Hampir seharian di tanah rata ini, menikmati panorama di ladang bunga dan strawberry menjadikan aku letih yang teramat. Irfan dan Danial masih kelihatan segar, mereka meneruskan untuk menyusuri ladang teh yang agak berbukit. Aku hanya duduk memerhatikan mereka berdua dari lereng bukit. Tidak larat untuk turut serta mendaki ladang yang terbentang luas itu. Walaupun penat tetapi badanku terasa sedikit segar kerana udara yang dingin di kawasan itu. Sesekali Danial melambai tangan ke arahku dari puncak ladang. Anak kecil itu sungguh lasak, sedikit pun tidak merasa penat malah lebih bertenaga dari Irfan sendiri. Kami kelihatan bagaikan sebuah keluarga yang bahagia, aman harmoni walau pada hakikatnya tidak begitu. Keceriaan terpancar di wajah Irfan dan Danial. Malah aku sendiri turut merasai tempias kegembiraan mereka berdua. Hati dan fikiranku terasa lega dan lapang dari segala masalah yang selama ini melingkari kehidupan aku dan Irfan. Menjelang senja, kami bertiga berjalan pulang menuju ke apartment. Danial yang sudah mula letih minta di dukung oleh papanya, anak kecil itu menangis tidak mahu berjalan. Mungkin tenaganya sudah kehabisan sewaktu menyusuri ladang teh bersama Irfan sebentar tadi.
"Papa....please dukung Danial papa..."
"Aiks, takkan dah penat kot hero papa ni. Tadi tu bukan main ligat lagi dia eh"
"Danial penat ni, please pa...." Danial masih lagi merengek. Aku hanya diam memerhati sambil melangkah perlahan beriringan dengan mereka berdua.
"Papa pun penat jugak" Irfan pantas memberi alasan. Sebentar lagi aku pasti Danial akan menangis jika Irfan masih lagi berterusan menyakatnya.
"Mama? Mama boleh dukung Danial?" Bibir kecil Danial pantas mencari alternatif lain. Aku menggeleng kecil.
"Mama lagi penat sayang. Tengok mama nak kena bawak baby ni lagi. Mama tak mintak papa dukungkan pun" Aku membalas perlahan. Mukaku merona merah di saat menyedari keterlanjuran kata-kataku itu.
"Oh, jadi mama nak suruh papa dukungkan jugak ke? Papa tak kisah" Irfan pantas mencelah. Sekilas matanya menjelingku dengan senyuman kecil yang sengaja di buat-buat. Aku memaparkan riak selamba sambil meneruskan langkah.
"Fan, Danial mana?" Tanyaku tiba-tiba bila mendapati Danial tiada bersama-sama kami. Segera aku dan Irfan menoleh serentak ke belakang, serentak itu juga kami berdua menghamburkan ketawa yang agak kuat.
"Ya Allah, bertuah punya anak!" Jerit Irfan seraya berlari mendapatkan Danial yang selamba duduk di tengah-tengah jalan. Anak kecil itu menangis kecil, sedikit meronta bila Irfan ingin mendukungnya. Mungkin Danial merajuk kerana kami berdua tidak mahu mendukungnya sebentar tadi. Agak lama juga Irfan mengambil masa untuk memujuk Danial yang sememangnya kuat merajuk itu.
“ElleaNur, letih?” tegur Irfan melihat aku yang tersandar lemah di atas sofa.
“Ermmm” Jawabku perlahan dengan mata yang terpejam.
“Nak abang urutkan?” Pantas aku menggeleng mendengar cadangan Irfan itu.
“Fan, Danial mana?” Aku bertanya lemah, menarik nafasku beberapa kali. Perutku terasa senak sekali.
“Tidur, kenapa?”
“Kejutkan Danial, tak baik tidur waktu maghrib”
“Ok, tapi abang kena kejutkan mamanya dulu” Bicara Irfan hilang dari halwa telingaku.
“Bangun sayang, tak baik tidur waktu maghrib” Bisik Irfan tiba-tiba seraya mencium lembut kelopak mataku yang masih terpejam. Aku tersentak lantas kusyen yang berada di tangan pantas aku baling ke arah Irfan yang ingin berlalu dari ruangan itu. Lelaki itu ketawa kuat seraya menghilangkan diri ke dalam biliknya yang dikongsi bersama Danial. Semalam Danial merajuk, anak kecil itu marah kerana aku berkeras untuk tidak tidur bersama-sama dengannya dan Irfan. Puas aku memujuknya dengan pelbagai alasan lantaran Irfan mengambil jalan untuk menjadi pihak berkecuali. Semoga malam ini anak kecil itu tidak lagi mendesaknya. Sungguh! kadangkala dia jadi takut dengan desakkan Danial.
Selepas maghrib, kami bertiga keluar menikmati makan malam di restoran berhampiran. Aku hanya mencuit sedikit makanan yang terhidang. Perut aku yang terasa senak semenjak petang tadi mematikan selera makanku. Gesaan Irfan untuk menambah nasi langsung tidak aku hiraukan. Aku lebih rela memerhatikan kedua-dua lelaki di depan ku yang begitu asyik menghabiskan makanan di meja. Seusai makan, Irfan menahan aku dari terus pulang ke apartment. Ada sesuatu yang ingin di bincangkan dan aku pasti ianya mesti mengenai hubungan kami ini. Aku tidak membantah memandangkan sudah sampai masanya untuk kami segera meleraikan kekusutan yang melanda.
“ElleaNur, ada sesuatu yang abang nak bincangkan, mengenai kita” Irfan memulakan bicara sebaik saja Danial melangkah ke arah kolam ikan yang ada di restoran itu.
“Abang sedar semua yang berlaku adalah salah abang. Mungkin abang terlalu mengikut perasaan, banyak menyakiti hati dan perasaan sayang, malah sanggup pula mencurigai kesetiaan sayang sebagai isteri abang. Sungguh! Abang menyesal sangat-sangat” Laju Irfan berbicara. Aku seakan kehilangan kata, tekun mendengar, sesekali pandangan aku lontarkan ke arah Danial di sudut restoran itu.
“ElleaNur, masihkah ada peluang untuk abang mendiami hatimu sayang? Abang tidak mahu memaksa tapi abang masih berharap untuk hidup bersama seperti dulu. Melayari bahtera rumahtangga bersama-sama sayang, Danial dan bakal anak kedua kita” Irfan merenung penuh makna ke dalam anak mataku, syahdu sekali. Namun, mulutku masih berat untuk mengeluarkan bicara.
“Apa yang perlu abang lakukan untuk untuk sebuah kemaafan? Katakan ElleaNur. Segalanya sanggup abang lakukan”
“ElleaNur, please say something” Irfan merayu bila aku masih lagi mendiamkan diri.
“Fan, jom kita balik, perut I sakit ni” Balasku seraya pergi mendapatkan Danial. Irfan mengekori aku dari belakang selepas membayar bil.
“Ok Danial, jom kita balik” Ujar Irfan seraya memaut pinggangku erat. Aku menolak pautannya perlahan dan berjalan mendahului dirinya dan Danial. Hanya suara Danial yang memecahkan keheningan malam sepanjang perjalanan menuju ke apartment. Aku dan Irfan bagaikan kehilangan kata untuk berbicara.
Malam itu aku dan Irfan membawa haluan masing-masing. Aku kehilangan minat untuk melayan Danial apatah lagi hendak mengadap wajah muram Irfan. Lelaki itu semenjak pulang dari makan malam tadi masih belum berbicara sepatah kata denganku. Hanya mata kami yang seakan-akan menggamit dan berbicara di antara satu sama lain.Dia lebih banyak merenung dari mengeluarkan bicara. Merajukkah Irfan? Mungkinkah Irfan terasa hati dengan kebisuanku tadi? Kecewakah Irfan kerana aku masih belum lagi mengungkapkan kata-kata maaf untuk dirinya? Bukan niatku untuk mengecewakan hati Irfan. Sungguh! Hatiku sudah lama memaafkan segala kesalahan lelaki itu. Cuma, bibirku terasa berat untuk mengungkapkannya. Hatiku meronta untuk segera mengungkapkan kata maaf tapi seakan ada sesuatu yang menghalang aku dari menzahirkannya. Tapi, tidak sedarkah Irfan, aku tidak akan sesekali mengikutnya ke mari seandainya hatiku masih membenci dirinya, seandai hati aku masih belum lagi memaafkannya. Aku tidak akan sesuka hati membiarkan diriku berada dekat dengannya. Kedinginanku sudah pun lama berakhir, yang tinggal hanyalah cebisannya saja, itu pun sudah hampir lenyap di saat aku mendengar kata-katanya di restoran sebentar tadi.
Sungguh! kebisuan Irfan yang berterusan mendera perasaan, membuatkan aku rasa bersalah yang amat sangat. Lelaki itu masih tidak mahu berbicara denganku. Irfan lebih senang melayan Danial, membiarkan aku keseorangan melayani perasaan. Danial pula seperti biasa akan hilang perhatian terhadapku jika sudah bersama papanya. Sudahnya, aku turut sama membisu, memerapkan diri di dalam bilik keseorangan. Hari ini kami bertiga tidak kemana-mana tambahan pula cuaca hujan menyebabkan segala yang di rancang tergendala. Mujur juga aku ada membawa beberapa bahan bacaan untuk mengisi masa-masa yang terluang ini. Sedikit sebanyak kekecewaan aku dengan kebisuan Irfan dapat di lupakan.
“Mama” Panggil Danial di saat aku sedang membawa majalah Wanita.
“Ya sayang, ada apa ni?”
“Ma, papa ada belikan mama nasi goreng. Papa suruh mama makan”
“Mama kenyang lagi. Sekejap lagi mama makan ya sayang” Jawabku seraya mengusap lembut kepala Danial yang duduk di sisiku di atas katil.
“Mama, mama gaduh dengan papa eh?”
“Taklah”
“Habis tu, dari semalam mama diam aje dengan papa. Mama merajuk dengan papa? Papa marah mama ke?”
“Tidak sayang. Mama tak berapa sihat. Lagipun, Danial tu asyik nak suruh papa layan Danial aje. Danial pun kalau ada papa sikitpun tak pandang kat mama. Danial tak sayang mama ya?” Sengaja aku berkata begitu, cuba untuk menidakkan telahan Danial. Anak kecil itu hanya tersengih manja, mungkin menyedari kesalahannya itu.
“Danial sayang mama, sayang sangat. Tapi, Danial sayang papa jugak” Ucap Danial seraya memelukku erat. Mukanya di sembamkan ke dada ku. Aku mengubah pembaringan agar sedikit selesa dengan keadaan Danial begitu.
“Danial sudah makan?”
“Dah dengan papa kat bawah tadi”
“Ermm. Kenapa tak ajak mama? Sampainya hati Danial dengan papa tinggalkan mama ya?” Entah mengapa aku seakan meluahkan kekecewaaan aku terhadap Irfan kepada Danial.
“Taklah mama. Papa cakap mama tak sihat tak boleh ikut”
“Oh, begitu. Tak mengapalah” Jawabku separuh berbisik. Seketika terdengar denguran halus Danial. Anak itu masih dengan tabiatnya sedari kecil, selalu akan tertidur lena apabila berada di dalam dakapanku. Sudahnya, aku terpaksa menghentikan pembacaan, membelai perlahan kepala Danial, permata hatiku.
“ElleaNur” Kedengaran suara Irfan di muka pintu bilikku.
“Ermm”
“Abang ada belikan nasi goreng” Ujar Irfan seraya mengangkat Danial untuk di bawa ke biliknya.
“Biarkan saja Danial tidur di sini”
“Ok” Irfan lantas meletakkan Danial di sisiku.
“Fan, you marah kat I?” tanyaku seraya bingkas duduk menyandar di kepala katil.
“Esok pagi kita balik” Kata Irfan mendatar dan berlalu keluar. Seketika, aku terasa jauh hati sekali dengan reaksi Irfan sebentar tadi. Nampaknya Irfan benar-benar terasa hati dengan diriku.