|
|
 |
 |
|
Friday, April 29, 2005
::Rahsia Rasa Hati::
Sekeping hati,
Mampu mengungkap sejuta rasa
Mampu menyimpan sejuta rahsia
Hati merasa insan gembira
Hati terasa insan terseksa
Kerana hati jiwa merana
Rasa hati
Perlukah kita memendam rasa
Patutkah rasa menjadi rahsia
Wajarkah wajah memancarkan rasa
Wajarkah mata membiaskan rahsia
Rahsia hati
Relakah kita meluahkannya
Untuk berkongsi suka dan duka
Atau tegakah kita membiarkan rasa
Berterusan menjadi rahsia?
-ElleaNur05-
Posted at 04:36 pm by ElleaNur
Permalink
Seawal pagi aku sudah terjaga dari tidur. Setelah agak lama, baru malam tadi aku dapat tidur nyenyak, aman dan tenteram. Berada di dalam pelukan Irfan semula seakan memberikan semangat baru, kesepian yang telah lama bertandang dengan sendirinya berlalu pergi, meninggalkan aku di dalam sinar mentari pagi yang mula megah memercikkan warnanya. Selesai solat subuh, Irfan kembali menyambung tidurnya manakala aku mula berkemas barang-barang milik kami bertiga. Hari ini aku akan pulang semula ke KL setelah beberapa hari berada di tanah rata ini. Percutian kali ini sangat bermakna buat diriku.
“Abang, Danial, bangunlah…. Kita dah lewat ni kan” Aku segera mengejutkan kedua-dua beranak itu sebaik selesai mandi tapi langsung tiada respon. Kedua-duanya masih enak melayan mimpi sedangkan matahari sudah pun berada tinggi di langit.
“Morning mama” Beberapa minit kemudian suara halus Danial menyapa telingaku.
“Morning sayang” Aku menoleh sekilas ke arah katil, Danial dan Irfan sudah terjaga tetapi masih berbaring malas di atas katil. TV di depan katil sudah mula bersiaran. Danial begitu tekun menonton cerita kartun yang di tayangkan manakala Irfan mula kembali memejamkan matanya tapi aku tahu dia tidak tidur.
“Danial, semalam, siapa yang jaga siapa? Danial yang jaga mama ke mama yang jaga Danial? hmm?” Tanyaku kepada Danial seraya duduk di birai katil. Sengaja memaparkan wajah serius kepada anak kecil itu. Danial dan Irfan saling berpandangan dan berbalas senyuman.
“Danial nak jaga mama malam tadi tapi….”
“Tapi apa?” Serentak aku dan Irfan bertanya.
“Papa dah jaga mama dulu. So, Danial kasi can kat papalah” Jawapan Danial membuatkan aku dan Irfan berpandangan. Segera aku memalingkan wajah, cuba menyembunyikan wajah yang mula merona merah saat itu.
“Hah, macam tulah baru anak papa” Irfan mencuit hidung Danial.
“Eh, tapi mana Danial tahu papa yang jaga mama? Danial kan dah tidur semalam”
“Alah Danial tahulah. Ada orang tu siap nangis lagi. Papa marah eh?” Sekali lagi Danial membuatkan muka aku yang merah bertambah merah. Irfan pula tergelak besar.
“Papa marah mama sebab papa sayangkan mama tau” Ujar Irfan tiba-tiba bingkas duduk di belakang dan memelukku erat. Kepalanya dilentokkan di bahuku memandang ke arah Danial. Aksi Irfan itu segera mengundang cemburu di hati anak kecil itu. Muka Danial mula mencuka.
“Abang! Apa ni. Malulah sikit dengan Danial tu!” Tegurku geram. Irfan masih seperti dulu, tidak pernah malu menunjukkan kasih sayangnya padaku. Namun, aku senang sekali walau kadangkala terasa sedikit janggal bila ianya turut mendapat perhatian orang lain.
“Papa sayang mama, mama sayang papa tau. Kan mama kan?” Irfan terusan mengusik Danial. Aku tersenyum dan mengangguk kecil, tiba-tiba rasa ingin berpakat mengenakan Danial.
“Erm, semalam Danial tak marah papa pun masa papa marah mama. Mama nangis Danial tak pujuk pun. Danial tak sayang mama kan?” Laju aku menuturkan kata seraya mengenyit mata ke arah Irfan. Lelaki itu kelihatan cuba menahan tawanya.
“Ala…Danial pun sayang mama jugak” Balas Danial seraya bangun, merangkul leherku erat. Kami berdua tergelak besar melihat telatah Danial itu. Kini, kedua-dua lelaki itu memeluk tubuhku. Irfan di belakang dan Danial pula bergayut di depan badanku.
“Ya Allah. Kalau macam gini lemaslah mama dan baby Dania” Rungutku cuba mengelakkan muka dari ciuman mereka berdua. Kedua-duanya cuba menunjukkan kasih sayang mereka padaku.
“Sudah-sudah, both of you pergi mandi cepat. Bau busuk, mama tak tahan dah ni!” Arahku sambil berusaha untuk bangun, melepaskan diri dari kedua-dua lelaki itu. Irfan dan Danial melepaskan rangkulan dan kembali berbaring di atas katil. Aku masih lagi duduk di birai katil, hanya mampu menggeleng kepala melihat kerenah kedua-dua lelaki itu.
“ElleaNur, kita balik esok aje lah, boleh?” Irfan tiba-tiba berbicara.
“Bolehlah mama….” Danial menyambung pantas.
“No, no, tak boleh. Kita kena balik hari ini juga. Mama ada appointment dengan Dr. Sofia esok pagi” Aku segera memberikan alasan. Sememangnya esok aku mempunyai temujanji dengan Dr. Sofia untuk pemeriksaan bulanan kehamilanku.
“ElleaNur, sayang dah buat scanning?” Irfan bertanya, tangannya bermain-main di permukaan perutku.
“Belum, kenapa?”
“Abang rasa tak payah sebab memang sah baby girl”
“Sebabnya?”
“Sebabnya, sayang asyik merajuk, menangis aje. Sikit-sikit merajuk, sikit-sikit menangis. Orang perempuankan kuat merajuk, gembing. Jangan Dania macam sayang sudah. Tak larat abang nak pujuk tau. Lagi-lagi kalau dua-dua merajuk"
“Iya? Yakinnya abang. Bukannya abang ke yang buat Ellea merajuk, menangis? Heh, lupalah tu” Balasku selamba. Irfan hanya tersengih panjang.
“Lagipun you look so beautiful, berseri-seri and….”
“And what?” Pantas aku bertanya.
“Gem….mokkkkk. Mon…telll, so chub…byyyy” Selamba Irfan mengutuknya.
“Oh, gemuk, montel, chubby ek? Ok, lain kali jangan buat I gemuk begini lagi, ada faham?” Balasku pura-pura marah.
“Yang itu abang tak boleh nak janji. But, to be honest, I love it! Tak kiralah sayang gemuk macam tempayan ke, kembang semangkuk ke, bulat macam belon ke, sayang tetap cantik di mata abang” Jawapan Irfan mengundang tawa di bibirku. Aku senang sekali.
“Sudah, sudah jangan nak merepek. Pergi mandi cepat. Tengok Danial pun dah tertidur semula dah tu” Segera aku mengarah Irfan, merungkaikan tangannya yang sedari tadi melingkari perutku. Kalau di layan alamatnya sampai ke tengah harilah lelaki itu akan terusan berbaring di situ. Lambat-lambat baru lelaki itu bingkas menuju ke bilik air.
Banyak yang kami bualkan lewat malam itu, mencurahkan segala yang terpendam di dalam hati masing-masing sepanjang perpisahan yang berlaku. Sama-sama merungkai tali yang telah lama tersimpul. Biarlah segala rahsia rasa hati aku dan Irfan tersingkap dan terungkap kerana sudah tiba masanya semua rasa itu untuk kami kongsi bersama. Segala pahit manis itu lumrah kehidupan manusia. Semoga selepas ini semua yang menyakitkan itu akan menjadi sejarah rumahtangga aku dan Irfan. Sesungguhnya, sengketa dan perpisahan ini memberikan pengajaran yang amat bernilai kepada aku dan Irfan untuk lebih menghargai hubungan di antara satu sama lain. Biarlah segalanya menjadi lipatan sejarah kami berdua.
Sungguh! Aku benar-benar gembira, perasaan aku tidak dapat di luahkan dengan kata-kata. Hati berbunga-bunga, bibir terukir indah, mata membiaskan sinar, wajah memancarkan serinya. Hari ini kami akan pulang untuk memulakan lembaran baru, bersama-sama melayari bahtera rumahtangga, menikmati keindahan berumahtangga bersama-sama permata hati, Danial Imran dan mungkin juga Dania Insyirah. Kini, hati aku juga seakan mempunyai firasat yang sama dengan Irfan dan Danial. Dan kalau pun, ianya sama sekali menyimpang aku tetap bersyukur dengan kurniaan yang tidak ternilai ini. Sungguh! Aku bagaikan tidak sabar untuk menghadapi hari esok, menantikan detik bahagia itu memancarkan sinarnya sekali lagi. Semoga kebahagiaan ini milik aku selamanya. Semoga dua jiwa, Ezairil Irfan dan ElleaNur Eizurra bersatu dalam damai hingga ke akhir hayat.
-End-
Posted at 04:29 pm by ElleaNur
Permalink
Thursday, April 28, 2005
Sedang ElleaNur sibuk mengemas pakaian ke dalam beg, Irfan dan Danial tiba-tiba masuk ke dalam biliknya. Sudah berbaikkah mereka berdua? Ah! Nampaknya Irfan begitu senang memujuk Danial berbanding dengan dirinya. Kedua-dua beranak itu sudah siap dengan pakaian tidur mereka sementara ElleaNur masih lagi dengan pakaian petang tadi. Kedatangan mereka mengundang rasa pelik di hati ElleaNur. Sebenarnya, dia masih terasa hati dengan sikap Irfan terhadapnya semenjak semalam. Seharian dia seakan mogok dengan lelaki itu. Langsung tidak di sentuhnya nasi yang di beli oleh Irfan siang tadi. Lelaki itu pun tidak berusaha untuk memujuknya, sudah putus harap barangkali. Tanpa mempedulikan Irfan yang duduk di birai katil memerhatikannya, ElleaNur segera ke bilik air untuk mandi buat sekian kalinya. Entah mengapa semenjak kehamilan kedua ini, setiap masa dia terasa badannya panas walaupun keadaan cuaca di sini agak dingin.
“ElleaNur, kenapa mandi malam-malam ni, tak elokkan” Komen Irfan sebaik ElleaNur muncul di muka pintu.
“Panas” Jawab ElleaNur sepatah. Irfan hanya mengangguk kecil. Matanya masih tertancap ke arah ElleaNur yang sedang mengenakan pakaian tidurnya. Isterinya itu kelihatan bertambah berisi dan berseri. Dia tahu ElleaNur terasa hati dengannya hari ini. Irfan sengaja melayan rajuk hatinya dari semalam lagi, dia geram dengan ElleaNur yang memandang sepi rayuan kemaafan darinya. Namun, kini hatinya telah kembali reda. Irfan sedar dia perlu mengalah demi kebahagiaan mereka bertiga.
“Danial, tak tidur lagi? Dah lewat ni kan” Tanyaku pada Danial yang masih menonton TV di bilikku. Anak kecil itu menggelang laju, terus menyarap di atas katil menghadap ke arah peti TV.
“Irfan, you kenapa kat sini?” Mataku beralih kepada Irfan yang duduk di hujung katil.
“Danial suruh abang temankan dia tengok TV”
“Kenapa tak tengok kat luar?” Irfan hanya menjungkit bahu menjawab pertanyaanku. Matanya terarah kepada Danial.
“Danial, pergi tidurlah sayang. Esok pagi kita dah nak balikkan” Aku cuba untuk memujuk supaya Danial segera tidur. Dia bimbang, esok pagi Danial pasti akan meragam kalau di kejut bangun awal pagi.
