya sebagai seorang lelaki, tidak sesekali. Tetapi, selama mana egonya itu harus di ketepikan. Sudah agak lama dia meletakkan ego lelakinya di paras yang paling bawah semata-mata untuk menggilap kembali permata yang dia sendiri hilangkan sinarnya. Dia sedar rajuk, kemarahan dan kedinginan ElleaNur itu berpunca dari dirinya lalu dia rela melakukan apa saja untuk kembali memujuk hati ElleaNur, satu-satu wanita yang di cintainya. Dia tidak mendambakan kehadiran wanita lain walau yang hadir itu jauh lebih baik dan cantik dari ElleaNur. Dia tidak tergoda dengan pesona milik wanita lain. Hidupnya sudah lama hambar tanpa kehadiran ElleaNur. Hatinya kosong, wajahnya rawan. Seketika dulu, dia hampir menjadi nanar bila ElleaNur dan Danial pergi meninggalkannya. Mujur juga dia ada kedua ibubapa yang sudi membantu, walaupun mereka kerap memarahi dirinya namun, dia menerima semua teguran dan nasihat yang di berikan tanpa sedikit pun membantah. Dan, dia lebih bersyukur kerana ElleaNur mempunyai seorang kawan yang sebaik Alia. Alia yang memberitahu kemana dan di mana ElleaNur membawa diri setelah hampir 2 minggu dia kehilangan arah mencari ElleaNur dan Danial. Sahabat ElleaNur itulah yang telah banyak memberikan dorongan untuk dia terus memujuk sekeping hati milik ElleaNur.

 

Dia mendapatkan banyak nasihat dan tunjuk ajar , dia juga menemui banyak jalan, katakan apa saja, semuanya hampir dia lakukan. Kalau pun yang dia tidak lakukan hanyalah merentangi lautan api, untuk apa jika yang di dambakan sudah ada di depan mata. Tapi, selama mana wanita itu hanya menjadi santapan mata? Yang aku inginkan adalah hati dan jiwanya. Danial, anak kecil yang tidak mengerti apa-apa juga kadangkala menjadi salah satu cara untuk dia mendekatkan dirinya dengan ElleaNur. Dia tahu, Danial menjadi kelemahan utama wanita itu. ElleaNur sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan Danial. Dan, dia seringkali menjadikan Danial sebagai umpan untuk memancing reaksi dan perhatian dari ElleaNur. Mujur juga Danial seorang anak yang bijak, anak kecil itu mewarisi hampir semua sifat dan perwatakkan dia. Danial manja dan nakal malah suka sangat mendesak dan memberontak sebagaimana dirinya. ElleaNur selalu merungut dan menyamakan Danial dengan diriku. Namun, Irfan bersyukur sedikit sebanyak kerana Danial turut memainkan peranan penting dalam usaha menyatukan kembali hubungan kami yang renggang ini.

 

Irfan boleh memaksa ElleaNur kalau dia mahu. Tapi, dia tidak tergamak untuk melakukannya kerana dia bimbang wanita itu akan semakin menjauhkan diri. Dia takut seandainya luka di hati yang sudah hampir pulih itu kembali berdarah, dia takut andai kedinginan yang mula surut bertukar menjadi beku, sedingin salju. Sungguh! Dia amat berhati-hati di dalam setiap tindakkan yang dia lakukan dalam usaha menawan kembali hati ElleaNur, walau kadangkala hatinya sendiri yang merasakan kepedihannya. Sudah lama dia mengabaikan segala rasa yang terdetik di hatinya setiap kali ElleaNur mendengus dan melemparkan jelingan marah. Hatinya tersentuh setiap kali ElleaNur menolak perlawaannya, menyindir dirinya. Namun, itu semua tidak sepedih di saat ElleaNur dengan selamba menolak sentuhannya, menjauhi dirinya seolah-olah dirinya amat jijik untuk terus berdampingan dengan wanita itu.

 

ElleaNur tidak pernah tahu apa yang ada di hatinya, dia tidak sesekali memaparkan riak hampa, kekecewaan hatinya kepada ElleaNur. Dia sentiasa ceria, bergelak ketawa, bergurau senda untuk menutupi kesedihan, gelodak dan rasa hati lelakinya. Dia tidak merintih jauh sekali untuk menangis hiba. Cukuplah sekali dulu airmata lelakinya tumpah kerana saat itu dia amat menyesali ketelanjurannya menyakiti hati wanita kesayangannya itu. Sungguh! Hanya itulah sekali dia menangis kerana wanita sepanjang hidupnya. Dia tidak pernah menumpahkan airmata di saat mamanya mengidap penyakit barah rahim yang hampir meragut nyawa. Dia tabah menghadapi segala kemungkinan di saat mamanya berada di ambang maut sebelum pembedahan yang di jangkakan tidak akan sepenuhnya berjaya. Dan dia juga tidak menangis gembira sebaik mendapat tahu nyawa mamanya berjaya di selamatkan. Tapi, di saat dia mendapat tahu ElleaNur pergi meninggalkannya, airmata lelakinya begitu senang sekali menitis tanpa menunggu sesaat dua pun. Tapi, ElleaNur tidak pernah tahu itu semua dan barangkali wanita itu sememangnya tidak patut  tahu akan hal yang satu itu. Biarlah ianya menjadi rahsia hidupku.

 

Sungguh! Irfan buntu saat itu. Otaknya tidak dapat berfikir dengan waras. Dia kehilangan arah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk dirinya dan ElleaNur. Dia meletakkan Danial di antara mereka berdua. Dia boleh mempertimbangkan permintaan ElleaNur, tapi dia memikirkan perasaan dan kebahagian Danial. Dia tidak memikirkan dirinya kerana dia boleh berusaha untuk melupakan wanita itu walaupun dia sendiri tidak begitu yakin akan kemampuannya. ElleaNur, wanita itu barangkalai memang sudah bersiap sedia dari awal. Aku tahu ElleaNur wanita yang tabah dan kuat semangat di sebalik kelembutan dan sifat manja perempuannya itu. Tapi, bagaimana  dengan Danial? Anak kecil itu pasti kecewa kerana dia begitu menyayangi kami berdua. Akan tertekankah Danial seandainya perpisahan ini benar-benar terjadi? Ah! Irfan takut untuk terus memikirkan segala kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.

 

“Papa!!!” Jerit Danial kuat di telinga Irfan.

“Danial! Sakit telinga papa tahu tak??” Marah Irfan. Dia betul-betul tersentak dengan panggilan Danial yang seakan mahu memecahkan gegendang telinganya tadi.

“Papa tu, Danial panggil dari tadi papa buat tak tahu aje” Terang Danial dengan suara seakan ingin menangis. Mukanya sudah bertukar merah. Tidak sangka yang Irfan akan memarahinya begitu sekali.

“Hah, menangis. Papa marah sikit menangis!” Tegur Irfan, masih lagi dengan intonasi marah. Anak kecil itu sudah mula menitiskan airmata.

“Papa memang tak sayangkan Danial. Tadi mama pun marah Danial” Dalam tangisan Danial masih sempat membalas.

“Papa dengan mama marah Danial sebab Danial tu nakal!” Sekali lagi Irfan melepaskan kemarahannya kepada Danial.

“Semua dah tak sayangkan Danial. Danial benci papa! Danial benci mama!” Jerit Danial dalam tangisan yang kuat, dia berlari menuju ke bilik, sejurus terdengar pintu bilik di tutup kuat.

"Danial..." Irfan duduk termagu di ruang tamu. Ada rasa kesal di hatinya saat itu. Kesal kerana telah melepaskan kemarahannya kepada anak kecil yang tidak bersalah itu. Namun, semuanya sudah terlewat. Irfan mengeluh berat.

Irfan mundar-mandir di ruang tamu. Apa yang dia lakukan bagaikan ada yang tidak kena. Fikirannya buntu, hatinya gelisah, bersarang dengan rasa bersalah. Ingin memujuk Danial, pintu bilik berkunci. Puas dia memanggil namun hampa tiada balasan. Hatinya hiba mendengar tangisan halus Danial dari dalam bilik. Seketika, matanya bertemu pandang dengan sepasang mata bundar milik ElleaNur dari sebalik pintu bilik wanita itu. Mungkin wanita itu mendengari kemarahan aku kepada anaknya sebentar tadi. Dan sudah pasti dia turut mendengari tangisan kuat Danial yang memecah keheningan senja. Agak lama mata mereka bertatapan sebelum ElleaNur kembali menutup pintu biliknya. Kini, mereka bertiga seakan-akan melayan perasaan masing-masing. ElleaNur, wanita itu seharian tidak melangkah keluar dari biliknya. Danial pula masih melayan rajuknya dan ketika ini mungkin sudah ketiduran. Dan aku pula masih setia di balkoni apartment ini, melayani sepoi angin senja yang damai, berfikir dan terus berfikir.


 

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments