Rutin harianku sama dengan kebanyakkan suri rumah lain yang tidak bekerja. Masaku kini lebih banyak di habiskan menguruskan Danial dan juga urusan rumahtangga cuma, yang membezakannya hanyalah tanpa kehadiran seorang suami di sisi, walau pada hakikatnya, hampir saban hari selepas waktu pejabat Irfan pasti akan berada di rumahku. Hampir tengah malam baru lelaki itu akan pulang. Tapi, itu seminggu yang lalu. Kini, sudah lebih dari seminggu lelaki itu tidak menampakkan wajahnya. Merajukkah Irfan? Kecewakah Irfan kerana aku masih lagi belum mengungkapkan kata maaf untuk dirinya? Tersinggungkah Irfan dengan kedinginan aku? Walau kadangkala terasa sedikit kesepian tanpa kehadiran lelaki itu, namun aku gagahkan jua untuk meniti hari-hari mendatang bersama Danial.
Tidak aku nafikan, sesekali rasa ingin di belai dan di sayangi sang suami mengintai di ruangan hati dan fikiran. Jika benar Irfan mahu aku kembali ke dalam hidupnya, aku redha tapi biarlah untuk sementara ini aku melayani rasa sakit hati yang masih bersisa ini. Aku juga mahu menguji sejauh mana usaha lelaki itu untuk memujuk hati dan perasaanku. Biar Irfan sedar, bukan senang untuk mengubati hati perempuan yang telah dilukai. Aku juga mahu Irfan benar-benar menghargai kehadiran seorang isteri di dalam hidupnya. Isteri bukannya tempat untuk seorang suami melepaskan kemarahan dan rasa sakit hati mereka. Kesetiaan dan kepercayaanku sebagai seorang isteri tidak perlu dipertikaikan jika Irfan benar-banar mencintai dan menghargai diriku. Tapi, nampaknya lelaki itu seakan sudah mengalah. Irfan tidak lagi ghairah untuk memujuk aku kembali kepadanya. Buktinya, sudah hampir 2 minggu batang hidung lelaki itu tidak kelihatan, telepon bertanya khabar jauh sekali.
“Mama…papa nak cakap” Jeritan Danial dari ruang tamu mengejutkan aku dari lamunan. Danial yang menginjak usia 4 tahun sungguh petah bercakap. Pertuturannya telus dan perwatakkannya sungguh mencuit hati sesiapa saja yang memandangnya.
“Cakap dengan papa, mama ada kerja” Aku tiada mood untuk menjawab sebarang panggilan saat ini. Hatiku seakan merajuk dengan lelaki itu.
“Tapi, Danial dah cakap kat papa yang mama tengah termenung” Laju Danial menjawab.
“What? Ok, cakap kat papa, mama tak nak cakap” Sahutku masih lagi duduk di balkoni. Aku jadi geram dengan sifat Danial yang satu ini. Semua yang aku lakukan kalau boleh ingin di adukan kepada papanya.
“Mama, papa cakap, dia nak cakap juga dengan mama” Jerit Danial lagi.
“Ok, ok, sekejap cakap papa” Akhirnya aku terpaksa juga mengalah.
Irfan menelepon setelah agak lama menyepikan diri. Perlu apa Irfan menelepon aku? Ingin memujuk aku lagikah? Fikirku dia sudah mengalah. Nampaknya, lelaki itu tidak pernah kenal erti putus asa, terus saja mendesak. Sifatnya itu tidak pernah berubah. Lambat-lambat aku menghampiri Danial yang seperti tidak sabar untuk menghulurkan ganggang telepon. Danial juga seperti Irfan, suka mendesak dan memberontak, yang menjadi mangsanya adalah aku, tersepit di antara dua insan yang aku sayangi. Ada senyuman manis di wajah comel itu sewaktu aku mengambil gangang telepon dari tangannya. Gembira barangkali dapat berbual dengan papanya. Danial, apalah yang dia tahu apa yang ada di hatiku saat ini.
“Hello, assalamualaikum” Tuturku perlahan. Kedengaran hembusan halus nafas Irfan di hujung talian. Seketika hanya hembusan nafas yang berbalas di antara talian.
“Waalaikumsalam. ElleaNur sayang, apa khabar? Everything ok kan? Dania Insyirah pun ok kan?” Pertanyaan Irfan mencetuskan senyuman kecil di bibirku. Irfan seakan begitu yakin yang kali ini dia akan mendapat anak perempuan. Sungguh! Aku tersentuh, hilang kerinduanku yang terpendam tatkala mendengar suara lelaki itu.
“Ok, semuanya macam biasa, you bagaimana?” Agak janggal untuk aku berbual dengan Irfan. Sudah lebih dari seminggu aku tidak mendengar suara itu. Lelaki itu seakan merajuk dengan kedinginan aku. Tapi, tidak sedarkah Irfan bahawa dia yang membuatkan aku jadi dingin begini.
“Tapi, Danial bagitahu tadi , dia dan mamanya demam, betul?” Aku mengetap bibir memandang Danial di ruang tamu, menunjukkan tanda amaran kepada Danial yang tersengih memandang ke arahku. Pertanyaan Irfan aku biarkan tidak berjawab.
“Rindu....ElleaNur sayang, demam sebab rindu kat abang ya, hmmm?” Bisik Irfan menggoda. Mukaku merona merah, hatiku terusik saat itu lantas mendiamkan diri.
“Ermm ok, abang macam biasa juga, setiap hari rindu, rindu pada yang di sana. ElleaNur, hujung minggu ini kita keluar boleh?” Suara Irfan berubah rentak. Pertanyaan Irfan aku biarkan sepi. Lidah seakan kelu untuk menjawab.
“ElleaNur...bagaimana?”
“Ermm” aku menjawab perlahan.
“Ok, nanti abang datang jemput sayang dan Danial”
“ElleaNur!” Suara Irfan yang sedikit kuat menghalang aku dari meletakkan ganggang.
“Ya En. Irfan!” Irfan tergelak besar mendengar jawapanku yang agak sedikit kuat.
“Sayang... rindu kat abang kan? I miss you too, sayang” Bisik Irfan perlahan. Segera ganggang aku letakkan pantas. Ah Irfan! lelaki itu suka sangat bermain dengan hati dan perasaan wanitanya. Bibirku mengukir senyuman panjang. Sungguh! Hatiku terasa sangat lega saat itu. Berbunga-bunga. Mungkinkah aku sudah mula menerima Irfan kembali?
“Mama, Kenapa senyum-senyum ni?” Danial bertanya sebaik aku menghampirinya.
“Tak ada apa-apalah. Sibuk. Kenapa nak tahu?”
“Alah Danial tahu. Mama rindu kat papa ya?” Usik Danial nakal.
“Pandai jer eh. Danial tu yang rindu kat papa sampai demam-demam” Balasku seraya mencubit pipi tembam Danial. Aku membawa Danial ke pangkuanku, memeluk erat anak kecil itu.
“Alah, mama pun sama jugak. Hari tu Danial nampak mama muntah-muntah kat dapur. Hah mama demam lah tu” Aku tersenyum gelihati mendengar komen Danial.
“Mama muntah sebab Danial nak dapat adik tau” Bicaraku membuatkan Danial mulut terlopong seketika sebelum dia melonjak girang.
“Iyer ke mama? Danial nak baby girl macam baby Sarra”
“Ermm tapi, Danial kena janji dengan mama, Danial tak boleh manja dan nakal-nakal lagi, ok?”
“Ok, ok mama, Danial Janji” tutur Danial seraya memusingkan badan dan merangkul leherku. Tangan kanannya di angkat gaya orang yang sedang berikrar. Dia masih lagi melonjak riang di atas pangkuanku.
“Danial...sakit perut mama sayang. Tadi dah janjikan tak nak nakal-nakal kan. Hmmm, tak ingat dah?” Danial tersengih manja mendengar teguranku.
“Nanti baby kat dalam perut mama marah eh?” Aku mengangguk kecil. Danial tiba-tiba tunduk dan mencium perutku yang ketara membulat.
“Baby girl, maafkan abang Danial ya” Danial berbisik perlahan. Hatiku tercuit dengan perbuatan Danial itu. Nampaknya Danial dan Irfan mempunyai firasat yang sama.
“Danial sayang, jom tukar baju. Kita pergi rumah Atuk Din ngan Nek Anah”
“Ok” Balas Danial, lebih girang dari tadi.
Memang benar Danial baru saja pulih dari demam 2 hari lalu. Semuanya gara-gara Irfan. Danial merengek meminta aku menghubungi papanya tapi langsung aku tidak mengendahkan permintaannya itu. Lagipun, aku berasa segan hendak menghubungi lelaki itu lantaran aku sendiri yang memintanya untuk tidak menghubungi dan mengunjungi aku buat sementara waktu. Bukan niat untuk mementingkan diri sendiri, tidak sekali-kali. Sengaja aku ingin menguji akan hati dan perasaanku sendiri. Dan ternyata ianya menunjukkan tanda-tanda yang positif, berhasil. Sepanjang hampir 2 minggu ini bukan Danial saja yang demam bahkan aku sendiri. Malah lebih teruk dari anak kecil itu tapi tidak aku tunjukkannya kepada Danial. Aku berusaha memujuk diriku sendiri, aku baluti luka di hati demi kebahagiaan orang-orang yang aku sayangi. Sungguh! Sepanjang tempoh itu, hatiku di baluti rasa rindu yang hebat terhadap lelaki itu. Kini, aku amat pasti akan perasaanku pada Irfan. Hanya kehadiran lelaki itu yang aku dambakan saat ini. Hanya kehadiran insan itu saja yang akan mengusir kesepian yang telah lama bertandang di hatiku.