“Danial nak tidur sini, dengan mama dengan papa” Jawab Danial sedikit kuat.
“Danial tidur dengan papalah sayang, ok?” Pujukku perlahan. Sekilas dia menjeling ke arah Irfan yang masih lagi merenung ke arahnya.
“Tak mahu!”
“Danial…..”
“Tak ma..hu!”
“Ok, ok. Sekarang cepat tidur” Akhirnya aku terpaksa juga mengalah. Aku mendengus perlahan memandang ke arah Irfan yang mendiamkan diri. Lelaki itu bukannya ingin membantunya memujuk Danial malah dengan selamba turut mengambil tempat di sebelah Danial. Bagaikan ada kesepakatan di antara lelaki berdua itu. Lambat-lambat aku mengambil tempat di atas katil. Danial yang berbaring di tengah-tengah di antara aku dan Irfan masih terkebil-kebil memandang ke arah siling, sepertinya sedang memikirkan sesuatu.
“Danial, tidurlah sayang” bisikku perlahan di telinga Danial. Pipi mulusnya aku usap perlahan.
“Mama, Danial dan papakan boy, mamakan girl” Tiba-tiba saja Danial bercakap, mengejutkan aku yang baru saja hendak melelapkan mata. Irfan di sebelahnya kelihatannya sudah berlayar jauh.
“Ermm kenapa?” aku bertanya malas. Ada-ada saja celoteh Danial malam-malam begini.
“Sekarang mama tidur tengah, biar Danial tidur tepi. Malam ni biar Danial dan papa yang jaga mama, ok” Terang Danial laju seraya melangkah badanku mengambil tempat di bahagian tepi katil.
“Danial!” Aku menegur keras. Geram dengan kerenah Danial malam ini. Tangan anak kecil itu dengan pantas menolak-nolak badan aku supaya beralih ke tengah katil. Dalam terpaksa aku mengalih posisi baringan ke tengah. Sekilas aku menjeling Irfan di sebelah yang kelihatan begitu nyenyak tidur, letih barangkali.
“Good night mama” Bisik Danial seketika kemudian dengan sebuah ciuman kecil di pipiku. Aku tersenyum kecil sebelum kembali melelapkan mata. Badanku mengiring mengadap ke arah Danial. Rasa mengantukku hilang sama sekali di sebabkan Danial. Sudahnya aku hanya terkebil-kebil memerhati wajah Danial yang telah pun lena. Danial, cerdik dan nakal, penuh dengan helah yang kadangkala menjerat diriku. Namun, segalanya sanggup aku lakukan demi kebahagiaan anak kecil ini.
“Good night sayang” Seketika terdengar bisikan kecil di cuping telingaku di sertai dengan pelukan yang erat di pinggang. Aku mengeluh, rupa-rupanya lelaki itu masih belum tidur.
“Irfan, you tak tidur lagi ya? You yang mengajar Danial ya, hmm?” tanyaku perlahan. Kini aku pasti siapa dalang di sebalik kerenah Danial malam ini.
“Danial is a clever boy, He’s intelligent you know” Bisik Irfan perlahan. Danial mengeluarkan pelbagai syarat dan menuntut beberapa janji darinya. Dan, kerana janji Danial jugalah yang membawa dia kemari, berada di sisi ElleaNur saat ini. Irfan tersenyum gelihati apabila teringatkan permintaan dan kerenah Danial sewaktu dia berusaha untuk memujuk kembali hati anak kecil itu sebentar tadi.
“Bapak borek, anak rintik!” Getusku perlahan. Irfan ketawa kecil seraya membalikkan tubuhku menghadapnya.
“Fan…you..” Kataku terhenti tatkala Irfan dengan pantas memeluk tubuhku erat, seakan tidak mahu di lepaskan.
“You’, tak ada ‘abang’ untuk abang lagi ke sayang? Hmm?” Bisik Irfan menggoda sekali. Aku segera melonggarkan pelukan Irfan. Sungguh! Nafasku terasa sedikit sesak dengan keadaan itu. Irfan mengeluh berat dan merenung wajahku dengan rupa sedikit kesal.
Seketika kami hanya berpandangan, hanya mata yang berbicara membisikkan kata hati, cuba menyampaikan rasa di hati masing-masing saat itu. Irfan mengelus rambut dan pipiku perlahan, menghadiahkan sebuah ciuman di situ. Aku hanya membisu, tidak terasa untuk membantah tindakkan Irfan itu. Tiba-tiba hatiku tersentuh, sedih mengenangkan hubungan kami yang retak dan dingin selama ini. Aku merapatkan diri ke dada Irfan, menyembunyikan wajah di dada bidang itu lalu menghamburkan tangisan kecil di situ. Sungguh! Kesedihan hatiku saat itu tidak dapat di bendung lagi. Irfan kembali merangkul tubuhku lebih erat, cuba menenangkan hati dan perasaanku barangkali. Agak lama aku mencurahkan airmata, tidak pasti sama ada airmata ini tanda sebuah kegembiraan atau sebaliknya. Malam ini, biarlah aku menangis sepuas-puasnya, meredakan hati dan perasaan yang telah lama sengsara dengan perpisahan yang menyiksakan ini.
“ElleaNur, adakah airmata ini tanda kemaafan untuk abang?” Aku hanya mengerdip mata perlahan menjawab pertanyaan Irfan itu.
“Terima kasih sayang. Leganya hati abang saat ini” Ungkap Irfan dengan sebuah ciuman kudus di dahiku. Aku masih lagi menangis teresak-esak bagaikan anak kecil di dalam pelukan Irfan.
“ElleaNur sayang, janganlah menangis lagi”
“ElleaNur, pandang abang sayang” Arah Irfan separuh berbisik. Aku mendongak perlahan mencari anak mata Irfan. Jemari Irfan mengusap perlahan pipiku yang basah dek air mata.
“Kenapa mesti menangis sayang? Macam budak kecik tahu tak. Sikit-sikit nangis, mengalahkan Danial pulak, menangis saja kerjanya” Rungut Irfan dengan suara mengejek.
“Ellea sedih tahu tak? Abang yang buat Ellea menangis begini!” Balasku geram dalam sendu yang tertahan-tahan, tanganku laju menumbuk dada bidang Irfan beberapa kali.
“Ini kali yang terakhir, selepas ini takkan ada kemaafan untuk abang lagi. Ingat tu!”
“Heiii ElleaNur sayang, sakitlah dada abang! Nak bunuh abang ya? Tak sayangkan abang lagi, hmm?” Irfan menjerit kecil seraya mencapai kedua-dua tanganku yang masih lagi rancak menumbuk dadanya lalu di genggam erat.
“ElleaNur…Abang berjanji tak akan buat sayang menangis lagi, itu janji abang untuk sayang. I miss you and I love you so much” bisik Irfan perlahan, membawa jemariku ke bibirnya dan di cium lama. Aku hanya diam memerhatikan wajah Irfan yang kelihatan berseri di dalam kesamaran cahaya lampu.
“Ellea pun rindukan abang, rindu sangat” Luahku penuh perasaan. Sungguh! Hatiku terasa puas sebaik mengungkapkan sebaris ayat itu. Jemariku mengusap perlahan wajah lelaki yang aku rindukan sekian lama. Seketika, kami hilang di bawa khayalan masing-masing.
“Abang….” Bisikku perlahan setelah agak lama membisu.
“Ermm, manjanya. Ada apa sayang?” Balas Irfan.
“Ellea laparlah, nak makan. Abang masakkan something boleh?”
“Tu lah, tadi abang belikan nasi goreng tak mahu makan, jual mahal”
“Abang….bukan Ellea yang lapar tau, ni yang kat dalam ni, tahu tak?” Jawabku sambil menggosok perlahan kandunganku yang berusia hampir 5 bulan itu. Irfan mencebik bibir.
“Alasanlah tu, dia yang lapar cakap baby Dania” Jawab Irfan mencubit manja pipiku.
“Abang…boleh ke tidak ni?”
“Ok, ok, jom kita bangun, nanti merajuk pulak. Mari kita tengok apa yang ada kat dapur tu” Irfan bingkas bangun.
“Abang nak dukung” Pintaku manja, sengaja mengusik Irfan yang saat itu berdiri di tepi katil menunggu aku bangun.
“Mengada! Hari tu abang cempung meronta-ronta tak mahu. Awak tu berat tahu tak?” Komen Irfan selamba. Namun, Irfan membongkokkan juga badannya untuk mencempungku tapi segera aku tolak. Aku ketawa gelihati lalu bangun mengekorinya ke dapur.
“Bagaimana, boleh?” Irfan memandangku menjungkit keningnya. Hanya ada sebantal ropi gardenia di dapur saat itu.
“Ermmm” Aku menjawab lemah. Irfan membancuh segelas susu anmum yang aku bawa dari rumah. Dia hanya memerhatikan aku makan, sesekali turut menyuapkan roti yang di cicah dengan air susu ke mulutku. Hampir dinihari baru kami berdua masuk kembali ke kamar tidur.
Posted at 05:34 pm by ElleaNur
Permalink
Wednesday, April 27, 2005
Irfan sengaja bertindak mendiamkan diri, sengaja membuatkan ElleaNur dihujani rasa bersalah. Sungguh! Bukan dia merajuk tapi dia terasa hati dengan ElleaNur semenjak semalam. Dia bengang, geram dengan kebisuan wanita itu. Sudah puas dia memujuk rayu untuk sebuah kemaafan namun, ElleaNur seakan tidak mengendahkannya. Wanita itu tekun mendengar dia berbicara tetapi langsung tiada tindak balas dari bibirnya. Hanya sinar sepasang mata bundar milik ElleaNur yang menggambarkan apa yang ada di hatinya saat itu. Irfan tahu, hati wanita itu mungkin sudah kembali sejuk, perasaan marahnya mungkin sudah reda, lukanya mungkin sudah sembuh tapi, Irfan mahu mendengar sendiri kata-kata maaf dari bibir ElleaNur. Dia mendambakan sebuah kemaafan yang tulus dari hati wanita itu. Dia mahukan kepastian yang jitu dari ElleaNur sendiri agak hati lelakinya tenang, bebas dari rasa sangsi. Kadangkala dia merasakan ElleaNur sudah pun memaafkannya dan di lain waktu pula dia rasa seolah-olah cuba di jauhi oleh ElleaNur. Sungguh! Irfan keliru.
Irfan bukan mempertahankan egonya sebagai seorang lelaki, tidak sesekali. Tetapi, selama mana egonya itu harus di ketepikan. Sudah agak lama dia meletakkan ego lelakinya di paras yang paling bawah semata-mata untuk menggilap kembali permata yang dia sendiri hilangkan sinarnya. Dia sedar rajuk, kemarahan dan kedinginan ElleaNur itu berpunca dari dirinya lalu dia rela melakukan apa saja untuk kembali memujuk hati ElleaNur, satu-satu wanita yang di cintainya. Dia tidak mendambakan kehadiran wanita lain walau yang hadir itu jauh lebih baik dan cantik dari ElleaNur. Dia tidak tergoda dengan pesona milik wanita lain. Hidupnya sudah lama hambar tanpa kehadiran ElleaNur. Hatinya kosong, wajahnya rawan. Seketika dulu, dia hampir menjadi nanar bila ElleaNur dan Danial pergi meninggalkannya. Mujur juga dia ada kedua ibubapa yang sudi membantu, walaupun mereka kerap memarahi dirinya namun, dia menerima semua teguran dan nasihat yang di berikan tanpa sedikit pun membantah. Dan, dia lebih bersyukur kerana ElleaNur mempunyai seorang kawan yang sebaik Alia. Alia yang memberitahu kemana dan di mana ElleaNur membawa diri setelah hampir 2 minggu dia kehilangan arah mencari ElleaNur dan Danial. Sahabat ElleaNur itulah yang telah banyak memberikan dorongan untuk dia terus memujuk sekeping hati milik ElleaNur.
