Entry: RRH_38 Tuesday, April 19, 2005



Hari ini, seawal pagi hujung minggu begini, Irfan telah pun bertandang ke apartmentku. Irfan, lelaki itu langsung tidak memberikan aku peluang untuk bersendirian. Boleh dikatakan semenjak kepulangan aku dan Danial di rumah ini, hampir setiap hari pasti aku akan memandang wajah itu. Sudah acapkali aku memberitahunya yang aku inginkan waktu hujung mingguku tanpa kehadiran dan gangguan darinya. Au hanya ingin mengisi waktu yang terluang bersama-sama Danial. Cukuplah aku mengadap wajahnya itu setiap kali dia menjemput dan menghantar Danial ke taska. Tetapi, bercakap dengan Irfan kini bagaikan mencurah air di daun keladi, lelaki itu bagaikan orang yang hilang deria pendengarannya. Muka aku yang masam dan ronyok seribu setiap kali menyambut kemunculannya di muka pintu bagaikan tidak membawa apa-apa makna bagi Irfan. Lelaki itu bagaikan orang bodoh, Irfan kini bagaikan sudah tidak punya perasaan malu, dengan selamba dia akan melangkah masuk.

 

“Hai my darling sweetheart. How are you today?” Tutur Irfan sebaik melangkah masuk. Wajahnya tunduk ingin menciumi dahiku tapi sempat aku mengelak. Lelaki itu mengeluh perlahan, tersenyum pahit memandang wajahku.

“ElleaNur, Danial dah bangun?” pertanyaan Irfan aku biarkan saja. Dengan selamba aku melangkah ke dapur menuang segelas susu segar dan berlalu ke bilikku.

 

Kewujudan Irfan di rumahku langsung tidak aku hiraukan. Aku lebih senang mengurungkan diri di dalam bilik dan membiarkan Irfan melayan Danial. Namun, belum sekali pun aku menyentuh tentang hubungan kami. Biarlah Irfan sendiri yang memulakannya. Barangkali dia bersetuju dengan permintaanku yang satu itu lantaran tiada sebarang kata yang keluar dari mulut Irfan mengenai letak duduknya hubungan kami. Irfan aku lihat lebih ke arah untuk mengubati dan memujuk hatiku yang kecewa. Pelbagai cara di lakukan untuk memenangi hatiku kembali, namun semua usahanya itu hanya aku pandang sepi. Hanya renungan tajam dan tutur bicara romantisnya yang kadangkala mencuit hati dan perasaan perempuanku terhadap lelaki itu. Sungguh! Kini rasa rinduku pada lelaki itu mula bertandang kembali cuma egoku menyekat untuk mempamerkannya secara terbuka.

 

“ElleaNur, keluar makan sayang” Terdengar ketukan di luar pintu disertai dengan suara Irfan. Aku hanya mendiamkan diri, berbaring malas di atas katil. Kepalaku terasa sedikit berat.

“ElleaNur, benarkan abang masuk boleh?” Belum sempat aku menjawab wajah Irfan sudah pun terpacul dimuka pintu. Irfan selalu begitu. Aku mendengus geram.

“ElleaNur sayang...abang dah panaskan lauk, marilah makan, sikit pun takpa” Irfan terus memujuk. Dia berdiri bercekak pinggang memerhatikan kearah aku yang masih lagi berbaring diselimuti comforter.

“I kenyang. Nanti lapar I makanlah. Kalau you nak balik, baliklah. Jangan lupa lock pintu” Balasku mendatar. Segera aku mengiringkan badan membelakangkan Irfan. Bukan niat untuk menghalau tapi sekadar memberi alasan. Terdengar derapan kaki Irfan menghampiri katilku, sepantas kilat lelaki itu bertindak mencempung tubuhku yang hanya berbaju tidur nipis ketika itu.

“Heiiii kenapa dengan you ni hah! Turunkan I, turunkan I Irfan!!!” Jeritan suaraku langsung tidak dipedulikan, Irfan segera membawa aku ke ruangan makan. Badanku diletakkan di atas kerusi di depan hidangan yang telah pun tersedia.

 

“Sekarang I nak you makan” Arah Irfan tegas.

“I tak mahu!”

“Makan!!” Arah Irfan lebih kuat dari suara ElleaNur.

“I tak mahu, I kenyang tahu tak?”

“Jangan nak tipu abang, abang tahu dari siang lagi sayang tak makan” Suara Irfan berubah rentak, lebih lembut dari tadi, cuba memujuk hati wanita itu. Kerasnya hatimu sayang, Irfan hanya mampu mengeluh perlahan.

 

Irfan tidak nampak bila masanya ElleaNur makan, semenjak siang tadi wanita itu mengurungkan diri di dalam bilik, menyembunyikan diri dari pandangannya. Bukan sekali dua kehadirannya ke sini tidak dihiraukan ElleaNur. Seharian dia menanti wanita itu menjengukkan wajah, tapi hampa. Hanya Danial yang setia menemaninya setiap detik. Hatinya tersentuh tapi, dia masih boleh bersabar kerana dia sedar akan kesalahannya. Dia memahami apa yang ada di hati ElleaNur saat ini. Bukan niatnya untuk terus memaksa ElleaNur, dia cuba untuk tidak menggunakan kuasanya sebagai suami. Dia juga tahu ElleaNur amat tidak senang dengan sikapnya yang suka mendesak, tapi memang hari ini dia terdesak. Kesihatan ElleaNur sangat membimbangkan hatinya saat ini. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk melanda ElleaNur dan kandungannya itu. Dia tidak dapat memaafkan dirinya andai sesuatu terjadi kepada wanita itu.

 

“Atau sayang nak abang tolong suapkan, hmmm?” Irfan sekali lagi bersuara bila mendapati ElleaNur masih lagi mematungkan diri, wanita itu hanya merenung masam hidangan yang ada di depannya itu.

“I tak mahu, I tak ada selera Irfan! kepala I sakit, you tahu tak!” ElleaNur bersuara agak kuat. Geram melihat Irfan yang terus-terusan memaksanya untuk makan. Dia bukannya budak kecil seperti Danial yang boleh dipaksa-paksa sesuka hati.

“You sakit kepala sebab you tak makan, tahu tak!” Irfan membalas dengan nada yang sama. Bibirnya diketap, hatinya geram dengan kedegilan ElleaNur. Tanpa berlengah dia terus mencapai pinggan nasi dan diletakkan sedikit sup sayur, lauk yang dibelinya untuk ElleaNur semasa keluar makan bersama Danial di Sri Petaling sebentar tadi. Tanpa bertanya, dia terus menyuakan sesudu nasi ke arah mulut ElleaNur. Agak lama baru ElleaNur membuka sedikit mulutnya untuk menerima suapan Irfan.

 

“Irfan, you tak perlu lakukan semuanya ini pada I. I masih mampu menguruskan hidup I sendiri Irfan!” tutur ElleaNur geram. Irfan di depannya hanya diam tidak bersuara. Suapan demi suapan memasuki mulut ElleaNur.

“Kenapa you bersusah payah begini Irfan???” Sambung ElleaNur, masih bernada geram, segera dia menolak suapan Irfan yang seterusnya. Bibirnya di ketap, dia geram, hatinya sakit dan keliru dengan kebisuan Irfan saat itu.

“I suami you, sudah menjadi tanggungjawab I untuk menjaga kebajikan you dan Danial” Terang Irfan, segelas air suam di sua ke mulut ElleaNur. ElleaNur meneguk perlahan.

“Tapi kenapa dulu you tega mencurigai diri I, you menuduh I dengan Ar...” kata-kataku terhenti lantaran Irfan meletakkan jarinya di bibirku, menahan aku dari terus menuturkan kata-kata.

“I mengaku I bersalah. I tak sepatutnya meragui kesetiaan you sebagai isteri I. I menyesal sangat-sangat” Ada sinar penyesalan di sebalik sepasang mata hitam itu.

“ElleaNur, maafkan abang sayang. Tolonglah terima abang kembali dalam hidupmu sayang” Irfan mengesat airmata yang berjuraian di pipiku. Sebelah tangannya menggenggam tanganku erat. Aku merenung dalam sepasang mata hitam milik Irfan lama, lalu menggeleng lemah.

“Bukan mudah untuk I melupakan segala tuduhan you, menerima apa yang telah you lakukan pada I sebelum ini Irfan. You baliklah, tinggalkan I sendirian. I perlukan waktu untuk memikirkannya” Kataku perlahan dan segera berlalu ke ruang tamu mendapatkan Danial yang sedang tidur lena di atas sofa. Wajah mulus Danial di atas sofa ditatap dalam. Damainya wajah kecil tu saat ini.

 

“ElleaNur, Abang balik dulu. Take care sayang” ucap Irfan perlahan, mencium lembut dahiku, kemudian beralih kepada Danial di sofa dan terus berlalu keluar. Seketika hati ElleaNur berubah pilu. Tersentuh melihat wajah muram Irfan saat itu. Terngianga-ngiang di telinganya akan nada lirih Irfan sebentar tadi. Hatinya sedih, dadanya sesak sekali. ElleaNur berlalu ke balkoni apartmentnya, menikmati hembusan angin malam. Hatinya dirasakan sungguh sepi, sesepi malam ini, malam yang suram tanpa kerlipan bintang yang bergemerlapan.


Sungguh! Irfan hampir berputus asa untuk memujuk kembali hati ElleaNur. Telah pelbagai cara dia lakukan untuk membaluti sekeping hati yang terluka itu. Dia sudah puas memujuk, sudah puas merayu meminta kemaafan tapi, ElleaNur masih tidak memberikan sebarang respon. Wanita itu tidak menolak dan tidak pula menyatakan kemaafannya. Irfan masih boleh bersabar kerana dia sedar semua kesalahan berpunca dari dirinya. Irfan juga sentiasa ingat akan pesanan papa dan mamanya untuk tidak terlalu mendesak dan memaksa ElleaNur walaupun kadangkala dia terpaksa juga melupakan pesanan papanya itu. Irfan takut ElleaNur semakin jauh dari hidupnya jika keadaan ini masih berterusan. Dia tahu ElleaNur perlukan masa untuk menerimanya kembali tapi, sampai bila dia harus menunggu. Hatinya tidak tertahan lagi untuk menanggung kerinduan yang mencengkam terhadap wanita yang satu itu. Sungguh! Dia rindu dan amat mendamba kehadiran ElleaNur di sisinya setiap saat dan ketika. Atau, mungkin juga dia perlu bersetuju dengan ElleaNur, wanita itu memerlukan waktu untuk membuat keputusan, perlu  bersendirian buat sementara waktu. Biarlah, aku sanggup menunggu selama mana sekalipun, aku rela asalkan wanita yang amat aku sayangi itu bahagia. Dan jika keadaan mendesak, Irfan tahu apa yang perlu dia lakukan.


 

   1 comments

Mosh
July 1, 2006   03:56 PM PDT
 
Bodoh la kau ni

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments