Friday, April 15, 2005
RRH_36

"Irfan! Apa you buat dekat sini? Mana you tahu I ada kat rumah ni???” Segera aku menjerit geram ke arah lelaki yang tercegat di dalam bilik utama apartmentku. Wajahku segera memercikkan warnanya, bengang dengan kehadiran lelaki itu. Memandang wajah itu saat ini mengundang pedih di hati . Hati terasa beralun hebat, amat sukar mentafsirkan perasaannya saat itu. Sakit hati, benci, rindu, pedih, kasih, sayang, cinta kepada lelaki yang satu itu seakan-akan bertempuran di dalam dada, sungguh menyesakkan.

 

Sungguh! Seketika tadi aku terkejut, jantungku hampir gugur sebaik saja membuka pintu bilik tidurku. Sukar untuk di tafsirkan apa yang ada di hatinya sebaik terpandang wajah lelaki yang telah banyak menyakitkan hatinya di penjuru balkoni bilik. Irfan berpaling, berlagak selamba dengan seulas senyuman di bibir. Tenang lelaki itu memandang kearah wajahku, sedikit pun tiada riak orang yang bersalah. Seketika fikiranku sempat berfikir dari mana Irfan mendapat tahu yang aku akan pulang ke rumah ini. ElleaNur tahu yang Irfan juga mempunyai kunci pendua apartment ini dan dia boleh berada di sini bila-bila masa yang disukainya. Tapi, bagaimana lelaki itu tahu yang dia akan pulang ke KL hari ini. Mungkinkah ini semuanya angkara Alia. Ah! Temannya itu terlalu mengambil berat akan hubungannya dengan Irfan.

 

“Abang tunggu sayang dan Danial” Selamba Irfan memberi alasan.

“ElleaNur, maafkan abang sayang” sambung Irfan lagi seraya melangkah menghampiriku.

“Apa sayang-sayang! You tak sayangkan I! So, perlu apa menunggu I! Buat apa nak meminta maaf dari I!” Tingkahku kuat, tangan Irfan segera aku tepis kasar.

“Tak semudah itu untuk I memaafkan you Irfan!” Hatiku masih berbekas dengan segala tuduhan lelaki itu. Bukan mudah bagiku untuk melupakan setiap tuduhan dan hinaan yang Irfan lemparkan padaku. Irfan memandangku dengan rupa kesal. Wajah yang muram itu ketara tidak terurus. Jambangnya tumbuh meliar. Sengsarakah Irfan dengan perpisahan yang baru sementara ini?

 

“ElleaNur sayang, please…maafkan abang, maafkan abang sayang” Irfan berbisik perlahan, hampir di telingaku. Seketika kemudian dia memeluk badanku erat. Namun, aku masih lagi membatukan diri, terpana dengan tindakan lelaki itu, tidak terasa untuk membalas pelukannya. Betul-betul menyesalkah Irfan saat ini? Sungguh! Hatinya berbelah bagi. Perlukah dia memberi kemaafan kepada lelaki yang telah banyak melukakan hatinya itu. Wajahnya segera di paling dari terus memandang wajah yang mula gundah itu. Takut hatinya akan cair dengan pujukan Irfan.

“Irfan, please… berikan I masa untuk memikirkannya” tuturku lalu segera merungkaikan pelukan erat Irfan. Hanya alasan itu yang aku kira sesuai untuk Irfan saat ini. ElleaNur tahu dia tidak boleh berkasar dengan Irfan saat ini. Lelaki itu pasti akan  mendesak dan terus mendesak. Kalau tidak kena cara pasti ElleaNur juga yang akan menjadi mangsanya. Dia sudah masak dengan perangai Irfan yang suka memaksa dan memberontak itu. Semua kehendaknya harus dipenuhi. Perintahnya perlu di ikuti. ElleaNur mengeluh perlahan, beg pakaian di lantai segera di letakkan di atas katil.

 

“ElleaNur!” Panggilan Irfan tidak aku hiraukan. Segera aku berlalu keluar meninggalkan lelaki itu termagu-magu di dalam bilik itu sendirian. Sekilas aku memandang Danial yang sedang berbaring santai menonton TV di ruang tamu, keletihan menempuh perjalanan yang jauh barangkali. Anak itu pasti tidak menyedari kehadiran papanya di rumah itu. ElleaNur yakin sesaat lagi wajah kecil itu pasti akan bertukar ceria.

 

“Papa……!” tiba-tiba kedengaran suara Danial dari ruang tamu. Anak itu melonjak girang.

 

Aku leka mengintai kedua beranak itu dari ruangan dapur yang agak terlindung. Kelihatan Irfan sedang mendukung Danial. Bertalu-talu ciuman Irfan hinggap di pipi dan kepala Danial. Danial pula tidak berhenti-henti ketawa. Seketika hatiku tersentuh melihat adegan itu. Gembiranya Danial! Sungguh! Aku tumpang gembira dengan kebahagiaan yang terpancar dari sebalik wajah mulus anak kecil itu. Tapi bagaimana dengan aku? Gembirakah aku dengan kehadiran Irfan? Bahagiakah aku saat ini? Tapi, kenapa hatiku seakan hambar, beku? Sudah tidak berperasaankah aku terhadap lelaki yang satu itu? Kemana hilangnya rasa rindu, kasih dan sayangku terhadap Irfan selama ini? Mungkinkah sudah di bawa arus kekecewaan lalu?

 

“Danial pergi mana sayang? Kenapa tinggalkan papa?” Irfan bertanya kepada Danial tetapi matanya memandang ke arahku di sudut dapur.

“Rumah auntie Alia kat JB. Best papa, kat sana ada Maisarra and Aisyah. Uncle Riezal and auntie Alia pun baik papa” petah Danial bercerita kepada Irfan yang masih lagi menumpukan matanya kearahku. Aku buat-buat tidak nampak. Sengaja memaparkan muka selamba bagai orang yang tiada perasaan.

“Oh…” hanya itu yang kedengaran dari mulut Irfan. Irfan meraup mukanya sebelum menumpukan perhatian kepada Danial di depannya. Aku mengambil kesempatan untuk membawa diri ke dalam bilik memandangkan kedua-dua beranak itu sedang leka di ruang tamu. Biarlah Danial bermesra dengan Irfan sepuas-puas hatinya hari ini. Sudah agak lama anak itu tidak berjumpa dengan papanya itu.

 

“Mama, mama, mama bangunlah ma…” panggilan halus Danial di cuping telingaku mengejutkan aku dari lena. Aku membuka mata dan menoleh sekilas kearah jam di sudut bilik. Agak lama aku tertidur, selepas asar hingga hampir memasuki waktu isyak. Ada sedikit kesal di hati kerana hampir tertinggal waktu maghrib. Sampainya hati Irfan tidak mengejutkan aku. Lama memandu menjadikan badan aku letih sekali. Usia kandunganku yang hampir mencecah 3 bulan mengundang keletihan yang berganda.

“Ermm, ada apa sayang?” Tanyaku sambil cuba bangun dan duduk bersandar di kepala katil. Terpancar sinar kegembiraan di wajah Danial.

“Papa kata dia dah nak balik”

“Ok, cakap kat papa thanks” Segera Danial berlari keluar mendapatkan papanya. Tapi, seketika kemudian dia masuk kembali menemuiku.

“Mama, papa tanya thanks for what?”

“Thanks sebab jagakan Danial untuk mama” Sekejapan Danial hilang dari biliknya dan kembali lagi untuk sekian kalinya.

“Mama, papa ajak mama makan kat luar” Ingin memujuk aku lagikah Irfan?

“Cakap kat papa mama tak ada selera nak makan. Kalau papa nak bawa Danial pergilah, mama izinkan” ujarku dengan seulas senyuman. Bukan niat untuk menolak perlawaan Irfan tapi, memang kebetulan aku tiada selera untuk makan semenjak beberapa hari kebelakangan ini. Kini, segelas susu sudah cukup mengenyangkan perutku yang mula menampakkan bentuknya ini.

 

Selepas Irfan dan Danial pergi barulah aku bingkas bangun, mandi, solat dan keluar ke ruang tamu. Ruang tamu itu kelihatan sudah berkemas, Mungkin Irfan yang mengemasnya sebentar tadi. Sementara menunggu kepulangan kedua beranak itu aku leka menonton TV sambil-sambil membaca majalah. Sekali-sekala fikiranku tidak terlepas dari memikirkan jalan penyelesaian yang seharusnya aku ambil. Berkira-kira sama ada mahu menerima Irfan kembali atau tidak. Sungguh! Hati dan fikirannya tidak dapat membuat sebarang keputusan saat ini. ElleaNur keliru. Dia memerlukan waktu yang lebih panjang untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik buat  dirinya, Irfan dan juga Danial. Tidak mudah baginya untuk menerima Irfan setelah apa yang terjadi di antara mereka. Walaupun luka dihatinya hampir pulih, namun bekasnya masih ada. Sekitar pukul 10pm barulah Irfan dan Danial pulang. Sedikitpun aku tidak memperlawa Irfan untuk masuk ke rumah ketika aku mengambil Danial yang ketiduran di bahunya. Segera Danial aku cempung masuk ke dalam bilikku dan kembali ke luar untuk menutup kembali pintu rumah yang masih belum berkunci. Irfan masih lagi tercegat di luar pintu. Ada sesuatu di tangannya saat itu.

 

“ElleaNur, abang ada belikan bubur nasi, makan ya sayang” Huluran plastik dari tangan Irfan segera aku ambil. Tidak terasa untuk menolak pemberiannya itu.

“Terima kasih. Tapi, lain kali you tak payah susah-susahkan diri. Good night” ucapku seraya menutup pintu. Tersingguhkah Irfan? Ah! Perlukah aku memikirkan tentang perasaan lelaki itu lagi setelah apa yang telah terjadi? Satu keluhan berat dilepaskan. ElleaNur berlalu kedapur untuk mengisi perut yang mula teruja dengan semerbak bau bubur dari dalam bungkusan di tangannya.


Posted at 01:37 pm by ElleaNur
Make a comment  

Thursday, April 14, 2005
Andaikan kau datang lagi...

::Andaikan Kau Datang-Ruth Sahanaya::

 

Terlalu indah dilupakan

Terlalu sedih dikenangkan

Setelah aku jauh berjalan

Dan aku kau tinggalkan

 

Betapa hatiku bersedih

Mengenang kasih dan sayangmu

Setulus pesanmu padaku

Kau kan menunggu

 

Andaikan kau datang kembali

Jawaban mana yang kan ku beri

Adakah jalan yang kau temui

Untuk kita kembali lagi

 

Bersinarlah bulan purnama

Seindah serta tulus cintanya

Bersinarlah terus sampai nanti

Lagu ini ku akhiri


Posted at 02:11 pm by ElleaNur
Make a comment  

RRH_35

Sudah hampir 2 minggu ElleaNur membawa diri dari hidup Irfan. Bukan niatnya untuk melarikan diri dari Irfan tapi, dia memerlukan ketenangan buat seketika sebelum menghadapi Irfan. Dia memerlukan sedikit kekuatan, kekuatan untuk menghadapi kemungkinan kemusnahan ikatan sucinya dengan Irfan. Dia tidak pergi jauh, cuma membawa diri ke rumah Alia di Johor Bahru. Dia tahu, saat ini Irfan pasti sedang mencarinya. Irfan pasti pergi ke rumah Alia di Ukay Perdana. Irfan tidak tahu bahawa Alia sudah lama berpindah ke Johor Bahru, mengikut Riezal yang bertukar ke bandar itu. Sudah terlalu banyak pesanan yang di terima dari Irfan, Irfan meminta kemaafan, Irfan ingin aku kembali kepadanya, Irfan yang rindu dengan aku dan Danial, Irfan juga meminta aku menghubunginya. Semuanya aku biarkan memenuhi peti simpanan suara dan sms. Irfan tidak perlu bimbang, aku tidak akan sesekali melarikan Danial darinya kerana sampai masanya apabila perasaan aku reda, aku sendiri akan menghubungi Irfan.

 

“Mama, bila nak balik rumah kita?” sudah banyak kali pertanyaan itu menyapa telingaku setiap kali Danial terjaga dari tidur di waktu pagi. Anak kecil itu tidak mengerti masalah yang melanda mama dan papanya. Aku sedar, aku tidak boleh selamanya berada di rumah Alia, aku perlu kembali ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan masalah di antara aku dan Irfan.

“Esok kita balik ya sayang” jawapan aku mengundang senyuman di wajah comel itu.

“Ye..ye.. esok kita balik, Danial nak jumpa papa!” Danial menjerit girang. Mungkin dia rindu dengan Irfan.

“Tapi kita tak balik rumah kat Subang tau”

 

Tidak sanggup rasanya untuk aku memijakkan kaki lagi kerumah itu buat masa ini. Aku sudah membuat keputusan untuk tinggal di apartmentku yang di hadiahkan oleh papa dan mamaku di Bukit Jalil. Mungkin itu tempat yang paling sesuai untuk aku menjauhkan diri dari Irfan. Lagipun sudah lama rumah itu tidak berpenghuni lantaran penyewanya berbangsa Pakistan telah kembali ke negaranya. Aku tidak perlu bimbang kerana segalanya lengkap di rumah itu. Duit simpananku juga cukup untuk aku menampung hidup aku dan Danial sehingga beberapa bulan selepas bersalin nanti. Selepas itu baru aku berkira-kira untuk bekerja semula.

 

Kehamilan aku kali ini tidak banyak ragam, mungkin bayiku ini mengerti penderitaan yang mamanya alami. Malah, pada mulanya aku tidak menyedari akan kehadirannya, sibuk memikirkan masalah aku dan Irfan barangkali sehinggalah hari sebelum berlakunya pertengkaran di antara aku dan Irfan yang membawa aku kemari. Gembirakah Irfan mendengar berita kehamilanku ini? Atau mungkinkah dia turut mengesyaki kehadiran zuriat ini sebagaimana dia mencurigai kesetiaanku? Sungguh! Aku takut memikirkan apa yang ada difikiran Irfan saat ini. Perlukah aku kembali ke pangkuan Irfan setelah segala penghinaan dan tuduhan yang Irfan lemparkan? Kini, hanya Danial tempat aku mencurahkan kasih sayangku, memeluk Danial seakan dapat melepaskan rinduku yang bersarang terhadap Irfan. Aku sedar masih ada rindu yang bertandang di hati aku untuk lelaki itu walau sehebat manapun aku di sakiti. Walau hatiku berdarah dengan tuduhannya, Eizairil Irfan tetap bersemadi di hati ini. Nama itu bagaikan sudah sebati di segenap penjuru hati, di dalam setiap degup jantung dan nadiku.

 

Aku tidak akan sesekali menyembunyikan kehadiran zuriat ini dari pengetahuan Irfan. Irfan berhak tahu kerana aku tidak mahu kelahiran anak ini mengundang cercaan dan caci-maki dari masyarakat. Aku lebih rela menerima kata nista dari Irfan. Semuanya sudah aku terangkan di dalam surat yang aku tinggalkan untuk Irfan tempoh hari. Terserah kepada Irfan untuk membuat keputusan yang sewajarnya. Jika permintaanku dipersetujui oleh Irfan maka, aku akan menjadi isterinya sepanjang tempoh kehamilanku ini walaupun kami tidak akan tinggal bersama. Buat masa ini biarlah aku hidup bersama-sama Danial. Mungkin ada hikmah disebalik perpisahan yang terjadi ini. Jika masih ada jodoh di antara kami pada masa akan datang aku terima dengan redha. Kini, hanya kebahagiaan Danial dan anak yang bakal lahir yang menjadi keutamaanku. Aku tidak mahu Danial hidup di dalam dunia penuh kedukaan kerana dia masih kecil untuk menghadapi itu semua. Aku tidak akan sesekali memisahkan Danial dan Irfan kerana mereka berdua sangat rapat. Segalanya sanggup aku lakukan demi kebahagiaan orang-orang yang aku sayangi. Bahagia hidupku biarlah masa yang menentukan kerana aku sudah pernah mengecapinya sedikit waktu dulu.

 

“Pandu baik-baik tau” aku hanya mengangguk kecil mendengar pesanan dari Alia, satu-satunya sahabatku yang setia menemani aku dikala susah dan senang. Segalanya telah aku luahkan pada Alia. Hanya wanita itu yang  memahami sekeping hati milik seorang perempuan bernama ElleaNur Eizurra.

“Ingat nasihat yang aku cakap semalam. Jangan buat keputusan melulu, ingat di antara kau dan Irfan masih ada Danial”

“Mana mungkin aku melupakan permata hatiku yang satu itu, Alia. Hanya dia yang aku ada sekarang ni. Hanya kebahagiaan hidupnya yang aku pentingkan” Ucapku seraya mendakap Alia erat.

“Ermm, aku faham perasaan kau Ellea, aku harap kau akan terus tabah dengan dugaan ini. Tapi, kau juga perlu fikirkan tentang kebahagiaan hidupmu Ellea. Atau kau nak aku sendiri berjumpa dengan Irfan. Bagaimana?” Aku menolak pantas cadangan Alia itu. Biarlah aku sendiri yang menyelesaikan masalah di antara aku dan Irfan. Kesudian Alia mendengar luahan hatiku dan menumpangkan aku dan Danial dirumahnya sudah aku kira satu pengorbanan yang cukup besar sebagai seorang teman.


“Terima kasih atas segalanya Alia. Hanya kau teman aku di dunia dan akhirat” ucapku dengan air mata yang mula memenuhi kolam mata.

“ElleaNur…. Janganlah menangis lagi. Berat hati aku nak lepaskan kau balik ni. Janji dengan aku Ellea, kau perlu kuat, tabah menghadapi segala kemungkinan tau. Telepon aku kalau kau perlukan apa-apa bantuan. Lagi satu, tu baby dalam perut tu jangan dilupakan pulak!” Alia mengesat air mata yang mula berjuraian jatuh dari mataku. Sungguh! Tersentuh aku dengan keperihatinan Alia saat itu.

“Aku ok ajerlah Alia. Kau tu aje yang lelebih sedihnya dari aku. I’m a strong woman, right?” usikku dengan gelak kecil , gelak sekadar untuk mengurangkan kebimbangan Alia dan juga rasa sedih yang mula bertamu di hatiku.

“Danial, mari, kita dah nak balik ni. Salam auntie Alia cepat” arahku bila melihat Danial yang sedang asyik bermain dengan Aisyah dan Maisarra di halaman rumah Alia. Anak kecil itu riang sepanjang masa. Lagi-lagi ada anak-anak Alia yang berdua itu. Alangkah seronoknya menjadi seorang kanak-kanak, ceria tanpa sebarang masalah.

 

Walaupun berat hati, aku gagahkan juga untuk pulang ke Kuala Lumpur. Aku perlu segera menyelesaikan masalah aku dan Irfan. Tempoh waktu 2 minggu di Rumah Alia cukup untuk aku mengumpul sedikit kekuatan untuk menghadapi Irfan. Hatiku kini kembali tenang, fikiran aku juga sedikit lapang. Segalanya akan aku hadapi dengan tenang dan tabah. Keceriaan yang terpancar di wajah kecil Danial turut mengundang rasa bahagia di hatiku. Anak kecil itu tidak mengerti sama sekali kemelut yang melanda kedua mama dan papanya.

 

“Danial…duduk diam-diam! mama tengah drive ni kan!” tegurku kearah Danial yang ingin beralih ke tempat duduk belakang. Geram aku melihat dia dari tadi asyik beralih tempat.

“Danial sayang, merajuk kat mana ya?” Sekilas aku menjeling Danial di sebelah yang membungkamkan diri dari tadi. Aku tersenyum gelihati melihat muka Danial yang kelihatan merah. Mungkin dia cuba menahan diri dari menangis.

“Nanti sampai rumah Danial nak cakap kat papa. Biar papa marah mama pulak” tutur bibir mungil itu tanpa sedikit pun memandang ke arahku.

“Ermm..iyerlah tu. Sikit-sikit ngadu kat papa, sikit-sikit papa. Danial tak sayang mama eh?” sengaja aku mengusik Danial terus. Danial menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku mencebik bibir.

“Ok, kalau macam tu sampai KL nanti Danial tinggal dengan papa kat rumah Subang. Mama tinggal sorang-sorang kat rumah Bukit Jalil, boleh?” Spontan aku mengeluarkan cadangan, cadangan yang menguji fikiran anak kecil itu barangkali.

“Tak nak! Tak nak!!!” Danial menjerit seraya menghentakkan kakinya. Sekali lagi wajah kecil itu bertukar merah. Anak dengan papa sama saja, getus hatiku geram.

“Habis tu? Danial kan tak sayang mama. So, Danial tinggallah dengan papa”

“Tak nak! Danial nak tinggal dengan papa, dengan mama” aku hanya mengeluh perlahan mendengar jawapan Danial. Akan tergugatkah keputusanku untuk menetap berasingan dengan Irfan? Ah! Anak kecil ini memang tidak dan akan pernah mengerti hati dan perasaanku saat ini.

“Ok, tapi buat sementara ni kita tinggal dekat rumah Bukit Jalil. Nanti kita balik rumah Subang pulak, boleh?” Tuturku cuba berkompromi. Alasan yang sengaja aku cipta hanya sekadar meredakan hati Danial. Walau anak itu menangis saat ini sekalipun, aku tetap akan memandu terus ke apartmentku di Bukit Jalil. Biarlah, aku sanggup menghadapi kerenah Danial daripada menghadap wajah Irfan. Semoga selepas ini anak kecil itu akan beransur memahami masalah yang melanda kedua mama dan papanya.

“Papa pun tinggal kat rumah Bukit Jalil ke mama?”

“Tak, papa kat Subang. Nanti bila papa tak kerja Danial bolehlah jumpa papa ya sayang”  Danial di sebelah hanya mengangguk kecil. Sebelah tanganku mengusap kepala Danial perlahan.

“Ermm, macam ni lah anak mama” Danial anak yang bijak, walau dia suka memberontak, tapi kadangkala dia senang sekali menurut kata. Aku meneruskan pemanduan manakala Danial di sebelah sedang enak melayan mimpi.


Posted at 02:07 pm by ElleaNur
Make a comment  

Wednesday, April 13, 2005
RRH_34

“Hello, assalamualaikum papa, papa apa khabar?” tutur Irfan sebaik panggilannya di jawab oleh bapa mertuanya. Sudah agak lama dia tidak berbual dengan bapa mertuanya itu, semenjak dia melancarkan perang dingin dengan ElleaNur, dia tidak lagi pulang ke rumah mertuanya itu. Hanya ElleaNur dan Danial yang akan menjengah mereka di hujung minggu.

“Alhamdulillah, papa sihat. Kamu bagaimana? ElleaNur dan Danial sihat-sihat saja kan?” jawapan dan pertanyaan dari bapa mertuanya itu menyedarkan Irfan yang ElleaNur dan Danial tidak berada di sana.

“Irfan macam biasa saja pa, ElleaNur dan Danial juga sihat”  Nampaknya aku sudah pandai menipu, getus Irfan kesal. Tapi, dia mempunyai alasan untuk berbuat demikian, dia tidak mahu mertuanya itu risau akan keadaan ElleaNur jika dia tahu cerita yang sebenar. ElleaNur sangat rapat dan manja dengan papanya, sudah tentu mertuanya itu akan memarahinya jika sesuatu yang buruk melanda ElleaNur. Bukan dia takut akan kemarahan bapa mertuanya itu tapi, dia berasa segan dan malu akan segala yang telah dia lakukan pada ElleaNur.

“Oklah papa, Irfan saja telepon nak tanya khabar papa, sampaikan salam Irfan pada mama ya” tutur Irfan menamatkan panggilan. Seketika kemudian, dia duduk termenung di balkoni, memikirkan kemana ElleaNur membawa diri. Dia kerumah Alia di Ukay Perdana tetapi sudah tidak berpenghuni. Puas dia bertanya kepada orang-orang yang rapat dengan isterinya itu namun, hampa. Handphone ElleaNur juga gagal dihubungi. Sungguh! Dia buntu memikirkan cara untuk mencari ElleaNur dan Danial.

 

Sudah 2 hari Irfan tidak pergi ke pejabat. Menurut Rina, sudah 2 hari juga ElleaNur tidak datang kerja. Hari ini dia gagahkan juga langkahnya untuk menjenguk pejabat, mana tahu kalau-kalau ada berita mengenai ElleaNur. Sebaik tiba di biliknya, Irfan terpandangkan satu surat, terletak kemas di penjuru mejanya. Dia hanya mampu mengeluh berat apabila mendapati itu adalah surat perletakkan jawatan dari ElleaNur. Dia sudah menjangkakah hal yang satu itu. Mana mungkin ElleaNur akan terus berada di sini setelah apa yang aku lakukan padanya. Sedikit masa lagi pasti berita ini akan menjadi antara yang terhangat di Sinar Jaya. Pasti papa juga akan mengamuk dan tidak ketinggalan mama aku yang sangat sayang kepada menantunya yang satu itu. Tapi, pasti ada salah seorang di pejabat ini yang tahu dimana ElleaNur berada, mungkinkah Rina? Irfan berteka-teki sendiri.

 

“Rina, you tahu kenapa Eizurra tak datang kerja” soalan Irfan mengundang reaksi pelik di mata Rina. Hai..takkan isteri sendiri tak tau kot! Ini mesti ada krisis, getus Rina dalam hati. Sudah agak lama dia dapati tiada kemesraan di antara pasangan itu. Seakan ada perang dingin di antara Irfan dan Eizurra.

“Ermm tak tahu pulak saya En. Irfan. Your wife En. Irfan, takkan tanya saya pulak” sindir Rina sambil menjungkit bahu.

“Betul awak tak tahu ni? Habis tu siapa yang letak surat dari Eizurra atas meja saya?” tanya Irfan menduga Rina.

“Memang saya tak tahu. Tapi kalau pasal surat tu memang saya yang letak kat atas meja En. Irfan, itupun Eizurra yang telepon kelmarin suruh ambil dari biliknya dan beri pada En. Irfan” terang Rina panjang. Ada sinar kejujuran di dalam mata itu. Irfan mengeluh lemah lantas berlalu ke bilik pejabat ElleaNur. Nampaknya ElleaNur seakan sudah menjangkakan apa yang bakal terjadi dan bersedia untuk pergi meninggalkan aku.

 

Berada di dalam pejabat ElleaNur mengundang rasa kesal yang mendalam di dalam hati Irfan. Semua kenangan suka dan dukanya bersama ElleaNur bermain di layar mata, seakan menonton kisah sedih yang meruntun perasaan. Bermula detik pertemuan pertama di antara dia dan ElleaNur, kemudian kepada saat di mana dia mula bekerja sepejabat dengan ElleaNur. Terukir sedikit senyuman di bibir Irfan bila saja terkenangkan perbuatan nakalnya yang selalu mendera ElleaNur ketika itu. Ada saja helah dia untuk menyakat ElleaNur yang ketika itu amat sukar untuk di dekati. Pertunangan di antara dia dengan ElleaNur tidak seperti orang lain tapi dirasakan penuh kemanisan, banyak kenangan yang mencuit hati di alam pertunangan kami. Kenakalan aku dan kedinginan ElleaNur ketika itu amat mengusik perasaan. Terbayang juga detik-detik bahagia kami selepas berkahwin, di saat ElleaNur mengamuk di awal kehamilan dan melayan kerenah dan telatah manjanya sepanjang tempoh kehamilan sehinggalah setelah kehadiran Danial. Kebahagiaan semasa berbulan madu di Venice juga menjadikan Irfan rindu pada saat bahagia dia sekeluarga. Sungguh! Semuanya itu mengundang satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan, rindu dan kekesalan yang bercampur menjadikan dada Irfan sesak sekali. ElleaNur di mana kau sayang? Abang rindu! Seketika kemudian Irfan leka menatap gambar dia dan ElleaNur  juga Danial yang terdapat di atas meja dan di beberapa sudut bilik itu. Jemarinya rancak mengusap photo ElleaNur. Seketika dia tersenyum kemudian wajahnya bertukar mendung, tersenyum dan kembali mendung, suram, sesuram hatinya saat itu. Sungguh! Tidak sanggup untuk dia terus berada di dalam bilik ElleaNur itu.

 

‘ElleaNur sayang…maafkan abang’ Irfan mengirimkan sms kepada talian handpone ElleaNur, berharap akan ada respon dari ElleaNur.

‘ElleaNur, where are you now? I miss you so much sayang’

‘ElleaNur, please turn on your handphone sayang, please…’ Sekali lagi sms di hantar kepada talian ElleaNur. Sudah banyak kali dia mendail nombor telepon ElleaNur tapi yang menjawab hanya peti simpanan suara.

 

Sungguh! Dia bimbang dengan keadaan ElleaNur dan Danial saat itu. Dia ingin segera bercakap dengan ElleaNur untuk mengetahui keadaan mereka berdua dan dimana mereka berada. Dia tahu ElleaNur pasti tidak mahu bertemu dengannya saat ini, tapi dia perlu memohon kemaafan dari wanita yang telah disakiti hatinya itu. Ingin dia diubati hati yang terluka itu. Akan dibaluti sekeping hati itu dengan cinta dan kasih sayangnya. Tidak akan sesekali dia melepaskan wanita itu pergi dari hidupnya. Kini, Irfan sedar yang dia tidak boleh hidup tanpa ElleaNur Eizurra, satu-satu wanita yang dicintai sepenuh hatinya. Hidupnya hambar, hatinya sepi tanpa wajah mulus itu, wajah yang penuh ketenangan.

 

“Hah Irfan! Kenapa dengan kamu hari ni?” pertanyaan secara tiba-tiba dari papanya menyentakkan khayalan Irfan. Wajah tua papanya hanya di pandang dengan satu keluhan yang berat. Kalaulah papa tahu….

“Irfan tak berapa sihat pa”

“Eizurra pun tak sihat juga ke? Dah berapa hari papa tak nampak dia” Irfan hanya tersenyum pahit mendengar pertanyaan papanya. Perlukah dia menceritakan segala yang terjadi?

“Eizurra dah pergi tinggalkan Irfan pa” Irfan bersuara lemah, sesuram wajahnya saat itu.

“What??? Kenapa? Apa yang sudah terjadi ni Irfan? Cerita dengan papa Irfan!”  En. Harris bersuara lantang. Irfan tenang kerana dia sudah menjangkakan reaksi papanya itu.

“Semuanya salah Irfan pa. Irfan tuduh ElleaNur ada hubungan dengan Arman…”

“Ya Allah Irfan…apa yang merasuk fikiran kau ni hah!!! Irfan, kau tak sepatutnya…”

“Irfan tahu, Fan tahu pa…semuanya salah Irfan. Irfan yang kejam, bertindak mengikut perasaan…Ah! Kalaulah masa boleh diundur pa….Irfan…Irfan..” Irfan tidak dapat meneruskan bicara lantaran dirasakan dadanya mula sebak mengenangkan apa yang telah dia lakukan pada ElleaNur. En Harris datang menghampiri Irfan, cuba menenangkan hati anak bongsu kesayangannya itu.

“So, bagaimana dengan Danial, Eizurra bawa dia sekali?” Irfan hanya mengangguk lemah.

“Kau tahu dimana mereka berdua sekarang ni?” Pertanyaan dari papanya itu hanya di jawab dengan gelengan kecil.

“Irfan tak tahu nak cari mereka di mana lagi pa. Dah puas Irfan cari. Semua kawan-kawan ElleaNur Fan dah called. Rumah papa dan nenek dia pun tak ada. Tolong Irfan pa. Apa yang perlu Irfan lakukan? Irfan tak sanggup kehilangan ElleaNur pa”

 

En. Harris hanya menggeleng kesal ke arah Irfan. Anak lelakinya itu kelihatan lemah, tiada semangat langsung. Baru beberapa hari kena tinggal sudah tidak terurus begini. Nanar bagai orang yang kematian isteri. Jambang merata sana-sini. Ada senyuman kecil dibibir tuanya. Dia kadangkala pelik melihat perangai anak lelakinya yang satu ini. Irfan keras hati, degil, pemberontak, tapi dalam masa yang sama Irfan juga seorang yang  manja. Irfan selalu sangat mengikut perasaan dan darah mudanya. Bila sudah terjadi sesuatu yang buruk baru nak menyesal,  baru nak minta nasihat dan pertolongan darinya. Kalaulah mamanya tahu mesti panas telinga Irfan saat ini. Seketika, En. Harris terbayang akan wajah isterinya, Maryam. Wanita itu mesti bagaikan cacing kepanasan apabila mendapat tahu berita menantu kesayangannya itu pergi meninggalkan Irfan. Pasti mulut becoknya bertambah riuh. Irfan memang saja cari nahas!

 

“Papa rasa ada eloknya Eizurra pergi dari hidup kau buat sementara waktu. Biarkan dia redakan dulu perasaannya. Takkan kemana rajuk isteri kau tu Irfan. Cuba pujuk dia baik-baik, ubati luka dihatinya. Jangan sesekali paksa dia Irfan” En. Harris menepuk perlahan bahu Irfan dan berlalu keluar. Irfan bukan boleh dipercaya sangat. Anaknya itu pasti terus mengikut kata hatinya. Pasti akan dipaksanya si Eizurra kembali kepadanya. Dasar pemberontak!

“Tapi pa mana Fan nak cari dia?” En. Harris hanya menjungkit bahu seraya meneruskan langkah.

 

Kali ini dia tidak akan membantu Irfan. Biarlah anak lelakinya itu sendiri yang menyelesaikan masalah rumahtangganya. Dia tidak akan sesekali mencampuri urusan rumahtangga anaknya itu. Dia juga mahu Irfan menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran untuknya menghadapi hari esok. Adat berumahtangga, pasti akan ada pasang surutnya. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Dia yakin Irfan pasti dapat meraih kembali hati Eizurra. Kedua-dua mereka saling memerlukan, saling mencintai dan menyayangi. Pasti ada rahmat di sebalik apa yang terjadi ini.


Posted at 01:58 pm by ElleaNur
Make a comment  

Tuesday, April 12, 2005
RRH_33

Abang,

Maafkan Ellea. Mungkin ini kesudahan hubungan kita. Sungguh! Ellea tak menjangkakan yang jodoh kita sampai setakat ini. Namun, Ellea redha jika itu sudah kehendak  takdir. Mungkin sudah tersurat kebahagiaan Ellea bersama abang hanya untuk seketika. Ellea sangat bersyukur dan menghargai saat indah kita bersama. Namun, Allah yang berhak menentukan segalanya walau Ellea telah berusaha untuk menyatukan retak yang melanda ini. Ellea hanya seorang perempuan, hamba yang lemah,tidak mampu untuk menolak takdir ilahi.

 

Abang,

Selama ini, Ellea cuba untuk menjadi isteri yang baik, taat, sempurna di mata abang tapi, mungkin semuanya salah Ellea. Ellea telah banyak mengecewakan hati abang. Ellea tak dapat menarik perhatian abang malah sudah tidak dapat memberikan kebahagiaan pada abang dan rumahtangga kita lagi. Tapi, abang tak perlu bimbang kerana Ellea tidak akan sesekali menyalahkan abang di atas apa yang telah terjadi ini. Semuanya adalah atas kehendak takdir. Semuanya juga mungkin dari kelemahan dan kebodohan diri Ellea sendiri.

 

Abang,

Tidak banyak yang Ellea pinta dari abang selama ini. Hanya sedikit kasih sayang, kepercayaan dan pengertian dari abang untuk diri Ellea. Namun, Ellea sedar, Ellea tiada hak untuk mempersoalkan janji-janji abang di awal perkahwinan kita sedikit waktu dulu.  Abang berhak untuk terus menyakiti hati Ellea, menghina malah membenci diri ini, Ellea tega. Ellea sanggup menerima segala kedinginan dan tuduhan abang, Ellea redha. Tapi, bila kesetiaan dan kesucian Ellea di curigai maaf, Ellea tidak dapat menerimanya. Dan disaat abang menghempapkan tuduhan seberat itu, Ellea sedar yang abang sudah tidak memerlukan Ellea lagi dalam hidup abang. Apa gunanya hubungan ini diteruskan jika kesucian dan kesetiaan Ellea sebagai isteri abang di curigai. Sungguh! Hinanya diri Ellea rasakan saat ini di mata abang.Semoga tiada penghinaan yang lebih teruk dari hari ini.

 

Abang,

Mengertilah bahawa tangisan Ellea semalam bukan kerana abang. Tidak sekali-kali kerana abang. Jangan abang kesalinya kerana ianya hanyalah tangisan seorang hamba yang tewas kepada kehendak takdir. Sudah lama Ellea pendamkan mutiara jernih ini daripada tumpah keluar. Ellea sedar saat jatuhnya airmata ini, bermakna Ellea tewas dengan kehendak takdir. Takdir yang menewaskan ikatan suci yang sangat Ellea sayangi dan sanjungi sepanjang hidup bersama abang. Sungguh! amat sedih dan sukar bagi Ellea untuk mempercayai apa yang telah pun menjadi kenyataan. Semoga tiada kesedihan yang lebih teruk dari hari ini.

 

Abang,

Sekali lagi, ampunkan Ellea dan Izinkan Ellea pergi dari hidup abang buat sementara waktu. Ellea perlu mencari kembali harga diri Ellea yang telah abang campakkan. Izinkan juga Ellea membawa Danial bersama kerana hanya dia yang Ellea ada buat masa ini. Ellea tidak akan sesekali memisahkan Danial dari hidup abang. Itu janji Ellea untuk abang.

 

Abang,

Ellea serahkan segalanya pada tangan abang untuk menentukan hala tuju hubungan kita. Ellea sedar berdosa seorang isteri meminta talak dari suaminya jadi, semuanya terserah pada abang. Apa jua keputusan yang bakal abang buat, Ellea setuju. Andai tiada jodoh di antara kita Ellea redha. Cuma, satu yang Ellea nak abang tahu, saat ini Ellea hamil, dan tolong jangan sesekali abang mempersoalkan kewujudan benih suci ini. Cukup Ellea seorang yang menanggung tuduhan dan nista dari abang. Satu lagi permintaan Ellea dari abang, andai abang ingin menceraikan Ellea sekali pun, abang tunggulah sampai Ellea selamat melahirkan anak ini kerana Ellea tidak mahu anak ini menerima cacian dari masyarakat diluar sana. Sungguh! Ellea takut untuk menghadapinya untuk sekian kali.

 

Abang,

Izinkan Ellea untuk meneruskan kandungan ini. Halalkan segala makan dan minum Ellea selama menjadi isteri abang. Ampunkan juga segala salah dan silap Ellea pada abang.

 

Sekian.

ElleaNur Eizurra

 

 

Ya Allah apa yang telah aku lakukan? Irfan terjelepuk di lantai sebaik habis membaca surat dari ElleaNur. ElleaNur pergi meninggalkan aku? Terlukakah hati ElleaNur dengan segala tuduhan yang aku lemparkan kepadanya semalam? Sungguh! Bukan niat aku untuk menyingkirkan ElleaNur dari hidup aku. Aku cintakan ElleaNur sepenuh hati, tiada wanita lain yang bertaktha dalam sanubari ini. Kejamkah aku? Sanggup aku mencurigai kesetiaan dan kesucian ElleaNur sedangkan aku tahu ElleaNur tidak akan sesekali melakukan perkara sekeji itu. Mungkinkah aku terlalu mengikut perasaan? Aku sedar sudah agak lama aku bersikap dingin dengan ElleaNur, selalu menyakiti hati wanita itu dengan pelbagai perkara. Tapi, semua yang aku lakukan juga di sebabkan oleh ElleaNur. Hubungan dia dengan Arman mengundang cemburu dan sakit hati pada diriku. Memang aku sendiri yang membenarkan ElleaNur membuat pelan rekabentuk rumah Arman, tapi, itupun setelah ElleaNur beriya-iya memujuk aku. Walau pada mulanya aku tidak cemburu, tetapi apabila mendapati yang masa ElleaNur banyak di habiskan untuk bersama Arman, rasa cemburu yang aku simpan bertukar menjadi satu perasaan sakit hati yang akhirnya aku lepaskan kepada ElleaNur. Seakan ada satu perasaan dendam aku terhadap wanita itu.

 

Irfan sendiri pun hairan bagaimana dia boleh mempunyai perasaan sedemikian terhadap wanita yang sangat dicintainya. Adakah kerana Julia? Ya, mungkin juga kerana wanita itu. Seingat Irfan, semenjak ElleaNur mempunyai urusan dengan Arman, Julia kerap bertemu dengannya, dan di dalam setiap pertemuan pasti akan ada cerita mengenai ElleaNur dan Arman. Julia seakan-akan cuba melaga-lagakan  hubungan aku dan ElleaNur. Mungkinkah Julia masih menaruh hati kepada dirinya lalu dia menggunakan kesempatan ini untuk memisahkan aku dengan ElleaNur? Mungkinkah? Ya Allah! tetapi, kenapa baru hari ini aku menyedarinya setelah ElleaNur pergi meninggalkan aku. Sewaktu waktu dulu, aku pernah berjanji dengan ElleaNur untuk tidak mengungkiti masa silamnya, juga untuk tidak cemburu dengan Arman atau mana-mana lelaki sekalipun tapi, aku hanya seorang manusia, lelaki yang di kurniakan dengan sedikit sifat ego untuk melindungi harga dirinya. Kini, semuanya sudah terlambat, ElleaNur telah pergi membawa hatinya yang terguris. Sungguh! Aku amat menyesal! Ya, aku perlu melakukan sesuatu untuk mengubati hati ElleaNur, membawa dia kembali bersama-sama dengan aku dan Danial, juga anakku yang bakal lahir. ElleaNur hamil! Itu yang sangat Irfan kesalkan, teganya dia menyakiti hati ElleaNur di dalam keadaannya yang sebegitu.

 

Irfan bingkas bangun menuju ke arah almari  pakaian dia dan ElleaNur. Segera pintu di buka, hampir kesemua pakaian milik ElleaNur telah di bawa pergi. Kemana arah tuju ElleaNur dan Danial membawa diri dia tidak pasti. Semalam, setelah pertengkaran, Irfan segera meninggalkan rumah mereka, keluar mencari ketenangan dan dia juga tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di hotel. Sebaik pulang kerumah pagi ini, dia dapati kereta Honda Jazz milik ElleaNur tiada di garaj. Dan kini, hanya sehelai surat yang di terima dari ElleaNur, surat yang di letakkan bersama-sama rantai pemberiannya sewaktu menyambut hari kelahiran ElleaNur yang ke-28 tahun. Sungguh! Seakan ada sesuatu yang menyentap tangkai hatinya saat memegang rantai itu. Hadiah yang sengaja di pilih supaya ElleaNur selalu berasa dekat dengannya. Dekat dengan denyutan hatinya setiap saat dan ketika. Ya Allah, sudah tertutupkan hati ElleaNur untuk aku? Sungguh! Irfan gerun memikirkan apa yang ada di hati ElleaNur saat ini.

 

“ElleaNur….maafkan abang sayangggggg, maafkan abanggg” setitis airmata lelakinya jatuh di saat bibirnya merintih mengungkapkan sebaris ayat itu.

 

Sungguh! Hatinya bagaikan dipalu. Rantai leher ElleaNur digenggam erat dan dikucup lama. Irfan bersandar lemah di pintu almari. Seketika wajah sendu ElleaNur terbayang di segenap ruang. Wajah itu penuh kedukaan, penuh kesedihan. Wajah itu juga sangat meruntun jiwa lelakinya. Tiba-tiba rasa rindu, kesal dan bersalah mencengkam hebat di hatinya terhadap ElleaNur. Saat itu, cuma satu tekadnya, kembali mengubati luka dihati ElleaNur walaupun dia pasti agak sukar untuk dia berbuat demikian. ElleaNur, wanita itu punya hati yang cukup keras disebalik kelembutan wajah yang dipamerkan. Namun, segalanya sanggup dilakukan untuk meraih kembali hati wanita yang di cintainya itu.


Posted at 01:04 pm by ElleaNur
Comment (1)  

Monday, April 11, 2005
RRH_32

Irfan gelisah sendiri di dalam bilik pejabatnya. Benarkah kata Julia yang dia ternampak ElleaNur dengan Arman di Hotel Istana? Perlu apa ElleaNur bertemu dengan Arman sampai di hotel itu? Apa selama ini memang ElleaNur ada hubungan dengan Arman? Apakah selama ini ElleaNur hanya berpura-pura dengan aku? Entah-entah dia masih mempunyai perasaan dengan Arman. Apa saja boleh terjadi! Tapi, bukankah ElleaNur sudah berjanji dengan aku takkan ada lelaki lain selain daripada aku? Dia tidak akan berpaling kepada lelaki lain walau yang datang sehandsome Ari Wibowo, pelakon pujaannya.  Irfan menelan liur! Kalau ElleaNur sudah tidak mampu setia, sudah tidak dapat hadapi segala nista dan kedinginan yang aku beri...Ya Allah! tidak dapat aku bayangkan apa yang bakal terjadi pada rumahtangga kami. Tapi, bukankah selama ini aku yang sengaja mewujudkan sempadan di antara kami? Sengaja menyakiti hati ElleaNur? Habis itu untuk apa aku nyalakan api cemburu di hatiku sendiri? Aku tak cemburu, cuma..cuma apa? arghhh...aku sendiri pun tak pasti akan perasaan aku saat ini.


"ElleaNur!!!" jeritan Irfan bergema diruang tamu mengejutkan ElleaNur yang sedang melayan Danial di bilik permainan ditingkat bawah rumah. Segera ElleaNur pergi mendapatkan Irfan yang baru pulang dari pejabat di ruang tamu. Irfan kelihatan berang sekali di mata ElleaNur.

"Irfan! kenapa dengan you ni? menjerit tak tentu pasal!" tingkah ElleaNur geram. Dia sudah bosan melayan kerenah Irfan. Irfan tidak pernah mencari kesilapan dirinya sendiri, selalu sangat menghamburkan kemarahannya pada aku.

"Kenapa? Kenapa, you tanya I? Huh dasar perempuan tak ada harga diri!!!" Jerit Irfan kuat seraya menampar kuat pipi kiri ElleaNur. Seketika, kedua-dua mereka seakan terpana, memandang di antara satu sama lain.ElleaNur merenung terus wajah Irfan yang sedang menyinga merah, seakan tidak percaya dengan apa yang telah Irfan lakukan padanya sebentar tadi. Hinanya aku di mata Irfan saat itu. Ya Allah, apa yang telah merasuk Irfan hingga sanggup menampar dan mengeluarkan kata-kata yang berbisa itu kepada aku.

 

"Apa salah I, apa yang I dah buat, hmmm?" bidas ElleaNur dalam suara yang ditahan. Pipinya dirasakan sungguh berbahang saat itu. Tapi sakit di pipi tidak terlawan dengan sakit yang ada di hatinya saat itu.

"Dah buat salah tak nak mengaku! Julia bagitahu I yang dia nampak you dan Arman di hotel Istana petang tadi. Cakap dengan I apa yang you dah buat ElleaNur???" jeritan Irfan sekali lagi bergema di segenap ruang tamu. Bahu ElleaNur di goncang kuat.

"Ya, memang I ada berjumpa Arman petang tadi. Kami sekadar minum petang di situ. Salahkah? Lagipun I sedar I isteri orang walau sudah lama tak dilayan seperti isteri!" terang ElleaNur dengan suara yang bergetar. Salahkah aku kalau Arman sekadar ingin belanja aku makan setelah urusan busines di antara aku dan dia sudah selesai. Aku sekadar memenuhi permintaan seorang teman tanpa sebarang niat lain.

"Pergi makan atau melayan Arman? Takkan sebab I dah lama tak layan you seperti isteri you nak cari lelaki lain!" tuduh Irfan lagi.

"You mengesyaki I Irfan? You meragui kesetiaan I? How could you do that! Nampaknya you lebih percayakan Julia daripada I sendiri, you lebih rela menyakiti hati I daripada mencari kebenaran Irfan!!!" Lemah segala sendi aku rasakan saat itu. Sampainya hati Irfan menuduh aku begitu. Sungguh! aku tak sangka Irfan berfikiran sejauh itu. Aku tak sekeji anggapan Irfan itu. Aku masih ElleaNur yang dulu, ElleaNur yang akan terus mengasihi Irfannya sehingga  ke nafas yang terakhir. Ada sendu yang cuba aku tahankan. Aku tahu selepas ini aku pasti menangis, menangis kerana tewas dengan kehendak takdir dan bukan sesekali kerana Irfan!

 

"Mana tau kalau you curang dengan I, sebab I dah lama tak menghiraukan you" tuduh Irfan selamba.

"You syaki I?" kataku sekali lagi meminta kepastian dari Irfan.

"Yes!!!" ElleaNur pandang wajah Irfan tidak berkelip. Tidak percaya dengan tuduhan Irfan, satu-satu lelaki yang dicintainya. Ada cecair jernih di birai mata aku rasakan saat itu. Aku perlu lakukan sesuatu untuk mempertahankan harga diriku, segera aku mengumpul kekuatan untuk menangkis tuduhan Irfan.

"Apa you ingat I sekeji itu, sehina itu Irfan? You tak sepatutnya membuat tuduhan seberat itu pada I! Selama ini I sanggup terima segala kedinginan you, caci maki you, segala kepedihan dan kedukaan yang you beri tapi tidak untuk tuduhan seberat ini. I sanggup hadapi segalanya tapi bila you syaki I bermakna you mengesyaki kesetiaan I pada you. You juga mengesyaki kasih sayang I pada you. Cinta suci I buat you malah kesucian I! Sungguh! I tak dapat menerimanya! You keterlaluan! I tak pernah buat apa yang you fikirkan, tak pernah!!! " jeritku kuat lalu berlari  kedalam bilik tamu, menguncikan diri didalam bilik tu. Segera aku hamburkan airmata yang telah sekian lama aku halang daripada merembes keluar. Jatuhnya mutiara jernih ini bererti aku sudah tewas!


Sungguh! aku tidak pernah merasa sesedih dan sepedih ini sepanjang umur hidupku. Tapi, apabila orang yang aku sayangi dan cintai sepenuh hati menghempapkan tuduhan yang seberat itu, aku kecewa. Hati yang sediakala pedih, terasa bagai ditusuk belati, sakit hingga ke tulang hitam. Saat ini, aku sedar tiada gunanya aku terus berada di rumah ini jika kesetiaan dan kesucian aku di curigai. Aku tidak boleh hidup di dalam dunia penuh kecurigaan ciptaan Irfan. Aku ada harga diri. Aku perlu membawa diri yang hina ini jauh dari pandangan Irfan. Aku pasrah dengan kehendak takdir. Biarlah malam ini menjadi malam yang terakhir aku bermalam dirumah yang banyak menyimpan cerita seribu kisah suka dan duka aku selama melayari hidup berumahtangga dengan Irfan.

 

Sebaik teringatkan Danial yang agak lama ditinggalkan sendirian, ElleaNur segera bangkit dari katil dan berlalu keluar. Seketika dia berpapasan dengan Irfan yang baru keluar dari bilik permainan Danial. Sedikit pun dia tidak berusaha untuk memandang ke arah lelaki itu. Lelaki yang meragui kesetiaan dan kejujuran aku sebagai isterinya. Untuk apa memandang jika hati telah hancur berkecai dengan tuduhannya itu. ElleaNur duduk memeluk lutut, memerhatikan Danial yang leka dengan legonya. Tahukan anak itu apa yang telah terjadi sebentar tadi? Tahukan dia akan kesedihan yang melanda dihati mamanya saat ini? Seketika apabila Danial menghampiri dan mendakap aku erat, aku sedar bahawa masih ada insan yang menyayangi diri aku sepenuh hatinya. Sungguh! aku bersyukur dengan kurniaan yang satu ini. Aku membalas pelukan Danial dan menangis untuk sekian kalinya. Tersedu-sedan mengenang nasib diri saat itu. Biarlah untuk hari ini aku menangis sepuas-puasnya.

 

“Mama, kenapa mama nangis?” Aku hanya tersenyum kecil mendengar pertanyaan dari Danial. Emosinya aku!

“Tak ada apa sayang. Mama sayang sangat dengan Danial sebab tu mama menangis” Alasan yang aku kira paling sesuai untuk anak kecil seperti Danial.

“Mama takut Danial pergi tinggalkan mama, takut Danial tak sayangkan mama lagi” sambungku terus. Aku rela kehilangan papamu tapi bukanmu sayang. Hanya Danial yang mama ada saat ini.

“Danial ada kat sini, Danial tak pergi mana-manalah mama. Mama jangan takut ya” Aku tersenyum mendengar jawapan Danial.

“Mama tahu sayang. Danial kan anak mama yang baik” kataku seraya mencium kepala anak kecil itu.

“Danial sa…yang mama” Tapi tidak papamu Danial, tergamaknya dia…Ah! Kau tak perlu tahu apa yang ada di hati mama saat ini Danial.


Posted at 12:31 pm by ElleaNur
Make a comment  

Thursday, April 07, 2005
RRH_31

Petang ini aku ada temujanji dengan Arman. Walau pada mulanya aku menolak tapi bila mengenangkan mungkin kali ini merupakan pertemuan kami yang terakhir, lalu aku menerima undangan Arman itu. Segala urusan kerja di antara aku dengan lelaki itu telah pun selesai sepenuhnya jadi, menurut Arman sebagai tanda terima kasih dia ingin belanja aku, sekadar makan-makan. Tapi satu yang aku bimbangkan kini, keizinan Irfan. Sudah puas aku cuba menghubungi handponenya tetapi gagal. Kemana menghilangnya lelaki itu dia sendiri tidak pasti. Kalau mengikut jadual Irfan, dia tidak mempunyai sebarang temujanji sepanjang hari ini. Tapi, pedulikah Irfan dengan apa yang akan aku lakukan? Kemana arah ingin aku tujui? Rasanya sudah terlalu lama diri ini tidak diberikan perhatian, selalu sahaja di abaikan. Cuma aku sahaja yang terhegeh-hegeh memberitahu dan meminta keizinan darinya, kemana dan di mana aku setiap masa. Lelaki itu bagaikan sudah tiada perasaan untuk melindungi aku. Segalanya terletak di bahuku sendiri. Selepas menghantar Danial kerumah mamaku, aku bergegas memandu menuju ke bandar.

 

“Sorry Arman, I terlambat” tutur ElleaNur sebaik saja mendapatkan Arman di Ristorante Bologna, Hotel Istana. Arman hanya tersenyum kecil melihat aku yang sedikit kalut.

“Takpa, I pun baru je sampai”

“Anak I meragam hari ni, dia tak mau ditinggalkan dengan mama I” Teringat Danial yang menangis semasa aku memandu keluar dari rumah mama tadi. Mujur papaku ada, bolehlah dia tolong pujukkan si Danial.

“I tak menyusahkan you ke Nur?” Mungkin Arman rasa bersalah mendengar alasanku tadi.

“Takde lah. It’s ok. So you dah order ke belum ni?”

“Belum lagi. I nak you yang order” Arman masih seperti dulu. Aku tahu Arman tidak akan membuat tempahan sendiri. Dia pasti menyuruh aku yang memilihkan makanan untuk dia. Tidak seperti Irfan yang selalu mendahulukan citarasanya jika kami makan di luar. Lain orang lain ragamnya. Aku mengeluh perlahan. Lagi-lagi lelaki itu yang aku ingatkan.

“La kan you yang nak belanja I, so you lah yang order?” Aku menjungkit bahu bila Arman menggeleng kepala.

“Well, Italian food la nampaknya ya?” Lelaki itu hanya tersenyum tanda bersetuju dengan cadanganku. Aku segera memanggil pelayan dan membuat tempahan. Keadaan kembali sunyi. Aku tiada idea untuk berbual. Sukar untuk aku mewujudkan kemesraan dengan lelaki ini sebagaimana waktu dulu. Seketika kami hanya diam membisu melayan perasaan masing-masing.

 

“Nenek Hasmah you apa khabar?” Arman memulakan bicara. Mungkin kali ini baru dia berkesempatan untuk menanyakan perihal nenekku. Sebelum ini semua perjumpaan kami lebih kepada urusan kerja.

“Alhamdulillah sihat” Arman memang rapat dengan nenekku itu. Dulu setiap kali cuti sekolah dia selalu mengikutku pulang ke kampung nenek memandangkan kedua ibubapanya menetap di Australia.

“Erm, lama I tak jumpa dia, mesti semakin comelkan, Aki you pulak mesti bertambah gantangkan?” komen Irfan meledakkan tawa di bibirku.

“Pandailah you! Mana ada orang semakin berusia semakin comel, semakin gantang”

“Ada. You!” jawapan Arman membuatkan tawaku terhenti. Mukaku yang polos dari sebarang solekan mula memercikkan warnanya. Tidak tahukan Arman bahawa wanita yang dipujinya itu adalah isteri orang.

“You bahagia Nur?” Soalan apakah ini? Aku membuang pandang ke cermin luar. Nampak sangatkah penderitaan yang aku alami ini?

“Ya, bahagia, kenapa Arman?” Berbohongkah aku? Tapi, ya! aku pernah bahagia sedikit waktu dulu, tapi kini rasa bahagia itu telah lenyap, yang tinggal hanya sisa-sisanya sahaja.

“You nampak sedikit kurus, berbeza masa I jumpa you di Venice”

“I terlalu banyak kerja lately ni, anak I Danial pun sudah semakin lasak. Tu yang buat I bertambah kurus agaknya” Arman hanya tersenyum menganggukkan kepala.

“You pulak bagaimana Arman? Bila nak kahwin?” Setahu aku dia masih solo, tapi tak tahu pula kalau dia sebenarnya sudah berkahwin.

“I masih seperti dulu Nur. Ingatkan dulu jodoh I dengan you tapi….” Arman mengeluh perlahan dan tersenyum pahit.

“Mungkin salah I, I pergi dan tak pernah cuba untuk menghubungi you” Ada nada kesal dalam sebaris ayat itu.

“Semuanya sudah berlalu Arman. I pun sudah berkahwin dan pun ada anak. Sudah takdir tiada jodoh di antara kita. Well, tujuan kita datang sini sebab you nak belanja I makan kan? So, apa kata kita makan dulu kemudian baru sambung cerita, ok?” Sungguh! Aku tidak mahu Arman menyentuh tentang masa lalu kami. Bagiku semuanya itu sudah tiada ertinya lagi.

 

“So, macam mana dengan rumah baru you tu? Any complaint from your parents?”

“Takda, diorang puas hati dengan hasil kerja you. Mereka dan tak sabar nak berpindah ke rumah tu dan….” Aku mengerutkan dahi apabila Arman berhenti dari terus berbicara.

“Suruh I cepat cari calon menantu untuk menemani mereka”

“So, dah ada calon ke belum ni?” Tanyaku pantas.

“Ada tapi….. dah melepas!” Arman merenungku, ada seulas senyuman pahit di bibir lelaki itu. Matanya merenungku terus.

“Arman please…….” Hilang selera aku untuk terus menikmati makanan di meja.

“Ok, ok, I’m so sorry. My parents jemput you masa kenduri kesyukuran nanti” aku sekadar mengangguk kecil menerima undangan dari Arman.

 

Banyak yang kami bualkan lewat pertemuan itu. Dari zaman persekolahan hinggalah yang menyentuh kisah-kisah peribadi dan kembali semula kepada realiti hidup. Arman seringkali cuba membawa fikiran aku kepada kenangan lama tapi segera fikiran aku pantas menolak. Sungguh! Aku tidak mahu mengenangkan kisah yang telah pun berlalu itu kerana sedikit sebanyak ianya pasti turut mengguris hatiku yang telah sedia tercalar dengan perbuatan Irfan sejak kebelakangan ini. Biarlah, Arman berhak untuk mempertikai atau memikirkan apa jua yang ada dalam fikiran dan kehidupan aku saat ini. Tapi satu yang aku ingin Arman fahami, kasih dan kesetiaan aku hanya pada lelaki yang bernama Ezairil Irfan. Biar berapa banyak godaan dan dugaan yang mendatang, setiaku hanya pada lelaki itu, walaupun Irfan sendiri kini kian menjauhkan dirinya dari kehidupanku.

 

Arman mungkin mempunyai peluang untuk hidup bersamaku jika dia kembali semula ke dalam hidup aku sebelum kehadiran Irfan tetapi tidak untuk masa ini kerana jiwa dan hatiku kini telah pun dipenuhi dengan cinta dan kasih sayangku untuk lelaki yang satu itu. Hanya Irfan yang aku rindu, yang aku dambakan siang dan malamku. Hanya wajah lelaki itu yang ingin aku tatap hari-hari. Hanya renungan dan suara Irfan yang bisa menggetarkan naluri perempuanku kini. Tapi, semuanya itu sudah lama pergi dari hidupku. Namun, aku tahu masih ada rasa kasih yang menebal dalam hati Irfan untukku. Kasih yang tidak perlu di ungkapkan dengan kata-kata, cukup sekadar melalui sinar yang terpancar dari sepasang mata hitam milik lelaki itu. Sungguh! kedinginan dan kemarahan yang di pamerkan Irfan gagal menutupi kasih sayangnya yang menebal itu terhadapku. Tidak sedarkah Irfan tentang satu hakikat, bahawa ego seorang lelaki walau yang setinggi KLCC sekalipun tidak akan berjaya menutupi api cinta yang ada dalam dirinya terhadap seorang perempuan yang mereka sayangi!

 

Rasa tidak sabar ingin segera pulang menemui Irfan kerana aku ada perkhabaran gembira untuk lelaki itu. Aku harap selepas ini kami mempunyai lebih banyak masa untuk bersama-sama melayari bahtera rumahtangga yang baru setahun jagung ini. Akan aku cuba memenangi kembali hati Irfan yang telah lama di bawa arus perasaan cemburu dan sakit hati di atas perhubungan yang wujud di antara aku dan Arman. Terbayang di ruang mata akan kebahagiaan yang bakal aku dan Irfan nikmati bersama-sama telatah manja Danial yang mencuit hati. Tapi, mungkinkah apa yang aku angan-angankan ini bakal menjadi kenyataan? Bagaimana dengan Irfan sendiri? Adakah dia juga turut memasang angan-angan yang sama sebagaimana yang aku impikan? Sudikah dia kembali menjadi Irfan aku yang dulu? Irfanku yang romantis, penuh dengan kasih sayang dan kepercayaan. Tapi bagaimana pula dengan kesetiaan Irfan? Bagaimana dengan Julia?. Ah! Rindunya aku pada lelaki yang satu itu.


Posted at 03:49 pm by ElleaNur
Make a comment  

Wednesday, April 06, 2005
RRH_30

Irfan pulang disaat aku hampir terlena. Sekilas aku menoleh ke arah jam di meja, 11.30pm, erm awal pulak balik hari ni, getus hatiku. Tanpa mempedulikan Irfan aku kembali menyambung tidur yang sedikit terganggu dengan cahaya lampu dari bilik air yang dibuka oleh Irfan. Seketika kemudian terasa ciuman lembut didahi dan pipiku membuatkan hati aku sedikit terharu. Aku sedar, walau sehebat mana pun perang dingin yang berlaku diantara kami, Irfan tidak pernah melupakan rutinnya yang satu ini. Satu-satunya rutin yang membuatkan aku tahu bahawa Irfan masih menyayangi dan mencintai aku sepenuh hatinya. Malah kami tidak pernah berpisah ranjang kerana aku tahu itu adalah petua kebahagiaan rumahtangga yang kerapkali dipesan oleh mamaku. Cuma ego Irfan sebagai seorang lelaki menghalangnya untuk terus menunjukkan kemesraan dan berbaik semula dengan aku seperti dulu.

 

Tiba-tiba terasa rangkulan erat dari Irfan, memaksaku untuk mengalihkan posisi menghadapnya. Seketika kami berpandangan. Aku tersenyum kecil seraya jariku mengusap lembut pipi lelaki itu. Sungguh! Ada rindu yang sarat disebalik pandangan yang redup itu. Rindu yang cuba disembunyikan oleh ego seorang lelaki. Malas membantah, aku membalas pelukan Irfan seperti selalunya. Sentuhan Irfan mula berubah rentak, apabila bibir kami bertaut, aku tahu apa yang dikehendaki oleh Irfan, belaian seorang isteri dan haknya sebagai seorang suami. Itu yang selalu ditegaskan oleh Irfan setiapkali aku cuba mengelak untuk memenuhi tanggungjawabku yang satu itu. Bukan niat aku untuk menderhakai suami, tetapi semenjak Irfan bersikap dingin, aku tidak rela didatangi oleh Irfan dengan hanya berlandaskan nafsu tanpa rasa kasih dan sayang diantara dua hati. Tetapi, Irfan tidak lagi pernah pedulikan itu semua. Tidak aku nafikan, Irfan memberikan aku layanan yang sepenuhnya saat itu, aku dibelai dengan penuh kelembutan dan terasa amat disayangi. Tetapi, apa yang aku kesalkan, Irfan akan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku diantara kami apabila cahaya pagi menjengahkan warnanya. Irfan berubah dingin dan akan segera ke pejabat, meninggalkan aku sendirian terkapai-kapai mengenangkan nasib diri. Sungguh! Kadangkala aku terasa seperti seorang perempuan simpanan yang hanya didatangi apabila diperlukan.

 

“Irfan, I nak bangun, I nak solat subuh” tuturku perlahan ditelinga Irfan seraya merungkaikan pelukan erat tangan Irfan dipinggangku. Irfan mendengus perlahan sebelum kembali menyambung tidurnya. Kalau dilihat pada keadaan Irfan saat ini, sudah pasti tiada siapa yang menyangka ada sengketa diantara kami. Aku perlu segera bangun, mandi dan solat subuh. Seusai mandi dan solat aku mengejutkan Irfan sebelum pergi mendapatkan Danial dibiliknya yang bersambung dengan bilik kami. Anak itu sedang nyenyak tidur, keletihan barangakali kerana semalam dia  mengikut papa Irfan pergi memancing di Port Dickson.

 

“Fan, you taknak sarapan dulu” perlawaku disaat ternampak Irfan melangkah ke arah pintu.

“I makan kat cafe office aje nanti” jawab Irfan seraya mencapai kunci kereta.

“I ada masakkan nasi goreng kampung kegemaran you ni” Irfan sekadar menggeleng kecil dan berlalu keluar. Tersentuh dengan perlakuan Irfan, aku segera berlari ketingkat atas. Ingin aku hamburkan segalanya yang terpendam di hati saat itu. Sampainya hati Irfan! Sudah lama dia menolak untuk menyentuh masakkan aku.

 

Sudah lama aku tahan airmata ini dari mengalir keluar, selama ini aku cuba untuk menghadapi segalanya setenang mungkin. Tetapi, untuk hari ini, biarlah aku menangis sepuasnya, selepas ini aku berjanji tidak akan menangis lagi kerana Irfan. Dan andaikata, suatu masa nanti airmata aku tumpah lagi, itu bermakna aku sudah tewas dengan kehendak takdir dan tidak sesekali kerana Irfan. Aku sedar, semenjak menjadi seorang ibu semangat aku begitu kuat sekali. Semuanya kerana Irfan. Dia yang mengajar aku untuk menjadi seorang isteri yang tabah, wanita yang bersemangat waja, perempuan yang kuat. Aku juga diajar untuk lebih berdikari dan tidak terlalu manja. Mungkin inilah hikmah disebalik apa yang selalu dipupuk oleh Irfan didalam diriku sebelum ini. Perlukan aku menjadi wanita tanpa air mata? Atau mungkinkah sudah sampai masanya untuk aku merealisasikan impian Irfan itu?

 

Kedatangan aku ke pejabat hari ini adalah semata-mata untuk segera menyiapkan urusan projek aku dengan Arman yang tinggal sedikit sahaja lagi. Segalanya akan selesai dalam masa beberapa hari saja lagi. Selepas itu aku bercadang untuk meletakkan jawatan di Sinar Jaya. Sudah sampai masanya aku bertindak melepaskan jawatan aku disini dan menumpukan sepenuh perhatian aku kepada rumahtangga aku yang sudah semakin goyah ini. Mungkin juga sebagai jalan untuk menyembunyikan diri dari lelaki-lelaki yang mengundang cemburu di hati Irfan. Itukah yang di mahukan oleh Irfan? Puaskah hati Irfan? Dan Kalaupun tiada peluang untuk meneruskan hidup berumahtangga bersama Irfan, akan aku gunakan sepenuh masaku untuk mendampingi Danial, satu-satunya permata hati aku dan Irfan. Sesampai sahaja di lobi Sinar Jaya aku berpapasan dengan Irfan yang sedang jalan beriringan dengan  En. Harris, bapa mertuaku.

 

“Hah Eizurra lambat datang hari ini?” tegur bapa mertuaku ramah. Lelaki disebelahnya hanya memandang selamba.

“Ermm, Danial meragam pulak pagi ni, dia tak nak ke taska. So , saya hantar ke rumah mama di Kajang. Tu yang lambat sikit papa” terangku dengan seulas senyuman. Sekilas aku memandang Irfan yang tersenyum penuh perli. Aku tahu hanya Irfan saja yang boleh memujuk Danial jika dia meragam begitu. Danial, pujukkan aku hari ini langsung tidak diendahkannya. Sudahnya aku terpaksa meminta bantuan mama untuk menjaganya.

“Wah, boleh tahan juga cucu papa tu ya, macam Irfan juga nampaknya. Degil, keras hati. Kenapa tak hantar ke rumah papa saja, kan dekat sikit” Tiba giliran aku pula untuk mempamerkan senyuman perliku yang termanis kepada Irfan.

“Tak mengapalah pa, saja tak nak menyusahkan mama” terangku pendek. Wajah aku yang sedikit sembab akibat menangis pagi tadi sedaya upaya aku sembunyikan dari pandangan kedua-dua lelaki itu.

“Oklah papa, saya naik office dulu” ujarku menamatkan perbualan. Tak sanggup aku untuk terus dipandang oleh lelaki yang sudah tidak berperasaan disebelahnya itu.

 

Amat sukar bagi aku untuk memahami hati dan apa yang ada difikiran Irfan saat ini. Puas aku mencari mencari kesilapan dan kekurangan diri, kesilapan yang membawa kepada kedinginan Irfan yang berterusan kepada diriku. Sungguh! aku keliru dengan Irfan. Lelaki itu boleh berubah sekelip mata. Hari ini dia mengaku cemburukan Arman tapi esok dia menafikan pula. Semalam mesra tapi hari ini berlagak seperti tiada apa. Sungguh! aku mula buntu mencari punca permasalahan kami. Ah, ego lelaki! Mana mungkin bagi mereka hendak mengaku kesilapan diri. Sungguh! Aku sudah letih , penat memikir dan menghadapi masalah ini bersendirian. Kini, aku pasrah mengikut keadaan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi dalam rumahtangga aku dan Irfan. Kemunculan Irfan secara tiba-tiba di muka pintu mengejutkan aku dari khayalan yang panjang. Seketika, mata kami berlawan pandang.

 

“Don’t you know how to knock the door!” sindirku mendatar.

“I dah ketuk, tapi you tu yang asyik sangat melamun. Ingatkan buah hati ke?” balas Irfan serius. Aku hanya mengeluh perlahan. Irfan! Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku.

“Teruskanlah menyakiti hati I Irfan. I tak kisah kerana masih ada sedikit lagi ruang untuk ianya disakiti” ujarku perlahan. Selebihnya aku ingin memaklumkan Irfan bahawa hatiku kini telah hampir penuh tercalar dengan tindakkannya. Irfan hanya tersenyum sinis. Bangga barangkali dapat mengguris hati aku saat itu.

“You menangis pagi tadi? Don’t tell me that you menangis kerana I” Aku hanya menundukkan wajah mencari jawapan yang sesuai untuk pertanyaan Irfan.

“Ya, I menangis, kenapa? Pelik?” Selamba aku menjawab.

“You jangan bimbang En Irfan. I tak menangis kerana you, tapi kerana diri I sendiri. Sedih dengan kelemahan diri I sebagai isteri...” terangku perlahan, cuba menidakkan akan hal yang sebenar. Ya, memang aku menangis keranamu Irfan! tapi, tangisan pagi ini adalah tangisan aku yang terakhir untuknya. Irfan tidak perlu bimbang.

 

“Jangan menangis kerana I ElleaNur. Tangisan you takkan merubah apa-apa” tutur Irfan serius tanpa memandang ke arah aku. Egonya Irfan saat ini, sedangkan aku tahu hatinya turut tersentuh melihat setiap mendung yang terukir di wajahku saat ini. Aku juga tahu setiap titisan airmataku bagaikan racun di hatinya.

“I tahu, tapi satu yang I pinta dari you, segera leraikan kekusutan yang melanda ini” tuturku perlahan.

“Kenapa dah tak sabar nak bersama buah hati you tu!” tingkah Irfan kuat dengan muka yang mula merona merah.

“Ya Allah tabahkan hatiku” bisikku perlahan. Aku hanya mampu beristifar pendek menghadapi tuduhan Irfan.

“Sampai bila you nak terus mendera I Irfan? I tak boleh hidup dengan kecurigaan you sepanjang masa. You langsung tak mahu dengar penjelasan I. Dimanakah kepercayaan you pada I selama ini?” Luahku dengan penuh emosi. Sungguh! Aku buntu memikirkan jalan keluar dari dunia yang penuh kegelapan ini.

“Kalau you mahu I berundur I akan pergi dari hidup you Fan. Mungkin itu jalan yang terbaik untuk kita. Apa yang harus I lakukan Irfan? Katakan Fan, I sedia turuti” Sambungku terus, terasa denyutan di hatiku saat itu, sakit!

Hanya inilah kesempatan yang ada untuk aku meluahkan perasaan yang terpendam memandangkan Irfan seakan-akan memberikan lampu hijau untuk aku terus berbicara. Lelaki itu hanya bertindak mendiamkan diri, berdiri menghadap keluar tingkap pejabatku. Sesekali ada kerutan di dahi Irfan, mungkin cuba mencari jalan penyelesaian yang aku minta.

“I mahu you putuskan hubungan you dengan Arman! Jangan sesekali berjumpa dengan dia lagi!” Satu arahan yang aku rasakan amat tidak masuk akal.

 

Irfan mahu aku putuskan hubungan aku dengan Arman? Hubungan apa? Kerja? Irfan tidak boleh mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja. Tidak profesional! Lagipun tinggal sedikit saja lagi urusan antara kami dan semuanya akan berakhir, tidak bolehkah Irfan bersabar? Aku tidak mahu Arman memandang rendah akan kredibiliti kerja aku, secara tidak langsung juga menjejaskan kredibiliti Irfan sebagai anak pemilik Sinar Jaya.

 

“I ada sedikit saja lagi urusan dengan Arman Irfan. Semuanya akan berakhir beberapa hari lagi” terangku perlahan, cuba mengharap pengertian dari Irfan. Irfan mendengus kasar, merenungku tajam seolah memandang seorang musuh.

“Baiklah, kalau itu yang you mahukan. Tapi, jangan sesekali menyalahkan I kalau terjadi sesuatu dalam hubungan kita!!!”

“Bagaimana dengan hubungan you dengan Julia En. Irfan???” sempat aku menjerit kecil kepada Irfan yang berlalu meninggalkan aku. Hatiku berbuku, mendongkol marah. Fail di meja aku campakkan ke lantai untuk melegakan hatiku yang panas. Bengang dengan kata-kata Irfan sebentar tadi.

 

Sungguh! Kadangkala aku berasa sangat geram dengan Irfan, lelaki itu hanya tahu meletakkan segala kesalahan di bahunya seorang. Tidak pernah mahu bersama-sama duduk berbincang mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Semuanya aku yang perlu menanggungnya. Segala kemarahan di hamburkan pada diriku. Aku hanya seorang perempuan Irfan! Punya hati dan perasaan yang sensitif. Takkan selamanya hati perempuanku mampu menanggung segala derita yang dihadiahkan oleh mu Irfan. Sungguh! aku tidak akan sesekali menyalahkan Irfan di atas apa yang terjadi. Mungkin juga semuanya yang terjadi adalah atas kehendak takdir dan juga kelemahan yang datang dari diriku sendiri. Aku rela menghadapi segala tuduhan dan caci maki Irfan jika hanya dengan cara itu yang dapat memuaskan hati lelaki itu. Ya Allah berikanlah aku sedikit kebahagiaan, ketenangan hati dan fikiran untuk menghadapi dugaanMu ini.


Posted at 01:04 pm by ElleaNur
Comments (4)  

Tuesday, April 05, 2005
RRH_29

Urusan kerja aku dengan Arman masih lagi berterusan. Masih ada sedikit lagi kertas kerja yang perlu aku siapkan sebelum semuanya berakhir. Aku akan segera meletakkan jawatan kalau itu yang dapat memuaskan hati Irfan. Sekali sekala aku akan berjumpa denga Arman, semuanya atas urusan kerja. Kalau tidak di pejabat Arman sendiri, Arman akan datang kepejabatku. Bukan niat untuk mengeruhkan lagi hubungan aku dengan Irfan, tapi itu semua aku lakukan atas urusan kerja. Tidak sedikitpun aku mengambil peluang untuk mendampingi Arman kerana aku sedar status diriku. Hanya Irfan yang menganggap hal bukan-bukan. Tidak aku nafikan, kadangkala lirikan mata dan reaksi Arman membuat aku terfikirkan yang Irfan patut cemburu. Tapi Irfan sepatutnya tidak perlu bimbang kerana aku tahu akan perasaan dan rasa hatiku. Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi! Hanya satu yang perlu Irfan lakukan, percayakan diriku sepenuhnya. Tapi hati manusia, tiada siapa yang dapat mengawalnya.

 

“ElleaNur, I ada hal nak…” tutur Irfan tiba-tiba dimuka pintu. Sebaik ternampak Arman dihadapanku, bicara Irfan terhenti serta-merta. Tergambar riak cemburu di wajahnya. Perlu apa Irfan cemburu dengan aku di saat hubungan antara aku dan dia yang sememangnya hambar ini. Bukankah dia sudah tidak mempedulikan aku lagi?

“Ok, tak mengapalah Nur, we discuss it later, nampaknya you ada hal penting yang nak dibincangkan” celah Arman seketika kemudian.

“Nur...sound good huh!” tutur Irfan sinis. Irfan melangkah menghampiri  mejaku setelah pemergian Arman. Aku hanya duduk selamba memerhatikan Irfan di depanku, segera mengemas kertas kerja yang dibincangkan dengan Arman sebentar tadi.

“So, urusan you dengan Arman sudah habis ke belum?”

“Ada sikit lagi, kenapa?” aku menjawab malas.

“Atau you yang sengaja melambat-lambatkan...”

“En. Irfan, no personal matters in my office please! So, hal apa yang you nak bincangkan tadi?” ujarku selamba memintas percakapan Irfan. Sengaja mengingatkan batas yang di gariskan Irfan sendiri beberapa minggu lalu. Semenjak saat itu aku lebih senang mengikut rentak Irfan. Sudah tiada istilah 'abang' dan Ellea lagi. Kini aku lebih selesa menggunakan I dan You, walau hatiku tidak sepenuhnya rela dengan ungkapan itu.

“Ok! Weekend ni I will outstation to KK, so..”

“Kenapa mesti bagitahu I? bukankah selama ini kemana you pergi, mana you tidur, you balik ke tidak, you tak lagi inform I, so...is up to you En. Irfan” sekali lagi aku memintas selamba tanpa memandang ke arah Irfan. Perlu apa Irfan memberitahu aku kemana dia mahu pergi. Hendak tunjukkan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang mithalikah? Irfan hanya mendengus kuat.

“You’re my PA remember? Nanti takdelah you tercari-cari kemana I pergi!” jawab Irfan dengan nada yang agak tinggi. Tersinggung dengan komen aku barangkali.

“I tak mencari En. Irfan, I hanya menunggu” jawabku perlahan. Ada lirih dalam nadaku kali ini. Ya, memang selama ini aku menunggu Irfan aku yang dahulu tapi, seringkali hampa kerana yang hadir hanya Irfan di depanku kini. Irfan yang penuh dengan ego seorang lelaki, penuh cemburu dan dingin bak salju. Aku tertunduk sedih. Saat mendongak aku dapati Irfan sedang mencapai tombol pintu bilik pejabatku.

“Irfan, weekend ni I dan Danial balik rumah mama I” sempat aku memberitahu Irfan sebelum dia menghilangkan diri dari balik pintu. Irfan hanya menjungkit bahu tanpa sebarang kata. Sebenarnya, aku sekadar memberitahu tanda meminta izin kerana aku masih sedar statusku sebagai isteri Irfan.

 

Hujung minggu itu, aku, mama dan papa dan Danial ke Alamanda, Putrajaya. Sekadar mengisi masa hujung minggu dan membawa Danial bersiar-siar kerana sudah agak lama aku dan Irfan tidak membawa dia beriadah. Semenjak aku dan Irfan berperang dingin, kami lebih banyak menghabiskan waktu hujung minggu dengan aktiviti masing-masing. Setelah puas membeli belah beberapa barang keperluan aku dan Danial, kami berempat menuju ke medan selera yang ada di pusat membeli-belah itu untuk menikmati minum petang. Agak ramai pengunjung pada hari ini, sementelah pula sekarang ini musim cuti sekolah. Hampir separuh tempat di medan selera itu di penuhi oleh pelajar sekolah.

 

Sedang aku leka memerhatikan gelagat dan ragam pelbagai manusia, tiba-tiba mataku tertancap kepada dua orang manusia yang sangat aku kenali. Seorang pernah menjadi musuh tradisiku sedikit waktu dulu dan seorang lagi lelaki yang selalu mendera emosiku akhir-akhir ini. Hati yang meronta mendorong aku untuk pergi menegur mereka. Tapi, sebaik saja menghampiri meja mereka aku menukar  langkah ke arah gerai, segera membuat pesanan makanan untuk Danial juga mama dan papaku. Biarlah, aku tidak mahu mengganggu pertemuan dan kemesraan mereka. Seketika apabila aku berpaling mata aku sempat berlaga dengan mata hitam lelaki itu. Ada riak terperanjat di mata itu sebelum memberikan tumpuan kepada perempuan di depannya. Mungkin dia cuba menyembunyikan riak bersalah yang ketika itu memenuhi wajahnya yang putih kemerahan itu, bersalah kerana terperangkap dengan penipuannya atau kecurangannya?, yang mana satu hanya lelaki itu yang lebih tahu. Aku sekadar menjungkitkan bahu, melemparkan senyuman pahit sebelum berlalu mengambil tempatku semula. Apa yang aku rasakan selepas itu hanya tuhan yang tahu. Minta-minta mama dan papaku juga Danial tidak perasan akan kewujudan kedua-dua manusia itu. Adakah kedinginan Irfan denganku, cemburunya dengan hubungan aku dengan Arman selama ini sekadar alasan untuk menutupi hubungannya dengan Julia, menutupi kesalahannya? Atau mungkin sebagai jalan untuk memutuskan hubungan di antara kami? Pelbagai persoalan mula menerjah fikiran.

 

Setelah 2 hari berada di rumah mama dan papaku di Kajang, aku kembali ke rumahku di Subang. Irfan sudah berada dirumah ketika aku dan Danial sampai kira-kira 11pm. Kepulangan kami hanya disambut dengan pandangan kosong oleh Irfan yang sedang asyik menonton siaran HBO. Sedikit tidak mempedulikan kepulangan aku dan Danial. Danial yang sudah lena dari rumah mama lagi aku dukung dan bawa kebiliknya. Selesai mengangkat barangan aku menukar pakaian tidur dan turun kebawah untuk membuat minuman panas.

 

“Fan, you nak minum?” Lelaki itu hanya membisukan diri.

“Bila you balik dari KK?” Sengaja aku membawa Irfan kepada pokok persoalan yang membelenggu fikiran. Aku sekadar menjungkit bahu bila pertanyaan aku bagaikan angin lalu di telinga Irfan.

“Irfan tadi petang I jumpa kawan baik you Julia kat Alamanda” sambungku sengaja memancing reaksi Irfan. Jangan harap Irfan akan memulakan perbualan jika kami berdua begini. Ego! Irfan aku lihat hanya terus memandang kearah TV, sedikit pun tak memberikan sebarang respon. Aku mengeluh lembut, nak buat macam mana dah orang tak sudi nak cakap dengan kita.

“Dia dengan seorang lelaki, I kenal lelaki tu tapi...tak tau pulak dia kenal I ke tak, sebab dia bagitahu I dia nak ke KK, mungkin I tersalah orang agaknya” Selamba aku menuturkan sebaris ayat itu untuk melihat reaksi Irfan. Wajah Irfan mula berubah merah di saat aku menghulurkan secawan tea-o kepadanya.

“You perli I? Kenapa? You marah? Cemburu? Hmm?” tingkah Irfan tiba-tiba sambil mencengkam pergelangan tanganku kuat.

“You rasa bagaimana?” jawabku pendek, memulangkan paku buah keras. Irfan mendengus kuat.

“You tak perlu risau Irfan. Buatlah apa yang you rasakan perlu, you nak sakitkan hati I, teruskanlah. Kalau you nak kahwin dengan perempuan itu pun I tak kisah, I rela. You tahukan apa yang perlu you lakukan pada I kalau hal itu sampai terjadi? So, terserah!” tangan yang berada di dalam cengkaman Irfan aku rentap kuat. Sekilas jelingan tajam aku lemparkan sebelum berlalu ke atas. Pintu bilik aku hempaskan sekuat hati, sengaja menunjukkan kepada Irfan apa yang aku rasakan saat itu. Sungguh! aku bukannya manusia yang sabar dengan dugaan. Kesabaran aku juga ada hadnya! 

 

Relakah aku membenarkan Irfan berkahwin lain? Ikhlaskah apa yang aku katakan sebentar tadi? Sengaja aku membangkitkan syarat yang pernah aku berikan pada Irfan sedikit waktu dulu. Aku tak rela di madu, lalu jalan terbaik Irfan harus memilih di antara dua. Irfan sedia maklum, sekali kepercayaanku dikhianati takkan ada kemaafan untuk dirinya. Sengaja aku biarkan pelbagai persoalan bermain di fikiran Irfan! Mana tahu ianya dapat membantu menjernihkan hubungan aku dengan Irfan. Aku hanya mampu mengeluh hampa setiap kali mengingatkan badai yang melanda rumahtangga kami. Hanya aku yang berusaha untuk memperbaiki retak rumahtangga yang melanda, Irfan aku lihat lebih senang menurut keadaan dan hatinya, tidak sekalipun cuba mengatasi masalah yang kian meruncing ini. Selama mana aku harus bersikap selamba dengan kedinginan Irfan?


Posted at 01:21 pm by ElleaNur
Make a comment  

Monday, April 04, 2005
RRH_28

Segalanya bermula beberapa bulan lalu apabila Arman menghubungi aku. Aku ingatkan dia sudah lupa akan janjinya, rupa-rupanya tidak sama sekali. Sudah beberapa kali Arman datang kepejabatku untuk membincangkan urusan pelan rumahnya di Rawang. Pada mulanya memang aku tidak mahu melibatkan diri tetapi apabila mengenangkan yang sewaktu dulu kami pernah berkawan baik maka aku bersetuju untuk membantunya. Hanya untuk kali pertama dan terakhir kerana aku bimbang ianya bakal mengundang ketidaksenangan di hati Irfan. Persetujuanku untuk membuat pelan rumah Arman juga adalah persetujuan bersama Irfan. Walau sedikit keberatan tapi akhirnya Irfan membenarkan aku untuk membantu Arman. Setiap kedatangan Arman kepejabat akan aku maklumkan terlebih dahulu kepada Irfan kerana aku tidak mahu dia mengesyaki sesuatu yang buruk antara aku dan Arman. Menurut Irfan dia tidak cemburu tapi, Irfan kerap mempersoalkan tentang Arman memandangkan semenjak akhir-akhir ini lelaki itu selalu datang berurusan dan menghubungi aku di pejabat. Arman sekadar ingin mengikuti perkembangan rekabentuk pelan rumahnya, rumah yang akan dia hadiahkan kepada kedua ibubapanya di Rawang.

 

Namun, apa yang aku bimbangkan selama ini kini sudah pun menjadi kenyataan. Sudah agak lama Irfan berubah laku, bersikap dingin denganku. Irfan sentiasa curiga dengan segala gerak-geri seharianku. Di manakah segala janji Irfan selama ini?. Walau pada mulanya tidak ketara tetapi aku dapat merasakannya, dan Irfan telah pun mengakuinya. Irfan seperti menjauhkan diri dari duniaku. Hampir setiap hari dia akan balik lambat, membuat aku terasa hati. Walau tidak mengabaikan keperluan aku dan Danial, tapi sebagai seorang isteri aku dapat merasakan kehambarannya. Kami tidak mempunyai masa untuk duduk berbincang. Sudah beberapa kali aku menunggu kepulangannya namun hampa. Seawal pagi Irfan sudah berangkat ke pejabat, meninggalkan aku dengan Danial. Selalunya kami bersama-sama menghantar Danial ke taska berhampiran. Tapi tak mengapalah, mungkin Irfan mempunyai urusan yang penting dipejabat yang perlu di selesaikan.

 

Tahukah Irfan? Bahawa hatiku terguris, tangkai hati seakan berdenyut sakit dengan setiap tindakkannya akhir-akhir ini. Di pejabat pula, masa Irfan lebih banyak dihabiskan dengan melawat tapak projek. Kalaupun kami pergi berdua, hanya kesepian yang melanda. Bercakap bila perlu, itupun hanya yang berkaitan dengan urusan kerja. Selebih dari itu Irfan lebih senang mendiamkan diri. Bila aku mula bersuara mengenai hal rumahtangga, Irfan akan cepat-cepat mengubah topik perbualan. Lalu, harus bagaimana aku lakukan? Sudahnya, aku bertindak mendiamkan diri, menyimpan segala yang berlaku didalam hati. Aku tahu, sampai saatnya akan aku hamburkan, dan aku harap Irfan tidak akan menyesali apa yang akan terjadi ketika itu. Selagi aku boleh bertahan dengan kedinginan Irfan, aku akan menghadapinya. Aku jangkakan keadaan akan kembali seperti sediakala sekembalinya aku dari kampung nenek, tapi nampaknya semakin parah. Irfan masih dengan kedinginannya. Hanya satu kini yang menjadi kekuatan aku, Danial! Itulah nadi yang membenarkan aku terus bernafas di sisi Irfan.

 

“Abang, Ellea ada hal yang nak dibincangkan” pintaku pada suatu pagi ketika sampai dipejabat. Irfan hanya memandang sekilas dan meneruskan kerjanya.

“Kalau hal personal, lebih baik kita bincangkan dirumah” jawab Irfan mendatar. Aku hanya mengeluh lembut, cuba merenung kearah wajah lelaki yang sudah lama dirindui, tapi Irfan terusan menundukkan muka, berpura-pura menyelak fail.

“Di rumah? Sudah beberapakali Ellea tunggu abang kat rumah, tapi..” aku menjungkitkan bahu seraya mengeluh, tanda hampa.

“Abang..apa salah Ellea bang? Kenapa abang terus bersikap dingin dengan Ellea. Adakah semuanya masih kerana cemburu abang dengan Arman atau ada sebab lain yang Ellea tak tahu?” tanyaku perlahan. Aku perlu mendapatkan penjelasan dari mulut Irfan sendiri. Aku tidak mahu sengketa ini berterusan.

“I only want to hear something that related to our business, Pn. ElleaNur! Bukan pasal buah hati you tu!” tingkah Irfan tiba-tiba. Ada kemarahan di situ yang membuat hatiku sedikit tersentap. Aku kuatkan hati, bangun menentang mata hitam Irfan. Aku menelan liur menahan gelodak perasaan.

“Baiklah En. Irfan, from now on, I takkan cakap tentang hal kita lagi, tapi satu yang perlu you tahu, Arman bukan buah hati I! I tak bersalah dan I akan buktikan! So now, terserah pada you untuk tentukan hubungan kita!” ujarku seraya berlalu pergi membawa sekeping hati yang berkecai.

Aku pasrah, apa nak jadi jadilah. Terserah pada Irfan untuk menentukan arah tujuan hidupnya, aku dan juga Danial. Aku yakin, seandainya, bahagia itu milikku, akan aku kecapi sewaktu waktu nanti dan kalau derita, maka derita itu tidak selamanya mendampingi hidupku.

 

Dan bermula detik itu, hubungan yang sememangnya hambar kini bertambah hambar. Aku kini lebih senang melayan perasaan sendiri memandangkan Irfan juga jarang berada di rumah. Malah sejak akhir-akhir ini, Irfan sudah berani untuk tidak pulang kerumah. Kemana dia tidur aku pun tak pasti. Kami hanya bertemu sekali sekala dipejabat, itupun tidak memberikan kesempatan untuk kami bertatapan mata dan berbual sepatah dua. Hujung minggu langsung tidak menampakkan batang hidungnya. Hanya aku dan Danial yang setia menghuni rumah banglo 2 tingkat ini. Rumah yang banyak menghimpunkan kenangan suka dan duka aku dan Irfan. Sekembali dari Venice, kami mengambil keputusan untuk pindah ke rumah ini, rumah impian aku dan Irfan. Kami sama-sama mereka bentuk dan menghias suasana rumah banglo ini. Namun kini semuanya bagaikan tidak bererti lagi. Kosong! Hanya statusku sebagai isteri Irfan yang merantai kaki aku untuk terus berada rumah ini. Jika suatu masa nanti Irfan sudah tidak memerlukan aku disini, barulah aku keluar dari ‘syurga’ ini. Aku masih melayan Irfan seperti biasa cuma tiada komunikasi di antara kami. Suara Irfan bagaikan emas, sukar untuk didengari, hanya Danial saja yang selalu mendengar butir bicara darinya.

 

Kegirangan suara Danial menyambut kepulangan Irfan mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. Seketika, aku berasa hairan, sudah lama Irfan tidak pulang seawal ini, di saat matahari masih memancarkan cahayanya, di saat aku leka melayan perasaan di dalam kehehingan senja. Hanya mata bundarku yang seakan mengutarakan kehairanan pada mata hitam Irfan yang kebetulan memandang ke arahku dari ruang garaj. Rengekkan suara Danial yang minta didukung oleh papanya mematikan segala persoalan. Hatiku tersentuh melihat Danial yang bergayut di dalam dukungan Irfan, merangkul erat leher papanya bagaikan sudah lama tidak bertemu. Segera aku mengatur langkah mengambil briefcase Irfan yang tersadai di atas lantai dan berlalu ke dalam membiarkan bapa dan anak itu terus bergurau senda. Kewujudan aku saat itu bagaikan tidak di hiraukan oleh Irfan.

 

“Danial sayang, hero papa mana boleh manja begini” komen Irfan disaat Danial mencium pipinya bertalu-talu. Singgah satu cubitan kecil di pipi mulus Danial.

“I miss you so much papa”

“I miss you too. Hero papa ni dah mandi ke belum?” Irfan meletakkan Danial di atas tengkuknya dan berlalu ke halaman. Danial melonjak girang.

“Belum, mama kata sekejap lagi. Papa, tadi Danial dengan mama tanam pokok mangga kat belakang rumah. Nanti kalau dan berbuah bolehlah Danial panjat pokok mangga tu kan papa?” Danial petah bercerita.

“Iya, bila Danial beli pokok mangga tu? Dekat mana Danial tanam? Kenapa mesti nak panjat? Kita jolok dengan galah ajelah Danial” Irfan bertanya sambil kaki melangkah menuju ke arah yang ditunjukkan Danial.

“Uncle Arman bagi kat mama. Danial taknak guna galahlah papa. Danial nak panjat. Danial kan hero papa” Sebaris jawapan Danial yang pertama membuat Irfan terdiam, matanya tertancap kearah pokok mangga yang ditunjukkan Danial. seketika ada rasa yang mencengkam hatinya saat itu. Hilang moodnya untuk terus melayan Danial.

“Ok, Danial kita masuk rumah dulu. Papa nak mandi, Danial pun suruh mama mandikan ya” Irfan melangkah masuk melalui pintu belakang dan menurunkan Danial dari dukungannya. Renungan tajam di hadiahkan kepada ElleaNur yang sedang leka menyiapkan minuman petang di atas meja. Muka sengaja di masamkan.

 

“Abang, mari minum dulu, Ellea ada masak pengat ubi ni” perlawaan ElleaNur hanya di pandang sepi oleh Irfan sebelum lelaki itu mengatur langkah menuju ke tingkat atas. ElleaNur hanya mengeluh perlahan, terkilan dengan reaksi Irfan itu.

“Danial, jangan! panas!” jerit ElleaNur tiba-tiba  di saat ternampak tangan kecil itu cuba mencedok pengat ubi yang masih panas di atas meja.

“Danial, cerita apa dengan papa tadi?” soalku pada Danial yang asyik mengunyah pengat ubi yang telah aku sejukkan khas untuk dia.

“Danial cakap kita tanam pokok mangga yang Uncle Arman kasi tu. Pastu kalau dah besar Danail cakap Danial nak panjat tapi papa suruh Danial guna galah. Tak nak lah mama!” Kini aku jadi pasti kenapa mood Irfan berubah tiba-tiba. Teringat pokok mangga yang di beri bapa Arman sewaktu aku pergi melawat rumah Arman yang masih di dalam proses pembinaan. Danial, Danial, kalau boleh semua benda nak di ceritakan pada papanya. ElleaNur Mengeluh hampa.

 

“Abang nak kemana tu? Taknak minum dulu?” ElleaNur bertanya sebaik Irfan muncul di ruang tamu dengan berpakaian kemas, jeans hitam dan T-shirt putih. Terserlah ketampanan lelaki beranak satu itu. Patutlah Julia masih lagi tidak berkahwin sampai sekarang, menunggu Irfan barangkali.

“Keluar cari pokok mangga!” sinis sungguh jawapan Irfan. Pokok mangga ke mangga muda? ElleaNur tersenyum pahit, Irfan tak habis-habis nak menyakitkan hati aku. Dengan pokok mangga pun nak cemburu! Sungguh! Kadang-kadang ElleaNur seronok dan gelihati melayan kerenah cemburu Irfan.

“Danial, esok nanti bolehlah kita tanam pokok mangga lagi. Kali ni kita tanam kat depan rumah pulak eh” sengaja aku menuturkan sebaris ayat itu kepada Danial yang tersengih di muka pintu, leka melihat papanya menyarung kasut.

“Ok set mama. Papa nanti beli yang macam Uncle Arman bagi tu tau” laju Danial memberikan jawapan. Irfan menjeling sekilas ke arahku. Aku hanya menjungkitkan kedua-dua belah kening, lalu berpaling ke arah TV, cuba menyembunyikan ketawa yang ingin meledak saat itu. Deruman kereta yang kuat menggambarkan rasa hati Irfan saat itu. Tapi, semua itu sudah tidak bermakna pada hatiku. Aku kini lebih selamba mengikut rentak Irfan, tenang menghadapi kedinginan dan kemarahan Irfan.


Posted at 01:06 pm by ElleaNur
Make a comment  

Previous Page Next Page

   

<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed





> <bgsound src=" http://www.angelfire.com/nt2/oz2002indo/femalesinger/novia-asmara.mid " loop=infinite> </noembed