Dia mendapatkan banyak nasihat dan tunjuk ajar , dia juga menemui banyak jalan, katakan apa saja, semuanya hampir dia lakukan. Kalau pun yang dia tidak lakukan hanyalah merentangi lautan api, untuk apa jika yang di dambakan sudah ada di depan mata. Tapi, selama mana wanita itu hanya menjadi santapan mata? Yang aku inginkan adalah hati dan jiwanya. Danial, anak kecil yang tidak mengerti apa-apa juga kadangkala menjadi salah satu cara untuk dia mendekatkan dirinya dengan ElleaNur. Dia tahu, Danial menjadi kelemahan utama wanita itu. ElleaNur sanggup melakukan apa saja demi kebahagiaan Danial. Dan, dia seringkali menjadikan Danial sebagai umpan untuk memancing reaksi dan perhatian dari ElleaNur. Mujur juga Danial seorang anak yang bijak, anak kecil itu mewarisi hampir semua sifat dan perwatakkan dia. Danial manja dan nakal malah suka sangat mendesak dan memberontak sebagaimana dirinya. ElleaNur selalu merungut dan menyamakan Danial dengan diriku. Namun, Irfan bersyukur sedikit sebanyak kerana Danial turut memainkan peranan penting dalam usaha menyatukan kembali hubungan kami yang renggang ini.
Irfan boleh memaksa ElleaNur kalau dia mahu. Tapi, dia tidak tergamak untuk melakukannya kerana dia bimbang wanita itu akan semakin menjauhkan diri. Dia takut seandainya luka di hati yang sudah hampir pulih itu kembali berdarah, dia takut andai kedinginan yang mula surut bertukar menjadi beku, sedingin salju. Sungguh! Dia amat berhati-hati di dalam setiap tindakkan yang dia lakukan dalam usaha menawan kembali hati ElleaNur, walau kadangkala hatinya sendiri yang merasakan kepedihannya. Sudah lama dia mengabaikan segala rasa yang terdetik di hatinya setiap kali ElleaNur mendengus dan melemparkan jelingan marah. Hatinya tersentuh setiap kali ElleaNur menolak perlawaannya, menyindir dirinya. Namun, itu semua tidak sepedih di saat ElleaNur dengan selamba menolak sentuhannya, menjauhi dirinya seolah-olah dirinya amat jijik untuk terus berdampingan dengan wanita itu.
ElleaNur tidak pernah tahu apa yang ada di hatinya, dia tidak sesekali memaparkan riak hampa, kekecewaan hatinya kepada ElleaNur. Dia sentiasa ceria, bergelak ketawa, bergurau senda untuk menutupi kesedihan, gelodak dan rasa hati lelakinya. Dia tidak merintih jauh sekali untuk menangis hiba. Cukuplah sekali dulu airmata lelakinya tumpah kerana saat itu dia amat menyesali ketelanjurannya menyakiti hati wanita kesayangannya itu. Sungguh! Hanya itulah sekali dia menangis kerana wanita sepanjang hidupnya. Dia tidak pernah menumpahkan airmata di saat mamanya mengidap penyakit barah rahim yang hampir meragut nyawa. Dia tabah menghadapi segala kemungkinan di saat mamanya berada di ambang maut sebelum pembedahan yang di jangkakan tidak akan sepenuhnya berjaya. Dan dia juga tidak menangis gembira sebaik mendapat tahu nyawa mamanya berjaya di selamatkan. Tapi, di saat dia mendapat tahu ElleaNur pergi meninggalkannya, airmata lelakinya begitu senang sekali menitis tanpa menunggu sesaat dua pun. Tapi, ElleaNur tidak pernah tahu itu semua dan barangkali wanita itu sememangnya tidak patut tahu akan hal yang satu itu. Biarlah ianya menjadi rahsia hidupku.
Sungguh! Irfan buntu saat itu. Otaknya tidak dapat berfikir dengan waras. Dia kehilangan arah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk dirinya dan ElleaNur. Dia meletakkan Danial di antara mereka berdua. Dia boleh mempertimbangkan permintaan ElleaNur, tapi dia memikirkan perasaan dan kebahagian Danial. Dia tidak memikirkan dirinya kerana dia boleh berusaha untuk melupakan wanita itu walaupun dia sendiri tidak begitu yakin akan kemampuannya. ElleaNur, wanita itu barangkalai memang sudah bersiap sedia dari awal. Aku tahu ElleaNur wanita yang tabah dan kuat semangat di sebalik kelembutan dan sifat manja perempuannya itu. Tapi, bagaimana dengan Danial? Anak kecil itu pasti kecewa kerana dia begitu menyayangi kami berdua. Akan tertekankah Danial seandainya perpisahan ini benar-benar terjadi? Ah! Irfan takut untuk terus memikirkan segala kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.
“Papa!!!” Jerit Danial kuat di telinga Irfan.
“Danial! Sakit telinga papa tahu tak??” Marah Irfan. Dia betul-betul tersentak dengan panggilan Danial yang seakan mahu memecahkan gegendang telinganya tadi.
“Papa tu, Danial panggil dari tadi papa buat tak tahu aje” Terang Danial dengan suara seakan ingin menangis. Mukanya sudah bertukar merah. Tidak sangka yang Irfan akan memarahinya begitu sekali.
“Hah, menangis. Papa marah sikit menangis!” Tegur Irfan, masih lagi dengan intonasi marah. Anak kecil itu sudah mula menitiskan airmata.
“Papa memang tak sayangkan Danial. Tadi mama pun marah Danial” Dalam tangisan Danial masih sempat membalas.
“Papa dengan mama marah Danial sebab Danial tu nakal!” Sekali lagi Irfan melepaskan kemarahannya kepada Danial.
“Semua dah tak sayangkan Danial. Danial benci papa! Danial benci mama!” Jerit Danial dalam tangisan yang kuat, dia berlari menuju ke bilik, sejurus terdengar pintu bilik di tutup kuat.
"Danial..." Irfan duduk termagu di ruang tamu. Ada rasa kesal di hatinya saat itu. Kesal kerana telah melepaskan kemarahannya kepada anak kecil yang tidak bersalah itu. Namun, semuanya sudah terlewat. Irfan mengeluh berat.
Irfan mundar-mandir di ruang tamu. Apa yang dia lakukan bagaikan ada yang tidak kena. Fikirannya buntu, hatinya gelisah, bersarang dengan rasa bersalah. Ingin memujuk Danial, pintu bilik berkunci. Puas dia memanggil namun hampa tiada balasan. Hatinya hiba mendengar tangisan halus Danial dari dalam bilik. Seketika, matanya bertemu pandang dengan sepasang mata bundar milik ElleaNur dari sebalik pintu bilik wanita itu. Mungkin wanita itu mendengari kemarahan aku kepada anaknya sebentar tadi. Dan sudah pasti dia turut mendengari tangisan kuat Danial yang memecah keheningan senja. Agak lama mata mereka bertatapan sebelum ElleaNur kembali menutup pintu biliknya. Kini, mereka bertiga seakan-akan melayan perasaan masing-masing. ElleaNur, wanita itu seharian tidak melangkah keluar dari biliknya. Danial pula masih melayan rajuknya dan ketika ini mungkin sudah ketiduran. Dan aku pula masih setia di balkoni apartment ini, melayani sepoi angin senja yang damai, berfikir dan terus berfikir.
Posted at 04:12 pm by ElleaNur
Permalink
Tuesday, April 26, 2005
Hampir seharian di tanah rata ini, menikmati panorama di ladang bunga dan strawberry menjadikan aku letih yang teramat. Irfan dan Danial masih kelihatan segar, mereka meneruskan untuk menyusuri ladang teh yang agak berbukit. Aku hanya duduk memerhatikan mereka berdua dari lereng bukit. Tidak larat untuk turut serta mendaki ladang yang terbentang luas itu. Walaupun penat tetapi badanku terasa sedikit segar kerana udara yang dingin di kawasan itu. Sesekali Danial melambai tangan ke arahku dari puncak ladang. Anak kecil itu sungguh lasak, sedikit pun tidak merasa penat malah lebih bertenaga dari Irfan sendiri. Kami kelihatan bagaikan sebuah keluarga yang bahagia, aman harmoni walau pada hakikatnya tidak begitu. Keceriaan terpancar di wajah Irfan dan Danial. Malah aku sendiri turut merasai tempias kegembiraan mereka berdua. Hati dan fikiranku terasa lega dan lapang dari segala masalah yang selama ini melingkari kehidupan aku dan Irfan. Menjelang senja, kami bertiga berjalan pulang menuju ke apartment. Danial yang sudah mula letih minta di dukung oleh papanya, anak kecil itu menangis tidak mahu berjalan. Mungkin tenaganya sudah kehabisan sewaktu menyusuri ladang teh bersama Irfan sebentar tadi.
"Papa....please dukung Danial papa..."
"Aiks, takkan dah penat kot hero papa ni. Tadi tu bukan main ligat lagi dia eh"
"Danial penat ni, please pa...." Danial masih lagi merengek. Aku hanya diam memerhati sambil melangkah perlahan beriringan dengan mereka berdua.
"Papa pun penat jugak" Irfan pantas memberi alasan. Sebentar lagi aku pasti Danial akan menangis jika Irfan masih lagi berterusan menyakatnya.
"Mama? Mama boleh dukung Danial?" Bibir kecil Danial pantas mencari alternatif lain. Aku menggeleng kecil.
"Mama lagi penat sayang. Tengok mama nak kena bawak baby ni lagi. Mama tak mintak papa dukungkan pun" Aku membalas perlahan. Mukaku merona merah di saat menyedari keterlanjuran kata-kataku itu.
"Oh, jadi mama nak suruh papa dukungkan jugak ke? Papa tak kisah" Irfan pantas mencelah. Sekilas matanya menjelingku dengan senyuman kecil yang sengaja di buat-buat. Aku memaparkan riak selamba sambil meneruskan langkah.
"Fan, Danial mana?" Tanyaku tiba-tiba bila mendapati Danial tiada bersama-sama kami. Segera aku dan Irfan menoleh serentak ke belakang, serentak itu juga kami berdua menghamburkan ketawa yang agak kuat.
"Ya Allah, bertuah punya anak!" Jerit Irfan seraya berlari mendapatkan Danial yang selamba duduk di tengah-tengah jalan. Anak kecil itu menangis kecil, sedikit meronta bila Irfan ingin mendukungnya. Mungkin Danial merajuk kerana kami berdua tidak mahu mendukungnya sebentar tadi. Agak lama juga Irfan mengambil masa untuk memujuk Danial yang sememangnya kuat merajuk itu.
“ElleaNur, letih?” tegur Irfan melihat aku yang tersandar lemah di atas sofa.
“Ermmm” Jawabku perlahan dengan mata yang terpejam.
“Nak abang urutkan?” Pantas aku menggeleng mendengar cadangan Irfan itu.
“Fan, Danial mana?” Aku bertanya lemah, menarik nafasku beberapa kali. Perutku terasa senak sekali.
“Tidur, kenapa?”
“Kejutkan Danial, tak baik tidur waktu maghrib”
“Ok, tapi abang kena kejutkan mamanya dulu” Bicara Irfan hilang dari halwa telingaku.
“Bangun sayang, tak baik tidur waktu maghrib” Bisik Irfan tiba-tiba seraya mencium lembut kelopak mataku yang masih terpejam. Aku tersentak lantas kusyen yang berada di tangan pantas aku baling ke arah Irfan yang ingin berlalu dari ruangan itu. Lelaki itu ketawa kuat seraya menghilangkan diri ke dalam biliknya yang dikongsi bersama Danial. Semalam Danial merajuk, anak kecil itu marah kerana aku berkeras untuk tidak tidur bersama-sama dengannya dan Irfan. Puas aku memujuknya dengan pelbagai alasan lantaran Irfan mengambil jalan untuk menjadi pihak berkecuali. Semoga malam ini anak kecil itu tidak lagi mendesaknya. Sungguh! kadangkala dia jadi takut dengan desakkan Danial.
Selepas maghrib, kami bertiga keluar menikmati makan malam di restoran berhampiran. Aku hanya mencuit sedikit makanan yang terhidang. Perut aku yang terasa senak semenjak petang tadi mematikan selera makanku. Gesaan Irfan untuk menambah nasi langsung tidak aku hiraukan. Aku lebih rela memerhatikan kedua-dua lelaki di depan ku yang begitu asyik menghabiskan makanan di meja. Seusai makan, Irfan menahan aku dari terus pulang ke apartment. Ada sesuatu yang ingin di bincangkan dan aku pasti ianya mesti mengenai hubungan kami ini. Aku tidak membantah memandangkan sudah sampai masanya untuk kami segera meleraikan kekusutan yang melanda.
“ElleaNur, ada sesuatu yang abang nak bincangkan, mengenai kita” Irfan memulakan bicara sebaik saja Danial melangkah ke arah kolam ikan yang ada di restoran itu.
“Abang sedar semua yang berlaku adalah salah abang. Mungkin abang terlalu mengikut perasaan, banyak menyakiti hati dan perasaan sayang, malah sanggup pula mencurigai kesetiaan sayang sebagai isteri abang. Sungguh! Abang menyesal sangat-sangat” Laju Irfan berbicara. Aku seakan kehilangan kata, tekun mendengar, sesekali pandangan aku lontarkan ke arah Danial di sudut restoran itu.
“ElleaNur, masihkah ada peluang untuk abang mendiami hatimu sayang? Abang tidak mahu memaksa tapi abang masih berharap untuk hidup bersama seperti dulu. Melayari bahtera rumahtangga bersama-sama sayang, Danial dan bakal anak kedua kita” Irfan merenung penuh makna ke dalam anak mataku, syahdu sekali. Namun, mulutku masih berat untuk mengeluarkan bicara.
“Apa yang perlu abang lakukan untuk untuk sebuah kemaafan? Katakan ElleaNur. Segalanya sanggup abang lakukan”
“ElleaNur, please say something” Irfan merayu bila aku masih lagi mendiamkan diri.
“Fan, jom kita balik, perut I sakit ni” Balasku seraya pergi mendapatkan Danial. Irfan mengekori aku dari belakang selepas membayar bil.
“Ok Danial, jom kita balik” Ujar Irfan seraya memaut pinggangku erat. Aku menolak pautannya perlahan dan berjalan mendahului dirinya dan Danial. Hanya suara Danial yang memecahkan keheningan malam sepanjang perjalanan menuju ke apartment. Aku dan Irfan bagaikan kehilangan kata untuk berbicara.
Malam itu aku dan Irfan membawa haluan masing-masing. Aku kehilangan minat untuk melayan Danial apatah lagi hendak mengadap wajah muram Irfan. Lelaki itu semenjak pulang dari makan malam tadi masih belum berbicara sepatah kata denganku. Hanya mata kami yang seakan-akan menggamit dan berbicara di antara satu sama lain.Dia lebih banyak merenung dari mengeluarkan bicara. Merajukkah Irfan? Mungkinkah Irfan terasa hati dengan kebisuanku tadi? Kecewakah Irfan kerana aku masih belum lagi mengungkapkan kata-kata maaf untuk dirinya? Bukan niatku untuk mengecewakan hati Irfan. Sungguh! Hatiku sudah lama memaafkan segala kesalahan lelaki itu. Cuma, bibirku terasa berat untuk mengungkapkannya. Hatiku meronta untuk segera mengungkapkan kata maaf tapi seakan ada sesuatu yang menghalang aku dari menzahirkannya. Tapi, tidak sedarkah Irfan, aku tidak akan sesekali mengikutnya ke mari seandainya hatiku masih membenci dirinya, seandai hati aku masih belum lagi memaafkannya. Aku tidak akan sesuka hati membiarkan diriku berada dekat dengannya. Kedinginanku sudah pun lama berakhir, yang tinggal hanyalah cebisannya saja, itu pun sudah hampir lenyap di saat aku mendengar kata-katanya di restoran sebentar tadi.
Sungguh! kebisuan Irfan yang berterusan mendera perasaan, membuatkan aku rasa bersalah yang amat sangat. Lelaki itu masih tidak mahu berbicara denganku. Irfan lebih senang melayan Danial, membiarkan aku keseorangan melayani perasaan. Danial pula seperti biasa akan hilang perhatian terhadapku jika sudah bersama papanya. Sudahnya, aku turut sama membisu, memerapkan diri di dalam bilik keseorangan. Hari ini kami bertiga tidak kemana-mana tambahan pula cuaca hujan menyebabkan segala yang di rancang tergendala. Mujur juga aku ada membawa beberapa bahan bacaan untuk mengisi masa-masa yang terluang ini. Sedikit sebanyak kekecewaan aku dengan kebisuan Irfan dapat di lupakan.
“Mama” Panggil Danial di saat aku sedang membawa majalah Wanita.
“Ya sayang, ada apa ni?”
“Ma, papa ada belikan mama nasi goreng. Papa suruh mama makan”
“Mama kenyang lagi. Sekejap lagi mama makan ya sayang” Jawabku seraya mengusap lembut kepala Danial yang duduk di sisiku di atas katil.
“Mama, mama gaduh dengan papa eh?”
“Taklah”
“Habis tu, dari semalam mama diam aje dengan papa. Mama merajuk dengan papa? Papa marah mama ke?”
“Tidak sayang. Mama tak berapa sihat. Lagipun, Danial tu asyik nak suruh papa layan Danial aje. Danial pun kalau ada papa sikitpun tak pandang kat mama. Danial tak sayang mama ya?” Sengaja aku berkata begitu, cuba untuk menidakkan telahan Danial. Anak kecil itu hanya tersengih manja, mungkin menyedari kesalahannya itu.
“Danial sayang mama, sayang sangat. Tapi, Danial sayang papa jugak” Ucap Danial seraya memelukku erat. Mukanya di sembamkan ke dada ku. Aku mengubah pembaringan agar sedikit selesa dengan keadaan Danial begitu.
“Danial sudah makan?”
“Dah dengan papa kat bawah tadi”
“Ermm. Kenapa tak ajak mama? Sampainya hati Danial dengan papa tinggalkan mama ya?” Entah mengapa aku seakan meluahkan kekecewaaan aku terhadap Irfan kepada Danial.
“Taklah mama. Papa cakap mama tak sihat tak boleh ikut”
“Oh, begitu. Tak mengapalah” Jawabku separuh berbisik. Seketika terdengar denguran halus Danial. Anak itu masih dengan tabiatnya sedari kecil, selalu akan tertidur lena apabila berada di dalam dakapanku. Sudahnya, aku terpaksa menghentikan pembacaan, membelai perlahan kepala Danial, permata hatiku.
“ElleaNur” Kedengaran suara Irfan di muka pintu bilikku.
“Ermm”
“Abang ada belikan nasi goreng” Ujar Irfan seraya mengangkat Danial untuk di bawa ke biliknya.
“Biarkan saja Danial tidur di sini”
“Ok” Irfan lantas meletakkan Danial di sisiku.
“Fan, you marah kat I?” tanyaku seraya bingkas duduk menyandar di kepala katil. “Esok pagi kita balik” Kata Irfan mendatar dan berlalu keluar. Seketika, aku terasa jauh hati sekali dengan reaksi Irfan sebentar tadi. Nampaknya Irfan benar-benar terasa hati dengan diriku.
Posted at 06:55 pm by ElleaNur
Permalink
Monday, April 25, 2005
“Hai sexy!”
Sapaan yang tiba-tiba dari Irfan mengejutkan aku yang sedang leka mengeringkan rambut di depan cermin meja solek. Aku menjeling sekilas kearah lelaki bergaya santai yang sedang berdiri di muka pintu bilik. Tanpa memperdulikan Irfan aku megibas-ngibaskan rambut yang sedikit panjang itu. Aku yang bersiap lambat atau Irfan yang datang terlalu awal. Melihatkan jam di dinding melalui cermin aku tahu yang aku tidak terlewat tetapi lelaki itu yang tidak menepati masanya. Danial masih lagi enak di tilam empuknya. Sedangkan aku baru sahaja selesai mandi. Entah apa yang dikejarkan lelaki itu seawal pagi sudah terpacak di dalam rumah ini.
“Apa you ingat you ada kunci spare, you boleh datang sesuka hati yang you suka, masuk tanpa kebenaran I Irfan!” Ujarku tidak senang dengan cara Irfan yang hanya mengikut hatinya. Lelaki itu langsung tidak mempedulikan hak privasi dirinya.
“Alah…abang tak sabarlah nak jumpa sayang” Irfan menjawab manja, masih lagi berdiri di muka pintu. Aku mencebik bibir, jelik dengan suara Irfan saat itu. Rambut yang hampir kering aku biarkan lepas bebas. Aku mendengus geram melihat wajah selamba Irfan yang tersengih panjang melihat keadaan aku yang hanya bertuala separas dada. Tanpa mempedulikan kewujudan Irfan di muka pintu, aku segera menghilangkan diri ke dalam bilik air untuk menyarung pakaian. Seketika kemudian, aku keluar dengan hanya di baluti kaftan merah samar. Wajah Irfan tidak lagi kelihatan. Mungkin ke ruang tamu ataupun ke bilik Danial.
“ElleaNur, I miss you so much, sayang” Bisik Irfan perlahan hampir di cuping telingaku. Terkejut, hampir terjatuh jantungku. Sungguh! ElleaNur tidak perasan bila masanya Irfan melangkah rapat kearahnya, dia leka membelek wajah di cermin meja solek.
“Eh, hello En. Irfan, mind your step ok?” Ujarku bagi menutup debaran di dada. Irfan menjungkit bahu seraya mengeluh perlahan. Dia masih lagi berdiri tercegat di belakangku, memerhati setiap gerak geriku yang selamba mengenakan solekan di wajah. Sesekali mata kami bertembung di dalam cermin tapi segera aku larikan.
“ElleaNur, tak perlu bersolek, sayang memang dah cantik, seksi lagi” Komen Irfan seraya memeluk badanku dari belakang. Tangannya meraba permukaan perutku yang ketara membulat di sebalik baju kaftan yang aku pakai. Sentuhannya mula berubah rentak. Seketika, aku seakan terpana dengan tindakkan berani Irfan. Bibirnya pula tanpa segan silu merayap di sekitar tengkuk dan telingaku.
“Irfan!” Jeritku kuat cuba menyedarkan Irfan. Jeritan itu juga untuk menyedarkan diriku sendiri.
“ElleaNur, please…..” Suara Irfan mendesah perlahan lalu tangannya pantas memusingkan badanku supaya mengadap kearahnya. Aku memejamkan mata, cuba menenangkan diri saat itu, tidak sanggup untuk terus memandang wajah lelaki yang penuh mengharap itu.
“I love you sayang” Bisik Irfan seraya memagut pantas bibir merahku. Aku terkedu sesaat. Namun, dalam dingin aku turut membalas ciuman lelaki itu. Seketika, aku menolak jauh badan Irfan membuatkan lelaki itu terdorong ke belakang.
“ElleaNur, just one hot kiss, please….” Irfan merengek bagaikan anak kecil. Permintaan Irfan tidak aku endahkan. Aku berlalu dan terduduk lemah di birai katil. Wajah yang merona merah aku sembunyikan dari pandangan mata kuyu Irfan saat itu. Pandangan mata yang penuh nafsu!
“Irfan, you keluar sekarang!” Kataku dalam suara yang bergetar.
“ElleaNur please….” Lelaki itu masih lagi merayu bagaikan anak kecil. Irfan seakan tidak mahu berganjak selagi keinginannya tidak dipenuhi. Irfan bagaikan musafir yang kehausan!
“Oh, I’m so sorry” Irfan meraup mukanya. Lelaki itu bagaikan baru tersedar dari mimpinya lantas segera berlalu keluar meninggalkan aku sendirian. Sesaat kemudian terdengar jeritan girang Danial dari biliknya. Pasti saat ini Irfan dan Danial sedang berpeluk mesra melepaskan kerinduan masing-masing.
Sungguh! Dia tidak menduga Irfan seberani itu mencumbu rayu dirinya sebentar tadi. Hatinya memang sudah menerima kehadiran lelaki itu buat kali kedua, tetapi, bukan bermakna dia membenarkan Irfan mengambil kesempatan ke atas dirinya semudah itu. Walau pada mulanya dia sendiri seakan ingin menyerah dan mengikut rentak Irfan itu tapi, akal warasnya pantas menolak. Hatinya tiba-tiba bertukar sakit. Fikirannya keliru. Dia juga geram dengan kelemahan dirinya sendiri apabila berada dekat dengan Irfan. Hatinya meronta untuk membalas pelukan Irfan tetapi fikirannya menolak keras lalu dia hanya berdiri kaku, sengaja membekukan diri di saat bibir Irfan memagut bibirnya sebentar tadi. Sungguh! dia jatuh kesian melihat wajah rawan milik lelaki itu. Walaupun wajah Irfan sudah bersih, bebas dari jambang yang meliar namun, wajah itu tetap muram, seakan ada sesuatu yang menyiksakan di sebalik pandangan mata hitam miliknya. Mata itu seakan menanggung perasaan rindu yang sarat terhadap dirinya. Terseksakah Irfan dengan perpisahan ini? Ya Allah, berdosakah aku terhadap lelaki itu?
“Danial sayang, sudah bangun? Mari mama mandikan” Kataku kepada Danial yang masih berbaring malas di atas katilnya. Irfan yang turut berbaring di sebelah Danial memandang ke arahku selamba. Bibirnya bergerak menuturkan 3 perkataan keramat itu. Aku memberikan jelingan tajam apabila Irfan mengenyitkan matanya kepadaku. Ada sebuah senyuman nakal terukir di bibirnya saat itu.
“Alah...sekejaplah mama… Danial nak baring-baring ngan papa, kejap jer” Suara halus Danial merengek manja seraya merangkul leher papanya membelakangiku. Aku mengetap bibir. Geram dengan anak kecil itu yang seringkali mengabaikan aku jika bersama papanya. Ada senyuman kecil di bibir Irfan di saat aku memandang sekilas ke arahnya.
“Danial….kan papa nak ajak kita keluar hari ini” Balasku cuba memancing reaksi Danial. Teringat janji aku kepada anak kecil itu kelmarin. Adegan yang menyentuh hatiku sebentar tadi segera aku lontarkan jauh. Biarlah, aku tidak mahu kegembiraan Danial lenyap dengan hanya peristiwa itu. Aku tidak boleh mementingkan perasaanku sendiri. Kebahagiaan Danial yang aku utamakan.
“Kita nak pergi mana papa?”
“Kita nak pergi Cameron, tidur sana” Jawapan Irfan mengundang keceriaan di wajah Danial tetapi tidak di wajahku.
“Irfan! Kita nak buat apa pergi sana? You pergi berdua dengan Danial, I tak mahu pergi” Spontan bibirku membantah. Aku fikirkan Irfan hanya ingin membawa aku dan Danial ke sekitar KL saja.
“Mama please……” serentak kedua beranak itu merengek manja.
“No!” Bantahku kuat.
“ElleaNur, you dah janjikan” Wajahku mencuka bila Irfan menuturkan sebaris ayat itu. Memang aku sudah terlanjur berjanji tapi, bukan untuk ke Cameron.
“Mama…….pleaseeeeeee” Sekali lagi Danial dan Irfan merengek panjang apabila melihat aku masih mendiamkan diri. Sengaja membiarkan mereka ternanti-nantikan persetujuan dariku. Aku mengeluh perlahan dan berlalu keluar.
“Yessssss” Jeritan girang kedua beranak itu mematikan langkahku. Aku berpaling geram melihat Danial yang melompat-lompat di atas katilnya.
“Danial! Stop it ok! And you En. Irfan, sila mandikan Danial, now!” Arahku dengan suara sedikit tinggi sebelum berlalu keluar. Kedua-dua mereka terdiam sebelum kembali menjerit girang. Anak dan papa serupa, sama-sama suka mendesak dan terus mendesak!
Sementara menantikan Irfan memandi dan menyiapkan Danial, aku mengemas barang dan pakaian aku dan Danial sepanjang di Cameron nanti. Hati dan fikiranku masih lagi tertanya-tanya perlu apa Irfan membawa kami berdua ke sana. Kelmarin, memang aku menerima perlawaannya kerana aku sangka tentunya hanya ke sekitar KL saja. Memikirkan yang Danial merindui papanya, lalu tanpa berfikir panjang aku lantas memberikan persetujuan di atas perlawaan Irfan ketika itu. Langsung aku tidak terfikirkan yang Irfan mempunyai agendanya yang tersendiri. Irfan, lelaki itu selalu membuat keputusan tanpa persetujuan dariku. Selalu saja mendahulukan kehendak hati dan perasaannya tanpa memikirkan hak orang lain.
“ElleaNur, dah siap?” Pertanyaan Irfan yang tiba-tiba menyedarkan aku yang masih lagi berkhayal. Pantas aku mengangguk kecil menjawab pertanyaannya.
“Kita bertolak sekarang. Danial dah tak sabar-sabar kat luar tu”
“Irfan, berapa malam kita stay sana?”
“Erm tengoklah, semalam ke, 2, 3 or you nak seminggu pun I tak kisah” Jawab Irfan selamba.
“Irfan!” Aku menjerit geram. Irfan tidak serius menjawab pertanyaan aku tadi.
“Apa sayang?”
“Ok, ok, 2 or 3 nights kot” Irfan menjawab pantas bila mendapati ada riak marah di wajahku.
“You dah book hotel? Berapa bilik? Dua?” Laju aku bertanya.
“Sudah. I booking apartment, 1 bilik. Kenapa?”
“I tak mahu pergi” Jawabku perlahan seraya melangkah kembali ke dalam bilik.
“ElleaNur……. you tak kesian kat Danial kat luar tu?" Irfan cuba memancing persetujuanku.
"Kesiankan Danial ke kesiankan you?" Tingkahku kuat.
"ElleaNur sayang.........."
"No! I tak mahu"
"ElleaNur........yes"
"No!!"
"Yes!!!"
"Ok, tapi ada syaratnya" Aku terpaksa mengalah akhirnya. Wajah Irfan yang tersenyum bangga di sisi katil aku pandang geram.
Sejurus sampai di Cameron Highland, kami terus mendaftar masuk di Shal’s Holiday Apartment. Irfan berkeras mahu menginap di apartment, langsung tidak mempedulikan permintaanku yang inginkan kami menyewa 2 bilik hotel sepanjang di sini. Aku bersetuju akhirnya memandangkan Irfan berjanji untuk menempah apartment dengan 2 bilik tidur. Itupun setelah aku puas mengeluarkan hujah-hujah yang bernas. Walau Irfan sedikit marah dengan kedegilan aku sebentar tadi tapi, akhirnya dia terpaksa juga mengalah dengan kemahuanku. Sungguh! Aku belum bersedia untuk tinggal bersama-sama dengan Irfan saat ini walaupun dengan kehadiran Danial. Agak janggal untuk melalui keadaan itu semua setelah agak lama hidup berasingan. Mungkin, aku memerlukan persediaan dari segi fizikal dan mental yang kuat untuk kali yang kedua ini.
Posted at 03:09 pm by ElleaNur
Permalink
Friday, April 22, 2005
Rutin harianku sama dengan kebanyakkan suri rumah lain yang tidak bekerja. Masaku kini lebih banyak di habiskan menguruskan Danial dan juga urusan rumahtangga cuma, yang membezakannya hanyalah tanpa kehadiran seorang suami di sisi, walau pada hakikatnya, hampir saban hari selepas waktu pejabat Irfan pasti akan berada di rumahku. Hampir tengah malam baru lelaki itu akan pulang. Tapi, itu seminggu yang lalu. Kini, sudah lebih dari seminggu lelaki itu tidak menampakkan wajahnya. Merajukkah Irfan? Kecewakah Irfan kerana aku masih lagi belum mengungkapkan kata maaf untuk dirinya? Tersinggungkah Irfan dengan kedinginan aku? Walau kadangkala terasa sedikit kesepian tanpa kehadiran lelaki itu, namun aku gagahkan jua untuk meniti hari-hari mendatang bersama Danial.
Tidak aku nafikan, sesekali rasa ingin di belai dan di sayangi sang suami mengintai di ruangan hati dan fikiran. Jika benar Irfan mahu aku kembali ke dalam hidupnya, aku redha tapi biarlah untuk sementara ini aku melayani rasa sakit hati yang masih bersisa ini. Aku juga mahu menguji sejauh mana usaha lelaki itu untuk memujuk hati dan perasaanku. Biar Irfan sedar, bukan senang untuk mengubati hati perempuan yang telah dilukai. Aku juga mahu Irfan benar-benar menghargai kehadiran seorang isteri di dalam hidupnya. Isteri bukannya tempat untuk seorang suami melepaskan kemarahan dan rasa sakit hati mereka. Kesetiaan dan kepercayaanku sebagai seorang isteri tidak perlu dipertikaikan jika Irfan benar-banar mencintai dan menghargai diriku. Tapi, nampaknya lelaki itu seakan sudah mengalah. Irfan tidak lagi ghairah untuk memujuk aku kembali kepadanya. Buktinya, sudah hampir 2 minggu batang hidung lelaki itu tidak kelihatan, telepon bertanya khabar jauh sekali.
“Mama…papa nak cakap” Jeritan Danial dari ruang tamu mengejutkan aku dari lamunan. Danial yang menginjak usia 4 tahun sungguh petah bercakap. Pertuturannya telus dan perwatakkannya sungguh mencuit hati sesiapa saja yang memandangnya.
“Cakap dengan papa, mama ada kerja” Aku tiada mood untuk menjawab sebarang panggilan saat ini. Hatiku seakan merajuk dengan lelaki itu.
“Tapi, Danial dah cakap kat papa yang mama tengah termenung” Laju Danial menjawab.
“What? Ok, cakap kat papa, mama tak nak cakap” Sahutku masih lagi duduk di balkoni. Aku jadi geram dengan sifat Danial yang satu ini. Semua yang aku lakukan kalau boleh ingin di adukan kepada papanya.
“Mama, papa cakap, dia nak cakap juga dengan mama” Jerit Danial lagi.
“Ok, ok, sekejap cakap papa” Akhirnya aku terpaksa juga mengalah.
Irfan menelepon setelah agak lama menyepikan diri. Perlu apa Irfan menelepon aku? Ingin memujuk aku lagikah? Fikirku dia sudah mengalah. Nampaknya, lelaki itu tidak pernah kenal erti putus asa, terus saja mendesak. Sifatnya itu tidak pernah berubah. Lambat-lambat aku menghampiri Danial yang seperti tidak sabar untuk menghulurkan ganggang telepon. Danial juga seperti Irfan, suka mendesak dan memberontak, yang menjadi mangsanya adalah aku, tersepit di antara dua insan yang aku sayangi. Ada senyuman manis di wajah comel itu sewaktu aku mengambil gangang telepon dari tangannya. Gembira barangkali dapat berbual dengan papanya. Danial, apalah yang dia tahu apa yang ada di hatiku saat ini.
“Hello, assalamualaikum” Tuturku perlahan. Kedengaran hembusan halus nafas Irfan di hujung talian. Seketika hanya hembusan nafas yang berbalas di antara talian.
“Waalaikumsalam. ElleaNur sayang, apa khabar? Everything ok kan? Dania Insyirah pun ok kan?” Pertanyaan Irfan mencetuskan senyuman kecil di bibirku. Irfan seakan begitu yakin yang kali ini dia akan mendapat anak perempuan. Sungguh! Aku tersentuh, hilang kerinduanku yang terpendam tatkala mendengar suara lelaki itu.
“Ok, semuanya macam biasa, you bagaimana?” Agak janggal untuk aku berbual dengan Irfan. Sudah lebih dari seminggu aku tidak mendengar suara itu. Lelaki itu seakan merajuk dengan kedinginan aku. Tapi, tidak sedarkah Irfan bahawa dia yang membuatkan aku jadi dingin begini.
“Tapi, Danial bagitahu tadi , dia dan mamanya demam, betul?” Aku mengetap bibir memandang Danial di ruang tamu, menunjukkan tanda amaran kepada Danial yang tersengih memandang ke arahku. Pertanyaan Irfan aku biarkan tidak berjawab.
“Rindu....ElleaNur sayang, demam sebab rindu kat abang ya, hmmm?” Bisik Irfan menggoda. Mukaku merona merah, hatiku terusik saat itu lantas mendiamkan diri.
“Ermm ok, abang macam biasa juga, setiap hari rindu, rindu pada yang di sana. ElleaNur, hujung minggu ini kita keluar boleh?” Suara Irfan berubah rentak. Pertanyaan Irfan aku biarkan sepi. Lidah seakan kelu untuk menjawab.
“ElleaNur...bagaimana?”
“Ermm” aku menjawab perlahan.
“Ok, nanti abang datang jemput sayang dan Danial”
“ElleaNur!” Suara Irfan yang sedikit kuat menghalang aku dari meletakkan ganggang.
“Ya En. Irfan!” Irfan tergelak besar mendengar jawapanku yang agak sedikit kuat.
“Sayang... rindu kat abang kan? I miss you too, sayang” Bisik Irfan perlahan. Segera ganggang aku letakkan pantas. Ah Irfan! lelaki itu suka sangat bermain dengan hati dan perasaan wanitanya. Bibirku mengukir senyuman panjang. Sungguh! Hatiku terasa sangat lega saat itu. Berbunga-bunga. Mungkinkah aku sudah mula menerima Irfan kembali?
“Mama, Kenapa senyum-senyum ni?” Danial bertanya sebaik aku menghampirinya.
“Tak ada apa-apalah. Sibuk. Kenapa nak tahu?”
“Alah Danial tahu. Mama rindu kat papa ya?” Usik Danial nakal.
“Pandai jer eh. Danial tu yang rindu kat papa sampai demam-demam” Balasku seraya mencubit pipi tembam Danial. Aku membawa Danial ke pangkuanku, memeluk erat anak kecil itu.
“Alah, mama pun sama jugak. Hari tu Danial nampak mama muntah-muntah kat dapur. Hah mama demam lah tu” Aku tersenyum gelihati mendengar komen Danial.
“Mama muntah sebab Danial nak dapat adik tau” Bicaraku membuatkan Danial mulut terlopong seketika sebelum dia melonjak girang.
“Iyer ke mama? Danial nak baby girl macam baby Sarra”
“Ermm tapi, Danial kena janji dengan mama, Danial tak boleh manja dan nakal-nakal lagi, ok?”
“Ok, ok mama, Danial Janji” tutur Danial seraya memusingkan badan dan merangkul leherku. Tangan kanannya di angkat gaya orang yang sedang berikrar. Dia masih lagi melonjak riang di atas pangkuanku.
“Danial...sakit perut mama sayang. Tadi dah janjikan tak nak nakal-nakal kan. Hmmm, tak ingat dah?” Danial tersengih manja mendengar teguranku.
“Nanti baby kat dalam perut mama marah eh?” Aku mengangguk kecil. Danial tiba-tiba tunduk dan mencium perutku yang ketara membulat.
“Baby girl, maafkan abang Danial ya” Danial berbisik perlahan. Hatiku tercuit dengan perbuatan Danial itu. Nampaknya Danial dan Irfan mempunyai firasat yang sama.
“Danial sayang, jom tukar baju. Kita pergi rumah Atuk Din ngan Nek Anah”
“Ok” Balas Danial, lebih girang dari tadi.
Memang benar Danial baru saja pulih dari demam 2 hari lalu. Semuanya gara-gara Irfan. Danial merengek meminta aku menghubungi papanya tapi langsung aku tidak mengendahkan permintaannya itu. Lagipun, aku berasa segan hendak menghubungi lelaki itu lantaran aku sendiri yang memintanya untuk tidak menghubungi dan mengunjungi aku buat sementara waktu. Bukan niat untuk mementingkan diri sendiri, tidak sekali-kali. Sengaja aku ingin menguji akan hati dan perasaanku sendiri. Dan ternyata ianya menunjukkan tanda-tanda yang positif, berhasil. Sepanjang hampir 2 minggu ini bukan Danial saja yang demam bahkan aku sendiri. Malah lebih teruk dari anak kecil itu tapi tidak aku tunjukkannya kepada Danial. Aku berusaha memujuk diriku sendiri, aku baluti luka di hati demi kebahagiaan orang-orang yang aku sayangi. Sungguh! Sepanjang tempoh itu, hatiku di baluti rasa rindu yang hebat terhadap lelaki itu. Kini, aku amat pasti akan perasaanku pada Irfan. Hanya kehadiran lelaki itu yang aku dambakan saat ini. Hanya kehadiran insan itu saja yang akan mengusir kesepian yang telah lama bertandang di hatiku.
Posted at 01:23 pm by ElleaNur
Permalink
Wednesday, April 20, 2005
“Irfan, mama nak kamu pujuk, bawa balik ElleaNur dan Danial secepat mungkin ke rumah kamu. Tak baik tinggal berasingan lama-lama!” Pn. Maryam membebel panjang.
“Tapi ma...”
“Mama tak peduli, dalam minggu ni juga ElleaNur dan Danial mesti balik ke rumah kamu di Subang!”
“Ok, tapi kalau...”
“Tak ada kalau-kalau!”
“La... mama ni. Irfan cakap, kalau Irfan dapat bawa balik ElleaNur, mama nak buat apa?” Sengaja Irfan ingin bergurau dengan mamanya itu.
“Ok, mama buat kenduri kesyukuran boleh?” Balas Pn. Maryam setelah agak lama mendiamkan diri, mencari idea barangkali.
“Good Idea. Tapi lagi bagus kalau mama buat kenduri lenggang perut sekali, macammana ma?” Tanya Irfan dengan senyuman nakal.
“Apa? Maksud kamu ElleaNur mengandung lagi?” Pn. Maryam bertanya dengan riak terperanjat. Irfan tersenyum ceria.
“Yup, mama. Kenapa tak percaya ke?” Irfan ketawa lalu menutup mulut mamanya yang sedikit ternganga. Sebuah ciuman kudus hinggap di pipi mamanya itu.
“Hisssshh kamu ni Fan, manja sangat. Ingat, kamu tu dah nak beranak dua” komen Pn Maryam seraya cuba menolak jauh muka Irfan yang masih lagi menempel di pipinya.
“Alah mama ni..Irfan nak bermanja sikit pun tak boleh. Sudahlah ElleaNur tinggalkan Irfan. Irfan rindu, hati Irfan sedih tau mama” Adu Irfan selamba.
“Hah! Itulah, ada bini mengata itu ini, tuduh sembarangan, cemburu tak bertempat! Sekarang dah kena tinggal baru nak mengadu sedihlah, rindulah!” Bebel Pn. Maryam terus. Dia geram dengan perangai anak lelakinya yang satu itu.
“Mama nak kamu bawa ElleaNur balik hari ini juga, bagaimana?” Irfan menarik muka masam mendengar permintaan mamanya itu.
“Mana boleh ma...” Pn. Maryam berlalu ke dapur dengan senyuman mengejek.
“Tak perlu kamu memaksa sangat si Eizurra tu Irfan” Tiba-tiba saja papanya yang sibuk membaca akhbar di ruang tamu mencelah. Irfan menjeling sekilas ke arah papanya sebelum berlalu ke biliknya di tingkat atas. Dia ingin melayan perasaan hatinya yang sepi saat itu. Sepanjang peninggalan ElleaNur, amat jarang sekali dia balik ke rumahnya di Subang. Suasana di rumah itu kini suram dan hambar, sehambar sehatinya.
Entah apa yang sedang di lakukan ElleaNur dan Danial saat ini. Bagaimana keadaan mereka berdua terutama sekali keadaan ElleaNur? Masih terukkah alahannya? Bagaimana dia menguruskan Danial? Sudah agak lama Irfan tidak menjengah mereka berdua. Sungguh! Dia rindu untuk menatap wajah ElleaNur dan melayan telatah Danial saat ini. Tapi, dia perlu menghormati permintaan ElleaNur. Biarlah dia terseksa melayan rindu asalkan sekeping hati milik ElleaNur tenang, fikiran wanita itu lapang tanpa gangguan dari dirinya. Akan terdetikkah perasaan rindu di hati wanita itu sepanjang kehilangannya beberapa hari ni? Tapi, Irfan seakan dapat merasakan kerinduan di hati ElleaNur untuknya saat ini. Seakan ada satu jalinan gelombang di antara hatinya dan hati ElleaNur setiap saat. Jiwanya seakan sudah sebati dengan jasad ElleaNur. Di mana-mana dia akan terasa aura wanita itu. Terngiang-ngiang di telinganya suara gemersik ElleaNur memanggil namanya, sesekali suara kecil Danial turut menyapa telinganya. Mungkinkah sesuatu yang buruk terjadi kepada mereka berdua? Irfan berteka-teki sendiri. Fikirannya buntu saat itu. Tidak tahu jalan mana yang harus di laluinya.
Irfan melangkah lemah ke pejabatnya. Sudah beberapa hari dia seakan hilang semangat untuk malakukan tugasannya. Semuanya kerana ElleaNur. Wanita itu tidak mahu bertemunya. Sudahnya dia mengambil jalan untuk turut mendiamkan diri. Bukan mengalah tapi, dia cuba untuk memberikan ElleaNur masa untuk memikirkan tentang hala tuju hubungan mereka yang seterusnya. Sampai waktunya jika ElleaNur tidak memberikan sebarang keputusan, dia sendiri yang akan bertindak. Dia sudah mula menyedari makna yang tersirat di sebalik mata bundar ElleaNur. Ada rindu yang sarat di sebalik pandangan wanita itu. Ada sinar kasih yang terpancar dalam keredupan matanya. Irfan pasti, kasih dan sayang ElleaNur tetap utuh untuk dirinya. Mungkin juga wanita itu sudah memaafkan dirinya cuma tidak diungkapkan secara jelas. Bukankah wanita itu dikurniakan dengan sifat yang penuh kelembutan, terutama tentang hati dan perasaan mereka? Bukankah wanita itu juga seorang yang pemalu? Segan untuk mengungkapkan apa yang ada di hati mereka?
Hati Irfan begitu meronta untuk mengetahui keadaan ElleaNur dan Danial saat itu. Tangannya ingin segera mendail nombor telepon ElleaNur tetapi hatinya membantah keras. Dia takut, bimbang seandainya sikapnya yang terburu-buru merenggangkan lagi hubungannya dengan ElleaNur. Tapi, desakkan mamanya menghantui dirinya setiap masa. Semalam sewaktu pulang ke rumah mamanya, hatinya pedih, telinganya panas menadah setiap leteran berbisa dari orang tua itu. Mamanya itu tidak habis-habis menyalahkan dirinya di atas apa yang terjadi. Orang tua itu memaksanya memujuk kembali ElleaNur secepat mungkin. Mama menyuruh dia bertindak sedikit tegas, aggresif tapi tidak bagi papanya yang kerapkali menyuruhnya bersabar, tidak terlalu memaksa ElleaNur. Kadangkala dia geram dengan desakkan mamanya dan kesabaran papanya tapi, dalam masa yang sama juga dia turut bersetuju dengan mereka berdua. Bukankah kedua mereka lebih dulu makan garam daripada dia dan ElleaNur sendiri.
Ya, mungkin sudah sampai masanya dia menggunakan kuasanya sebagai suami. Seketika terbayang jelingan mata ElleaNur yang tajam setiap kali dia memaksa wanita itu menuruti perintahnya. ElleaNur, dalam keras hati masih mahu menurut katanya. Irfan menggeleng kepala, tercetus senyuman kecil di bibirnya saat itu. Baru saja dia ingin mencapai ganggang telepon, wajah Julia terpacul di muka pintu pejabatnya. Irfan mendengus perlahan tapi masih sempat melemparkan senyuman kecil.
“Yes Ms. Julia, ada apa-apa yang boleh I bantu?”
“Eh you ni Irfan janganlah formal sangat”
“So?” Irfan menjungkit keningnya kepada Julia yang telah pun duduk di depannya.
“Saja I datang nak jumpa you. ElleaNur dan Danial apa khabar?”
“Ermm, ok. Seperti biasa juga. Cuma mereka masih di Bukit Jalil” Irfan menjawab perlahan.
“Semuanya salah I kan Irfan? I betul-betul minta maaf dengan you dan ElleaNur. Kalaulah mulut I ni tak...” Julia mengeluh kesal. Wajah Irfan yang muram menambah kekesalan di hatinya.
“Well... you kenal dengan Arief? Shahrin Arief coursemate kita dulu?”
“Yup..Kenapa dengan dia?”
“We’re getting engaged” Terang Julia dengan wajah yang berseri.
“Really? So, congratulation, Julia. Macam mana I boleh tak tahu ni?”
“I’ll talk with you later, ok. I nak cepat ni. So, jemputlah datang hujung bulan ni. Jangan lupa tau Irfan. Bawa ElleaNur and Danial sekali, ok” Ujar Julia lantas berlalu pulang. Irfan mengeluh lega. Entah mengapa dirasakan hatinya lapang sekali saat mengetahui yang Julia bakal berkahwin. Mungkinkah hidupnya bakal kembali bahagia bersama-sama dengan ElleaNur?
Julia. Irfan mengenali wanita itu sebagai seorang yang baik hati dan agak keanak-anakkan. Walau nampak sedikit sosial tetapi pergaulannya terbatas. Tutur bicaranya lemah lembut. Mereka berkawan rapat sewaktu di Australia. Hubungan mereka mula renggang kerana Irfan menyedari yang wanita itu sedikit sebanyak menjadi punca pergaduhan di dalam rumahtangganya dengan ElleaNur. Dia tidak menuduh Julia tapi sekadar cuba menjauhkan diri dari wanita itu buat sementara waktu. Semenjak beberapa bulan kebelakangan ini wanita itu seakan mengikut kata hatinya. Julia terlampau melayan perasaan sakit hatinya terhadap kemesraan aku dan ElleaNur. Julia seakan tidak dapat menerima hakikat yang di antara aku dan dia sememangnya tiada jodoh. Berkawan rapat di antara lelaki dan perempuan tidak semestinya bercinta. Barangkalai waktu itu, Julia keliru untuk membezakan di antara perasaan seorang teman dan kekasih. Namun kini Irfan bersyukur. Julia telah menyedari akan kesilapan yang dia lakukan. Dia sudah menerima hakikat yang hatiku bukan miliknya. Wanita itu sendiri yang datang meminta kemaafan darinya juga ElleaNur. Dan kini, dia turut tumpang gembira mendengar berita pertunangan Julia dengan Arief teman seuniversiti mereka di Australia. Terbayang wajah hitam manis milik bakal tunang Julia itu. Sedikit waktu dulu, Arief selalu mengusik Julia, tidak sangka pula yang di antara mereka akan bertemu jodoh.
Posted at 05:33 pm by ElleaNur
Permalink
Tuesday, April 19, 2005
Hari ini, seawal pagi hujung minggu begini, Irfan telah pun bertandang ke apartmentku. Irfan, lelaki itu langsung tidak memberikan aku peluang untuk bersendirian. Boleh dikatakan semenjak kepulangan aku dan Danial di rumah ini, hampir setiap hari pasti aku akan memandang wajah itu. Sudah acapkali aku memberitahunya yang aku inginkan waktu hujung mingguku tanpa kehadiran dan gangguan darinya. Au hanya ingin mengisi waktu yang terluang bersama-sama Danial. Cukuplah aku mengadap wajahnya itu setiap kali dia menjemput dan menghantar Danial ke taska. Tetapi, bercakap dengan Irfan kini bagaikan mencurah air di daun keladi, lelaki itu bagaikan orang yang hilang deria pendengarannya. Muka aku yang masam dan ronyok seribu setiap kali menyambut kemunculannya di muka pintu bagaikan tidak membawa apa-apa makna bagi Irfan. Lelaki itu bagaikan orang bodoh, Irfan kini bagaikan sudah tidak punya perasaan malu, dengan selamba dia akan melangkah masuk.
“Hai my darling sweetheart. How are you today?” Tutur Irfan sebaik melangkah masuk. Wajahnya tunduk ingin menciumi dahiku tapi sempat aku mengelak. Lelaki itu mengeluh perlahan, tersenyum pahit memandang wajahku.
“ElleaNur, Danial dah bangun?” pertanyaan Irfan aku biarkan saja. Dengan selamba aku melangkah ke dapur menuang segelas susu segar dan berlalu ke bilikku.
Kewujudan Irfan di rumahku langsung tidak aku hiraukan. Aku lebih senang mengurungkan diri di dalam bilik dan membiarkan Irfan melayan Danial. Namun, belum sekali pun aku menyentuh tentang hubungan kami. Biarlah Irfan sendiri yang memulakannya. Barangkali dia bersetuju dengan permintaanku yang satu itu lantaran tiada sebarang kata yang keluar dari mulut Irfan mengenai letak duduknya hubungan kami. Irfan aku lihat lebih ke arah untuk mengubati dan memujuk hatiku yang kecewa. Pelbagai cara di lakukan untuk memenangi hatiku kembali, namun semua usahanya itu hanya aku pandang sepi. Hanya renungan tajam dan tutur bicara romantisnya yang kadangkala mencuit hati dan perasaan perempuanku terhadap lelaki itu. Sungguh! Kini rasa rinduku pada lelaki itu mula bertandang kembali cuma egoku menyekat untuk mempamerkannya secara terbuka.
“ElleaNur, keluar makan sayang” Terdengar ketukan di luar pintu disertai dengan suara Irfan. Aku hanya mendiamkan diri, berbaring malas di atas katil. Kepalaku terasa sedikit berat.
“ElleaNur, benarkan abang masuk boleh?” Belum sempat aku menjawab wajah Irfan sudah pun terpacul dimuka pintu. Irfan selalu begitu. Aku mendengus geram.
“ElleaNur sayang...abang dah panaskan lauk, marilah makan, sikit pun takpa” Irfan terus memujuk. Dia berdiri bercekak pinggang memerhatikan kearah aku yang masih lagi berbaring diselimuti comforter.
“I kenyang. Nanti lapar I makanlah. Kalau you nak balik, baliklah. Jangan lupa lock pintu” Balasku mendatar. Segera aku mengiringkan badan membelakangkan Irfan. Bukan niat untuk menghalau tapi sekadar memberi alasan. Terdengar derapan kaki Irfan menghampiri katilku, sepantas kilat lelaki itu bertindak mencempung tubuhku yang hanya berbaju tidur nipis ketika itu.
“Heiiii kenapa dengan you ni hah! Turunkan I, turunkan I Irfan!!!” Jeritan suaraku langsung tidak dipedulikan, Irfan segera membawa aku ke ruangan makan. Badanku diletakkan di atas kerusi di depan hidangan yang telah pun tersedia.
“Sekarang I nak you makan” Arah Irfan tegas.
“I tak mahu!”
“Makan!!” Arah Irfan lebih kuat dari suara ElleaNur.
“I tak mahu, I kenyang tahu tak?”
“Jangan nak tipu abang, abang tahu dari siang lagi sayang tak makan” Suara Irfan berubah rentak, lebih lembut dari tadi, cuba memujuk hati wanita itu. Kerasnya hatimu sayang, Irfan hanya mampu mengeluh perlahan.
Irfan tidak nampak bila masanya ElleaNur makan, semenjak siang tadi wanita itu mengurungkan diri di dalam bilik, menyembunyikan diri dari pandangannya. Bukan sekali dua kehadirannya ke sini tidak dihiraukan ElleaNur. Seharian dia menanti wanita itu menjengukkan wajah, tapi hampa. Hanya Danial yang setia menemaninya setiap detik. Hatinya tersentuh tapi, dia masih boleh bersabar kerana dia sedar akan kesalahannya. Dia memahami apa yang ada di hati ElleaNur saat ini. Bukan niatnya untuk terus memaksa ElleaNur, dia cuba untuk tidak menggunakan kuasanya sebagai suami. Dia juga tahu ElleaNur amat tidak senang dengan sikapnya yang suka mendesak, tapi memang hari ini dia terdesak. Kesihatan ElleaNur sangat membimbangkan hatinya saat ini. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk melanda ElleaNur dan kandungannya itu. Dia tidak dapat memaafkan dirinya andai sesuatu terjadi kepada wanita itu.
“Atau sayang nak abang tolong suapkan, hmmm?” Irfan sekali lagi bersuara bila mendapati ElleaNur masih lagi mematungkan diri, wanita itu hanya merenung masam hidangan yang ada di depannya itu.
“I tak mahu, I tak ada selera Irfan! kepala I sakit, you tahu tak!” ElleaNur bersuara agak kuat. Geram melihat Irfan yang terus-terusan memaksanya untuk makan. Dia bukannya budak kecil seperti Danial yang boleh dipaksa-paksa sesuka hati.
“You sakit kepala sebab you tak makan, tahu tak!” Irfan membalas dengan nada yang sama. Bibirnya diketap, hatinya geram dengan kedegilan ElleaNur. Tanpa berlengah dia terus mencapai pinggan nasi dan diletakkan sedikit sup sayur, lauk yang dibelinya untuk ElleaNur semasa keluar makan bersama Danial di Sri Petaling sebentar tadi. Tanpa bertanya, dia terus menyuakan sesudu nasi ke arah mulut ElleaNur. Agak lama baru ElleaNur membuka sedikit mulutnya untuk menerima suapan Irfan.
“Irfan, you tak perlu lakukan semuanya ini pada I. I masih mampu menguruskan hidup I sendiri Irfan!” tutur ElleaNur geram. Irfan di depannya hanya diam tidak bersuara. Suapan demi suapan memasuki mulut ElleaNur.
“Kenapa you bersusah payah begini Irfan???” Sambung ElleaNur, masih bernada geram, segera dia menolak suapan Irfan yang seterusnya. Bibirnya di ketap, dia geram, hatinya sakit dan keliru dengan kebisuan Irfan saat itu.
“I suami you, sudah menjadi tanggungjawab I untuk menjaga kebajikan you dan Danial” Terang Irfan, segelas air suam di sua ke mulut ElleaNur. ElleaNur meneguk perlahan.
“Tapi kenapa dulu you tega mencurigai diri I, you menuduh I dengan Ar...” kata-kataku terhenti lantaran Irfan meletakkan jarinya di bibirku, menahan aku dari terus menuturkan kata-kata.
“I mengaku I bersalah. I tak sepatutnya meragui kesetiaan you sebagai isteri I. I menyesal sangat-sangat” Ada sinar penyesalan di sebalik sepasang mata hitam itu.
“ElleaNur, maafkan abang sayang. Tolonglah terima abang kembali dalam hidupmu sayang” Irfan mengesat airmata yang berjuraian di pipiku. Sebelah tangannya menggenggam tanganku erat. Aku merenung dalam sepasang mata hitam milik Irfan lama, lalu menggeleng lemah.
“Bukan mudah untuk I melupakan segala tuduhan you, menerima apa yang telah you lakukan pada I sebelum ini Irfan. You baliklah, tinggalkan I sendirian. I perlukan waktu untuk memikirkannya” Kataku perlahan dan segera berlalu ke ruang tamu mendapatkan Danial yang sedang tidur lena di atas sofa. Wajah mulus Danial di atas sofa ditatap dalam. Damainya wajah kecil tu saat ini.
“ElleaNur, Abang balik dulu. Take care sayang” ucap Irfan perlahan, mencium lembut dahiku, kemudian beralih kepada Danial di sofa dan terus berlalu keluar. Seketika hati ElleaNur berubah pilu. Tersentuh melihat wajah muram Irfan saat itu. Terngianga-ngiang di telinganya akan nada lirih Irfan sebentar tadi. Hatinya sedih, dadanya sesak sekali. ElleaNur berlalu ke balkoni apartmentnya, menikmati hembusan angin malam. Hatinya dirasakan sungguh sepi, sesepi malam ini, malam yang suram tanpa kerlipan bintang yang bergemerlapan.
Sungguh! Irfan hampir berputus asa untuk memujuk kembali hati ElleaNur. Telah pelbagai cara dia lakukan untuk membaluti sekeping hati yang terluka itu. Dia sudah puas memujuk, sudah puas merayu meminta kemaafan tapi, ElleaNur masih tidak memberikan sebarang respon. Wanita itu tidak menolak dan tidak pula menyatakan kemaafannya. Irfan masih boleh bersabar kerana dia sedar semua kesalahan berpunca dari dirinya. Irfan juga sentiasa ingat akan pesanan papa dan mamanya untuk tidak terlalu mendesak dan memaksa ElleaNur walaupun kadangkala dia terpaksa juga melupakan pesanan papanya itu. Irfan takut ElleaNur semakin jauh dari hidupnya jika keadaan ini masih berterusan. Dia tahu ElleaNur perlukan masa untuk menerimanya kembali tapi, sampai bila dia harus menunggu. Hatinya tidak tertahan lagi untuk menanggung kerinduan yang mencengkam terhadap wanita yang satu itu. Sungguh! Dia rindu dan amat mendamba kehadiran ElleaNur di sisinya setiap saat dan ketika. Atau, mungkin juga dia perlu bersetuju dengan ElleaNur, wanita itu memerlukan waktu untuk membuat keputusan, perlu bersendirian buat sementara waktu. Biarlah, aku sanggup menunggu selama mana sekalipun, aku rela asalkan wanita yang amat aku sayangi itu bahagia. Dan jika keadaan mendesak, Irfan tahu apa yang perlu dia lakukan.
Posted at 05:20 pm by ElleaNur
Permalink
Monday, April 18, 2005
Kini hampir setiap hari wajah Irfan pasti akan terjengul di muka pintu rumahku. Setiap hari Irfan menghantar dan menjemput Danial dari taska. Danial kembali memulakan persekolahannya setelah agak lama bercuti. Pada mulanya aku membantah keras, pelbagai alasan aku berikan namun, Irfan tetap dengan keputusannya. Dia mengunakan kuasanya sebagai seorang bapa untuk menundukkan kelemahan aku. Dalam sakit hati aku terpaksa bersetuju dan menurut cadangannya itu. Keadaan kesihatan juga menghalang aku untuk bergerak cergas seperti dulu tapi aku rasa masih mampu untuk menguruskan Danial cuma Irfan yang seringkali memperkecilkan akan kemampuanku itu. Lalu, kesempatan inilah yang di ambil oleh Irfan untuk selalu datang ke rumah aku, menjaga keselamatan aku dan Danial katanya. Aku tidak membantah kerana aku tahu usahaku itu hanya sia-sia belaka. Irfan pasti akan terus mendesak dengan pelbagai alasan. Lelaki itu langsung tidak mengendahkan kata-kataku. Irfan juga turut mengungkit tentang janji aku untuk tidak memisahkan Danial darinya. Lalu, dalam sakit hati, hampir setiap aku terpaksa menghadap wajah selamba Irfan. Kini, aku terjerat dengan janji yang aku cipta sendiri. Janji yang semakin mendekatkan aku dengan Irfan, satu-satunya lelaki yang telah berjaya melukakan hati dan mendera emosiku.
“Irfan, tengah hari nanti you tak payah jemput Danial ok” kataku sewaktu memakaikan kasut sekolah Danial.
“Kenapa?”
“Ada kenduri di rumah parents kawan I petang nanti. So, I jemput Danial dan terus pergi”
“Rumah siapa? Dekat mana? Pukul berapa?” Laju Irfan bertanya. Perlukah aku memberitahu Irfan.
“Parents Arman, lepas asar” beritahuku perlahan. Tidak berani untuk memandang wajah Irfan saat itu.
“I ikut” Kata Irfan mendatar.
“Tak mengapalah, I boleh pergi berdua dengan Danial saja. Lagipun you kan kerja”
“I ikut! You tunggu, I datang ambil you lepas I jemput Danial petang nanti” Agak tegas Irfan bersuara. Aku menjeling tajam, tidak senang dengan sikap diktaktor Irfan saat itu.
“Jom Danial, kita pergi sekarang” Irfan mencapai tangan Danial.
“Kejap pa” Danial menarik tangannya dari pegangan Irfan. Danial pantas menyalami tangan dan mencium kedua pipiku, satu-satunya rutin harian yang jarang sekali dilupakan Danial. Seketika anak kecil itu memandang ke arah Irfan yang leka memerhati gelagat kami berdua. Sekilas pula wajah Danial menoleh ke arah wajahku di muka pintu.
“Papa tak cium mama?” Ada senyuman nakal dibibir kecil Danial. Irfan menggangguk kecil, tersenyum seraya menghampiriku. Kami berpandangan sebelum Irfan bertindak mencium lembut dahiku, lama! Aku terpana sebelum bertindak menolak jauh badan Irfan. Irfan mengenyit mata nakal. Wajahku mencuka merah. Gatal! Getus hatiku geram.
“Bye-bye, Danial sayang” ucapku pada Danial sebelum berlalu ke dalam, menutup pintu dan menyandar lemah di belakangnya. Mungkinkah Irfan sengaja menggunakan Danial untuk kembali kepadaku? Tidak pernah anak kecil itu meminta papanya itu menciumiku. Seakan ada pakatan di antara mereka berdua.
Lewat petang Irfan muncul bersama-sama Danial. Aku telah pun siap dengan sepasang kurung biru firus, hampir senada dengan baju yang dikenakan Irfan saat itu. Kami bertolak setelah aku selesai menukarkan pakaian Danial. Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke rumah ibubapa Arman di Rawang. Hanya Irfan dan Danial yang rancak bercerita. Sesekali aku tersenyum kecil mendengar telatah nakal Danial yang mencuit hati. Irfan yang memandu di sebelah beberapakali cuba menarik perhatianku dengan pelbagai cerita. Semuanya hanya bagaikan angin lalu di telingaku. Ada keluhan di bibir itu dengan kebisuanku. Aku lebih banyak membuang pandang ke luar tingkap kereta, menikmati panorama bandar Kuala Lumpur. Danial di tempat duduk belakang leka memasang permainan yang dibeli papanya, hampir bertamburan bahagian-bahagian kecil permainan itu di lantai kereta. Seketika terasa tangan kiri Irfan mencapai tangan kananku dan di genggam erat. Aku cuba menarik tapi genggaman Irfan begitu kuat. Aku menjeling geram tapi lelaki itu selamba memandang ke depan, berpura-pura menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya.
“Irfan! Lepaskan tangan I lah!” kataku perlahan bernada geram.
“kalau I tak lepaskan you nak buat apa?” balas Irfan tanpa menoleh ke arah ElleaNur.
“I terjun dari kereta ni nanti!” ugutku geram. Irfan menjeling dengan senyuman sinis.
“Tak takut mati? Tak sayang abang? Tak ingat Danial? Hmmm?” Balas Irfan seraya menguatkan cengkaman tangannya. Sungguh! Irfan geram dengan kedinginan dan kebisuan wanita disebelahnya itu. Suara ElleaNur kini bagaikan sebutir emas.
“Irfan lepaskan tangan I! Sakitlah!” Irfan langsung tidak menghiraukan rintihanku. Mataku mula terasa pedih, bukan kerana sakit tapi geram kerana tidak dapat melepaskan kemarahan terhadap lelaki itu. Kalau tidak mengenangkan yang Danial ada bersama, sudah lama aku menjerit marah kepada Irfan. Irfan memang melampau. Lelaki itu memang bijak mengambil kesempatan. Dengan selamba Irfan membawa jemariku ke bibirnya dan di cium lama.
“Maafkan abang sayang, maafkan abang” Irfan bersuara perlahan seraya melepaskan tanganku. Ada maksud yang tersirat di sebalik permintaan maaf lelaki itu. Irfan masih lagi berusaha untuk meminta kemaafan dariku. Irfan pasti akan terus memburu kemaafan darinya, ElleaNur pasti akan hal yang satu itu. Keadaan kembali sunyi sehinggalah kereta Irfan berhenti di depan perkarangan rumah keluarga Arman.
Kedatangan aku sekeluarga disambut riang oleh kedua ibu bapa Arman, Uncle Rahman dan Auntie Marlisa. Tidak ketinggalan dua orang adik kembar Arman, Aiman dan Aireena. Agak ramai juga tetamu yang di undang pada petang itu. Selepas bersalaman, aku meninggalkan Irfan dan Danial diruang tamu bersama-sama Arman dan tetamu lelaki yang lain. Aku menuju ke ruangan dapur untuk membantu kaum perempuan menyiapkan hidangan. Auntie Marlisa tidak habis-habis menceritakan pada tetamu-tetamu di dapur akan perihal aku yang mereka bentuk pelan dan menghias rumah barunya itu. Wajahku beberapa kali merona merah, malu dan segan kerana dipuji berlebihan begitu. Mujur Irfan tiada ketika itu. Jika tidak pasti aku bertambah tidak selesa. Walaupun lelaki itu tidak lagi menunjukkan sikap cemburunya pada Arman tetapi, aku tetap berasa kurang enak kerana aku pasti sedikit sebanyak hati Irfan pasti akan tetap cemburu. Kami pulang sekitar pukul 6pm, seusai majlis kesyukuran itu.
“ElleaNur, mesti you seronokkan tadi?” aku hanya menjungkit kening memandang ke arah Irfan. Pelik dengan pertanyaannya itu.
“Yalah, tadi bapa dan adik-adik Arman tak henti-henti puji you. Mak Arman pun sama. Habis di canangkan nama you kat tetamu diorang. Lepas ni mesti you glamorkan, Nur?” Irfan tersenyum pahit. Sedikitpun aku tidak memberikan sebarang reaksi mendengar komen Irfan itu. Namun, hatiku dicuit rasa gelihati apabila Irfan menyebut namaku ‘Nur’. Janggal rasanya sebutan itu di bibir Irfan. Aku menahan diri daripada ketawa lalu segera membuang pandang kesisi.
“ElleaNur, you ok kali ni?” Tiba-tiba Irfan bersuara setelah agak lama menyepi. Aku mengerut dahi tanda tidak faham dengan pertanyaannya itu.
“Oh, I meant, our second baby, dia meragam tak?”
“Ermm, sometimes” Jawabku pendek. Nampaknya satu dari persoalan yang membelenggu fikiranku terjawab sudah.
“Harap-harap kali ni baby girl ya. Dania Insyirah” tutur Irfan seakan berbisik namun, masih kedengaran di telingaku. Hatiku tersentuh, Irfan masih ingat lagi nama yang dipilihnya untuk bakal anak perempuan kami sedikit waktu dulu.
Sebenarnya ElleaNur tahu niat Irfan saat itu. Lelaki itu sebenarnya ingin mengetahui keadaan dirinya. Mungkin Irfan berfikir yang dia pasti akan mengalami alahan yang teruk sebagaimana kandungan pertamanya dulu. Tidak dinafikan, memang dia mengalami alahan tetapi tidaklah seteruk sewaktu mengandungkan Danial. Setakat ini dia masih larat melakukan kerja-kerja rumah kecuali satu tugas yang dia langsung tidak dapat lakukan dari kehamilan pertama lagi, memasak. Kepalanya pening, tekaknya loya mencium apa jua bauan yang datang dari dapur. Sudahnya, hampir setiap hari dia dan Danial akan menikmati makanan yang di beli di luar. Mujur juga Danial bukan jenis yang memilih makanan.
“Ok, kita dah sampai. Danial, jaga mama untuk papa tau” pesan Irfan kepada heronya itu. Irfan memandu pulang sejurus menghantar aku dan Danial di depan blok apartmentku kerana sebentar nanti dia mempunyai temujanji dengan rakan niaganya dari Jepun.
Posted at 05:55 pm by ElleaNur
Permalink
|
|
|